Epson Di Asia Tenggara Bersiap Sedia Untuk Matlamat Korporat Engineered Future 2035
Nazrin
Anda mungkin mengenali Epson sebagai jenama pekakasan elektronik dari Jepun yang terkenal untuk penawaran mesin pencetak dan juga projektor mereka. Walaupun begitu, mereka sedang bersiap-sedia untuk menaiktaraf syarikat sebagai sebuah syarikat teknologi kejuruteraan, selain daripada menawarkan perkakasan seperti mesin pencetak dan projektor sahaja.

Matlamat 10 tahun akan datang Seiko-Epson dinamakan Engineered Future 2035, yang mana mereka akan mula beralih dari menjadi syarikat jam, pencetak dan projektor semata-mata, dan akan beralih menjadi sebuah syarikat kejuruteraan untuk menangani cabaran seperti kekangan sumber dan tenaga serta kekurangan tenaga kerja, di samping meningkatkan produktiviti dan kebolehpercayaan dalam aspek pembelajaran, pekerjaan, dan kehidupan.
Seiko-Epson memperkenalkan proses Engineered Future 2035 pada awal tahun ini, dan untuk mencapai matlamat tersebut, mereka telah memecahkan proses pembangunan syarikat kepada tiga tonggak matlamat utama yang akan dicapai sepanjang 10 tahun akan datang.

Tonggak pertama dalah dari 2026 sehingga 2028, dimana matlamat syarikat ialah untuk mencapai pulangan modal yang dilaburkan sebanyak 8 peratus menjelang 2028. Sepanjang tempoh tersebut, Seiko-Epson akan memberi fokus terhadap asas pendapatan syarikat, meningkatkan kecekapan modal dan memperuntukkan sumber kepada sektor-sektor yang memperlihatkan pertumbuhan.

Untuk pasaran Asia Tenggara, Epson akan memberi fokus terhadap segmen perniagaan dan pasaran-pasaran yang akan memberi syarikat tersebut potensi jangka-masa panjang, termasuklah perniagaan sedia ada mereka seperti teknologi pencetakan di rumah dan pejabat, produk-produk gaya hidup dan visual.

Epson juga aktif didalam industri-industri lain seperti pencetakan industrial, robotik dan peranti-peranti kecil (micro devices), yang menurut mereka, akan menjadi lebih penting dalam masa beberapa tahun akan datang sementara mereka mengukuhkan tapak mereka dalam industri-industri tersebut.

Alvin Tan, Pengarah Urusan Epson Malaysia mengatakan bahawa Asia Tenggara kekal sebagai rantau yang penting dalam strategi pertumbuhan syarikat. Permintaan yang meningkat dalam sektor pendidikan, penjagaan kesihatan, pembuatan, dan perkhidmatan awam menjadikan rantau ini sangat sesuai untuk penawaran teknologi Epson yang cekap, padat, dan tepat.

Kedudukan Epson dalam lokasi-lokasi dengan kemudahan pembuatan, pejabat, dan pusat penyelesaian di seluruh rantau ini, Epson berada pada kedudukan yang baik untuk kekal dekat dengan pelanggan dan rakan kongsi dalam pelbagai industri seperti bidang percetakan, unjuran, dan automasi.

Fasa kedua (2028-2031) dan ketiga (2032-2035) Engineered Future 2035 Seiko-Epson akan memfokuskan terhadap menukarkan pendapatan syarikat kepada model membangun dan pembangunan struktur syarikat untuk memastikan kemaslahatan syarikat di masa akan datang.