Huawei Mate90 Air Diperlihatkan Dengan Tubuh Nipis Dan Bonggol Kamera Bulat
Amy Maizuraa
Menjelang pelancaran rasmi, Huawei mula mengacah kehadiran Huawei Mate 90 Air menerusi beberapa bahan promosi rasmi yang dikongsi di media sosial. Peranti tersebut turut disenaraikan di kedai dalam talian Huawei bagi memberi gambaran awal kepada pengguna sebelum diperkenalkan secara rasmi.

Mate90 Air menggunakan panel belakang bergaris halus yang dipadankan dengan bonggol kamera bulat besar. Tubuh nipis dan susun atur yang kemas menjadikan peranti ini kelihatan lebih menarik. Kemasan seakan emas lembut pula menambahkan sentuhan premium. Secara keseluruhan, rekaannya mempunyai persamaan dengan Mate90 Pro Max yang diperkenalkan pada Oktober lalu.

Tiada spesifikasi rasmi yang didedahkan setakat ini. Namun, peranti ini dikatakan hadir dengan skrin melengkung bersaiz 7 inci serta sistem tiga kamera di bahagian belakang. Ia juga berkemungkinan dilengkapi pengimbas cap jari pada sisi, selain ditawarkan dengan memori 12GB RAM dan storan dalaman sehingga 512GB. Huawei turut dijangka menyertakan pengecas 66W dalam kotak pembelian.
Huawei Watch Air turut dijangka diperkenalkan bersama peranti ini dengan beberapa pembaharuan dari segi rekaan. Antara yang diketengahkan termasuk binaan yang lebih nipis, bezel yang lebih kecil serta paparan yang lebih luas berbanding peranti boleh pakai Huawei yang ditawarkan ketika ini.