Gemini Kini Boleh Menjana GIF Terus Daripada Arahan Teks
Amy Maizuraa
GIF sering digunakan untuk berkongsi reaksi dan emosi di media sosial. Kini, pengguna Gemini boleh menghasilkan GIF sendiri tanpa perlu bergantung kepada platform seperti Giphy atau Tenor. Mereka hanya perlu memasukkan arahan teks dan Gemini akan menjana GIF yang diinginkan.

Menurut Google, fungsi baharu ini menggunakan model Gemini Omni 1.2 Flash yang direka untuk menghasilkan animasi dengan pergerakan yang lebih konsisten pada setiap bingkai. GIF yang dihasilkan mempunyai tempoh sekitar tiga saat sebelum berulang secara automatik, sekali gus menjadikannya sesuai untuk dikongsi di media sosial atau digunakan dalam aplikasi pemesejan.
Selepas GIF dijana, pengguna boleh terus menyalin, berkongsi atau memuat turunnya untuk digunakan di pelbagai platform. Ciri ini menunjukkan usaha Google untuk menjadikan Gemini bukan sekadar pembantu AI. Menariknya, ia diperkenalkan hanya beberapa minggu selepas OpenAI melancarkan ciri penjanaan GIF pada ChatGPT.

Buat masa ini, ciri penjanaan GIF di Gemini hanya tersedia untuk pengguna pelan berbayar di beberapa pasaran terpilih. Google dijangka memperluaskan akses kepada lebih banyak negara pada masa akan datang.
Sumber: Gemini Apps Help