Insta360 Toast Diperkenalkan – Bingkai Gambar E-Ink Berwarna Bersaiz Kompak
Amy Maizuraa
Insta360 memperkenalkan Toast iaitu sebuah bingkai gambar elektronik yang membolehkan pengguna memaparkan gambar pilihan mereka dengan cara yang berbeza. Dengan skrin sejenis E-Ink berwarna bersaiz 3.7 inci, gambar yang dipaparkan kelihatan lebih menyerupai cetakan sebenar. Toast juga boleh diletakkan di atas meja, dilekatkan pada permukaan magnetik atau digantung pada beg.

Toast boleh dikawal melalui aplikasi Insta360 atau mini program WeChat tanpa perlu menggunakan kabel. Ia juga boleh disambungkan kepada perkhidmatan awan Insta360+ yang membolehkan gambar daripada kamera Insta360 dipaparkan terus pada Toast. Pengguna turut boleh menyimpan sehingga 200 gambar dalam storan awanan, serta menghantar gambar ke peranti Toast yang berada di lokasi lain.

Bateri 400mAh yang digunakan mampu bertahan sehingga 195 hari bagi penggunaan biasa. Insta360 Toast dijual pada harga RMB 429 (~RM265) untuk satu unit dan RMB 815 (~RM503) bagi pakej dua unit di pasaran China. Setakat ini, tiada maklumat mengenai penawarannya di pasaran Malaysia.
Sumber: Insta360