Telefon Infobar Zero Dilancarkan Di Jepun Tanpa Sambungan Internet
Effi Saharudin
Telefon Infobar Zero dilancarkan di Jepun oleh KDDI khusus untuk pelanggan yang ingin membebaskan diri daripada sambungan internet. Telefon ini mengembalikan rekaan Infobar asal daripada tahun 2003 dengan ia tidak boleh bersambung kepada internet, hanya dilengkapi kamera 2MP dan mempunyai pemain muzik yang memerlukan fail disimpan dalam peranti.

Infobar Zero hadir dengan skrin 2.4″ TFT VGA, memori sebesar 1GB RAM, storan sebesar 8GB dan bateri sebesar 2,055mAh. Fungsi telefoni menggunakan rangkaian 4G sahaja. Ia juga sekadar boleh melakukan ciri asas melakukan panggilan telefon, menghantar SMS, kalkulator, penggera dan buku alamat. Terdapat juga sokongan aksesori audio berwayar menerusi USB-C.

Peranti ditawarkan sebagai telefon sekunder kepada pelanggan. Tempahan telah dibuka dengan ia akan dijual secara terbuka pada harga 32,780 Yen (~RM 847) bermula 25 Disember.
KDDI membayangkan penggunaan Infobar Zero sebagai telefon kedua digunakan di rumah dengan telefon utama pula untuk tujuan kerja. “Telefon tidak pintar” daripada era awal Milenium kembali popular sejak kebelakangan ini kerana telefon pintar menyebabkan ketagihan internet yang serius.