Oppo Watch 5 Dilancarkan Dengan Fungsi UltraBurn Mode Dan Bateri 10 Hari
Amy Maizuraa
Oppo kini memperkenalkan jam tangan pintar baharu menerusi Watch 5 yang hadir dengan pelbagai ciri kesihatan dan kecergasan, serta ditawarkan dalam beberapa pilihan warna yang lebih ceria.

Antara ciri utama yang diketengahkan ialah UltraBurn Mode yang direka untuk membantu pengguna mendapatkan hasil pembakaran lemak yang lebih baik ketika bersenam. Ciri ini menggunakan pelbagai data peribadi termasuk umur, jantina, berat badan, tahap kecergasan dan bacaan VO₂ Max untuk menentukan zon degupan jantung yang sesuai semasa melakukan aktiviti fizikal. Bagaimanapun, UltraBurn Mode bukan direka khusus untuk menurunkan berat badan sebaliknya membantu pengguna bersenam pada tahap yang lebih sesuai.

Watch 5 turut memuatkan lebih 100 mod sukan terbina bersama ciri pemantauan tidur, kadar degupan jantung, SpO₂, suhu pergelangan tangan dan penjejakan kitaran haid. Oppo juga menyertakan AI Personal Trainer yang mampu mencadangkan aktiviti senaman berdasarkan keadaan fizikal pengguna. Turut disokong ialah panggilan bluetooth, notifikasi, navigasi peta serta fungsi mencari telefon dan jam tangan.

Melengkapinya ialah paparan AMOLED 1.85” dengan tahap kecerahan puncak sehingga 3000 nits. Watch 5 juga menawarkan ketahanan bateri sehingga 10 hari dalam mod penggunaan maksimum atau 7 hari bagi penggunaan biasa, di samping melepasi penarafan kalis air dan debu IP69/5ATM. Buat masa ini, tiada maklumat mengenai penawarannya untuk pasaran Malaysia.