Firma Pelaburan MBK Partners Ambil-Alih Wacom
Aman
Wacom merupakan salah satu jenama terkemuka dalam penawaran sokongan tablet bersama pena, bagi memudahkan input dan lakaran menggunakan pena sekaligus mendigitalkan hasilnya. Syarikat berkenaan telah diasaskan pada 1983 di Jepun, dan turut telah bekerjasama dengan sejumlah syarikat dalam mengintegrasikan teknologi mereka, termasuk Microsoft dan juga Samsung.
Malah, Samsung sendiri sebelum ini sedia melabur dan mendapatkan pegangan pada Wacom.

Terbaru, firma pelaburan berpusat di Korea Selatan, MBK Partners telah mengumumkan akan mengambil-alih Wacom pada nilai melangkaui 1 trilion won (sekitar RM3.06 bilion). Proses pengambil-alihan dan pembelian saham daripada pelbagai pemilik dijangka selesai sepenuhnya pada tahun hadapan, sebelum Wacom dinyah-senarai daripada pasaran bursa Jepun.
Pihak pengurusan Wacom sedia ada, termasuk CEO Wacom sedia ada akan terus mengoperasikan syarikat pasca pengambil-alihan, dengan sasaran untuk terus membangunkan teknologi baharu dan memperluaskan lagi operasinya. Samsung dijangka akan mengekalkan pegangan pada syarikat ini, pasca nyah-senarai.