Edits Dikemas Kini Dengan Sokongan iPad
Meta memperkenalkan sokongan iPad untuk aplikasi Edits. Melaluinya, pengguna kini mempunyai ruang kerja yang lebih luas untuk garis masa, kawalan suntingan dan tetingkap pratonton (preview). Menariknya, penambahan ini hadir hanya beberapa minggu selepas Edits diperkenalkan untuk macOS.

Kemas kini ini turut memperkenalkan ciri memotong klip video sebelum ia ditambah ke dalam projek. Pengguna boleh memilih bahagian video yang ingin digunakan terlebih dahulu sekali gus mengurangkan keperluan suntingan selepas itu. Selain itu, penjanaan sari kata kini boleh berjalan di latar belakang bagi membolehkan proses suntingan video diteruskan tanpa perlu menunggu sari kata dijana sepenuhnya.

Edits juga menerima beberapa penambahbaikan untuk pengolahan warna video. Pengguna kini boleh menggunakan LUT yang disediakan bagi menghasilkan warna video yang lebih menepati cita rasa masing-masing. Meta turut menyediakan 3 penuras warna baharu iaitu Saudade, Cafuné dan Borogodó. Selain itu, pustaka grafik kini diperluaskan dengan lebih 1,600 pelekat baharu yang boleh dicari mengikut kategori.
Pada masa yang sama, Edits Assistant kini boleh menganalisis gambar dan video bagi menghasilkan cadangan kandungan secara automatik. Bagaimanapun, ciri tersebut hanya tersedia kepada pengguna di Amerika Syarikat buat masa ini.