Tiada Perancangan Lesen Khas Untuk Platform Permainan Atas Talian Buat Masa Ini
Tiada perancangan untuk memperkenalkan pelesenan baharu terhadap platform permainan dalam talian setakat ini. Perkara itu dijelaskan oleh Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, semalam. Namun begitu, sektor permua (gaming) masih menjadi perhatian kerajaan terutamanya melibatkan aspek keselamatan pengguna muda.

Susulan itu, Forum Kandungan dan Multimedia Malaysia (CMCF) menjalankan kajian bagi mengenal pasti cabaran dan risiko dalam perkhidmatan permainan dalam talian. Tumpuan kini bukan lagi pada kandungan permainan semata-mata sebaliknya turut merangkumi cara pemain menggunakan platform tersebut setiap hari.

Penilaian berkenaan merangkumi ciri-ciri dalam permainan serta langkah perlindungan disediakan oleh pengendali platform. Pada masa sama, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) turut meneliti pendekatan yang digunakan di pasaran global bagi menilai kesesuaiannya untuk Malaysia. Hasil kajian ini dijangka menjadi asas dalam menentukan sama ada langkah perlindungan tambahan atau pendekatan kawal selia baharu perlu diperkenalkan pada masa hadapan.

Dalam perkembangan berkaitan, CMCF telah memulakan sesi libat urus awam bagi merangka garis panduan khusus (subkod) untuk industri berkenaan. Proses ini melibatkan pelbagai pihak termasuk pembangun permainan, pengendali platform, wakil e-sukan, pakar keselamatan, penyelidik serta pengamal undang-undang. Sebarang perubahan hanya akan dipertimbangkan selepas pandangan pihak berkaitan dinilai. Ia menunjukkan kerajaan masih berhati-hati dalam mempertimbangkan sebarang bentuk kawal selia baharu untuk industri tersebut.