Pembesar Suara Harman Kardon Allure 2 Dan Liora Dilancarkan Untuk Pasaran Tempatan
Nazrin
Harman Kardon, jenama produk audio premium terkemuka hari ini telah memperkenalkan dua buah model pembesar suara terbaru mereka untuk pasaran tempatan, iaitu Harman Kardon Allure 2 dan juga Harman Kardon Liora untuk mereka yang mahukan pembesar suara yang tampil bukan sahaja dengan kualiti audio yang jitu, merdu dan mendalam, tetapi juga hadir dengan rekaan yang serba unik yang menepati cita rasa rekaan moden, dan boleh dimuatkan dalam pelbagai jenis ruang dan boleh dijadikan sebagai sebahagiaan daripada rekaan ruang dalam rumah.
Harman Kardon Allure 2
Bermula dengan Harman Kardon Allure 2, ia merupakan sebuah pembesar suara Bluetooth padat yang direka khusus bagi melengkapi setiap detik kehidupan seharian. Kubah lutsinarnya yang elegan, pencahayaan ambien 360 darjah dan penyampaian bunyi ke semua arah menyerlahkan keharmonian antara seni bunyi, cahaya dan reka bentuk.

Reka bentuk Harman Kardon Allure 2 menggabungkan tiga lapisan yang saling melengkapi: kubah lutsinar, struktur dalaman yang kelihatan seakan-akan terapung dan tapak yang dibaluti fabrik akustik. Siluet dengan lengkungan lembut mencerminkan identiti reka bentuk tersendiri Harman Kardon. Ia juga mempunyai efek pencahayaan yang diperhalusi dengan teliti membangkitkan suasana seiring dengan alunan muzik.
Ia juga hadir dengan tiga pemacu julat penuh menyebarkan bunyi ke setiap arah, manakala subwoofer yang menghala ke bawah menambah kedalaman dan kehangatan bunyi, memastikan muzik kedengaran seimbang dan memenuhi seluruh ruang.

Teknologi AI Sound Boost Harman Kardon direka untuk memaksimumkan prestasi audio dalam reka bentuk kompak, melaraskan output bunyi dalam masa nyata bagi memastikan bes kekal kaya dan terkawal tanpa herotan. Daripada menikmati alunan muzik akustik yang mendamaikan atau senarai lagu rancak pada malam Sabtu, kualiti bunyi kekal jelas dan menyenangkan pada setiap tahap kelantangan.
Satu lagi keunikan pembesar suara Allure 2 ini ialah lima mod pencahayaan terbina yang membolehkan pembesar suar ini disesuaikan dalam pelbagai jenis ruang dalam rumah ataupun bilik-bilik. Mod-mod ini termasuklah:
- Sunrise: pancaran cahaya keemasan yang hangat dan semakin terang ibarat fajar menyingsing
- Fireplace: cahaya rona ambar yang berkelip-kelip menyerupai pergerakan nyalaan api
- Ocean: alunan lembut cahaya biru yang beralun merentasi permukaan
- Aurora: jaluran cahaya berwarna-warni yang mengalir merentasi kubah bak fenomena aurora di langit utara
- Blossom: rona merah jambu lembut dan jingga hangat yang bergerak perlahan ibarat kelopak bunga ditiup bayu

Pencahayaan boleh ditukar dengan mudah melalui dua cara, pertama dengan butang fizikal pada pembesar suara ini, dan kedua melalui aplikasi Harman Kardon yang boleh dimuat-turun dan juga menawarkan fungsi tambahan seperti penyesuaian warna, kecerahan dan kelajuan animasi pencahayaan.
Harman Kardon Liora
Harman Kardon Liora diperkenalkan sebagai inovasi terbaru syarikat tersebut dalam membangunkan sebuah produk audio premium yang menggabungkan olahan bunyi, cahaya dan seni reka bentuk yang baru dan unik.

Salah satu kelebihan utama pembesar suara ini ialah seni bina akustik serba baharu yang dibangunkan khusus untuk model mercu ini. Dua subwoofer bersaiz 5 inci dalam konfigurasi push-push ditempatkan secara simetri di bahagian atas dan bawah pembesar suara.
Kedua-duanya beroperasi dalam arah bertentangan untuk mengimbangi getaran dan memastikan bunyi frekuensi rendah kekal mantap dan terkawal, menghasilkan bes yang mendalam, berkuasa dan sentiasa jelas. Rangkaian pemacu julat pertengahan dan tweeter khusus yang menghala ke pelbagai arah pula menyebarkan bunyi khas Harman Kardon dalam liputan 180 darjah dengan keluasan dan kejituan tinggi.

Selain daripada kualiti audio premium, rekaan pembesar suara Liora ini juga memperlihatkan kehebatan Harman Kardon dalam memperlihatkan rekaan pembesar suara yang tidak konvensional, tetapi juga boleh dilihat sebagai sebuah produk yang melengkapkan “rupa” ruang dalam bilik dan juga rumah secara elegan.
Liora menampilkan dua kubah lutsinar yang mencerminkan satu sama lain pada garisan tengah, dilingkari fabrik tenunan halus 360 darjah. Di bawah kubah ini terdapat struktur monokristal yang diletakkan dengan penuh ketepatan, menampilkan lengkungan beralun yang terperinci. Struktur ini memancarkan dan memantulkan cahaya yang seakan-akan menari di permukaannya sebelum menyinari kubah lutsinar.

Pengguna boleh mengawal penggunaan pembesar suara ini melalui aplikasi Harman Kardon One. Pengguna boleh terus menstrim muzik daripada aplikasi pilihan melalui Wi-Fi atau Bluetooth. Hanya dengan menekan butang Moment, pengguna boleh memainkan senarai lagu, album atau landskap bunyi yang telah ditetapkan. Dua pembesar suara Liora boleh dipadankan secara nirwayar untuk menghasilkan penyampaian bunyi stereo yang lebih luas.
Pra-tempahan untuk kedua-dua pembesar suara ini sudahpun dibuka melalui gedung atas-talian Harman Kardon di Shopee dan juga Lazada bermula hari ini sehingga 6 Disember 2026, sebelum ia dijual secara rasmi pada 7 Disember 2026.


Tanda harga kedua-dua pembesar suara ini adalah seperti berikut:
- Harman Kardon Allure 2 – RM1099
- Harman Kardon Liora – RM5399
- Harman Kardon Liora Stand – RM799
- Harman Kardon Liora + Stand – RM5688