Pos Malaysia Melancarkan Pos Rewards – Program Kesetiaan Dan Ganjaran Dikuasakan Capillary Technologies
Ikhwan Nazri
Program kesetiaan dan ganjaran merupakan satu komponen dalam perniagaan yang penting dalam memastikan pengguna kekal bersama sesebuah perniagaan. Capillary Technologies yang sedia dikenali sebagai syarikat yang menawarkan program kesetiaan dan pengurusan pelanggan berkongsi yang mereka kini bakal menjadi tunjang utama yang menjayakan Pos Rewards dari Pos Malaysia.

Menerusi kerjasama Pos Malaysia dan Capillary Technologies, Pos Rewards merupakan sebuah program kesetiaan berasaskan AI bagi pelanggan yang layak, termasuklah perusahaan kecil dan sederhana. Ini membolehkan mereka memperoleh mata ganjaran Pos Rewards bagi setiap ringgit yang dibelanjakan, berdasarkan perkhidmatan yang layak. Mata ganjaran tersebut seterusnya boleh ditebus untuk bermacam perkara, termasuklah bahan dan perkhidmatan pembungkusan, baucar e-dompet, barangan elektronik dan bermacam lagi.
Bagi tahun 2025, jumlah bungkusan yang dihantar Pos Malaysia meningkat sebanyak 9% dengan permintaan untuk penghantaran hari berikut kini mencapai tahap perkhidmatan 92% menandakan betapa pentingnya operasi logistik diperhebat. Dengan adanya Pos Rewards, ini sekaligus menambah nilai kepada pelanggan Pos Malaysia baik untuk produk yang dihantar didalam negara mahupun ke luar negara.
Terdahulu Capillary Technologies pada bulan Ogos 2026 telah memetrai kerjasama bersama MR DIY dalam menguasakan program ganjaran dan kesetiaan MR DIY di lebih 1,500 cawangan MR DIY di seluruh negara. Dengan penambahan Pos Rewards untuk Pos Malaysia, usaha untuk memberikan lebih nilai kepada segenap lapisan pengguna, baik korporat mahupun perniagaan kecil sederhana dilihat dapat memajukan kesemua perniagaan tanpa mengira saiz.