Huawei Mate X8 Kini Rasmi Dengan Magnet Mengurangkan Alur Lipatan Skrin
Effi Saharudin
Huawei Mate X8 rasmi dilancarkan di China semalam dengan teknologi baharu yang dikatakan boleh mengurangkan laur lipatan pada skrin. Menerusi rekaan engsel baharu dengan sistem magnet, Huawei mengatakan kesan lipatan pada skrin boleh dikurangkan sehingga 99.9%.

Skrin utama sebesar 8.2″ LTPO OLED dengan kadar segar semula 120HZ dan juga keterangan puncak 8000 nits. Di luar pula skrin sebesar 6.54″ LTPO OLED dengan 120HZ serta keterangan puncak 12,000 nits. Ini dipadankan dengan cip Kirin 9050 Pro, memori sehingga 16GB RAM, storan sehingga 2TB dan bateri 6,200mAh yang menyokong pengecasan 66W berwayar serta 50W nirwayar.

Kamera utama terdiri daripada lensa sudut lebar 50MP OIS apertur boleh diubah, ultra lebar 40MP dan telefoto periskop 50MP OIS dengan zum optikal 3.5X. Sementara itu dua kamera swafoto pula sebesar 8MP. Seperti siri Pura 90, Mate X8 menyokong aksesori lensa tambahan Ruiying Z10 yang mempunyai sensor 1″ 50MP RYYB tersendiri.

Tubuh melepas piawaian kalis air dan debu IP59. Sistem operasi yang digunakan pula ialah HarmonyOS 7.0. Selain sokongan rangkaian 5G, Mate X8 turut boleh melakukan komunikasi menerusi satelit.
Di China, Huawei Mate X8 dijual pada harga bermula RMB 12999 (~RM 8029) untuk model 12/256GB dalam pilihan warna Purple-Gold Brocade, Danxia Brocade, Azure Cloud Brocade, Firmament Black dan Snowy Land White.