WhatsApp Menguji Had Baharu Sehingga 1500 Ahli Dalam Satu Kumpulan
Amy Maizuraa
WhatsApp kini meningkatkan had ahli bagi setiap kumpulan kepada 1,500 ahli daripada 1,024 ahli sebelum ini. Peningkatan had ini membolehkan lebih ramai ahli berada dalam kumpulan yang sama tanpa perlu dipecahkan kepada beberapa kumpulan yang lebih kecil. Perubahan ini turut memudahkan pengurusan kumpulan yang mempunyai jumlah ahli yang ramai.

Kemas kini tersebut akan diaktifkan secara automatik pada kumpulan sedia ada tanpa memerlukan sebarang tindakan tambahan daripada pentadbir. Ia juga akan diperluaskan kepada kumpulan di bawah ciri Communities. Buat masa ini, ciri tersebut sedang diuji dalam kalangan sebahagian pengguna WhatsApp Beta versi terkini bagi Android dan iOS. Ia juga akan diperkenalkan secara berperingkat yang bermakna tidak semua pengguna akan menerimanya serta-merta.
Dalam pada itu, WhatsApp turut memperkenalkan beberapa penambahbaikan untuk memudahkan pengurusan kumpulan. Antaranya termasuk fungsi mengekalkan mesej penting di bahagian atas ruang sembang supaya lebih mudah dirujuk, menapis mesej yang mengandungi sebutan dan balasan serta membolehkan ahli baharu melihat perbualan terdahulu selepas menyertai kumpulan.
Sumber: WABetaInfo