Tidal Haramkan Muzik Dijana AI Mulai Disember
Effi Saharudin
Tidal akan mengharamkan muzik yang dijana 100% oleh kecerdasan buatan (AI) generatif bermula 9 Disember depan. Keputusan diambil bagi memberikan tumpuan kepada artis manusia. Pada waktu yang sama muzik janaan AI didapati mengelirukan pendengar dan meniru gaya artis sebenar bagi mengaut keuntungan menerusi penstriman.

Pada 9 Disember, muzik yang 100% dijana AI akan dibuang dan ditolak. Pengedar yang menghantar kandungan sedemikian pula boleh disekat. Metadata yang menyatakan lagu dijana sepenuhnya oleh AI akan menyebabkan penghantaran ditolak. Muzik yang menggunakan AI sebagai alat bantuan dalam penerbitan masih lagi dibenarkan.
Tidal mengatakan sejak 90 hari yang lalu, 43% muzik yang dihantar ke platform dijana sepenuhnya oleh AI. Pada 6 November lalu pula, 60% muzik baharu yang dihantar didapati dijana sepenuhnya oleh AI. Sistem dalam Tidal telah meletakkan label supaya pendengar dapat melihat muzik bukan dihasilkan manusia serta tidak lagi boleh menjana pendapatan menerusi royalti.
Pada waktu ini terdapat 27 juta muzik janaan AI di Tidal yang bersamaan 6.3% daripada semua katalog muzik yang boleh distrim menerusi platform.