Cikgu ILMU Diperkenalkan Bagi Bantu Ibu Bapa Membimbing Pembelajaran Anak
Amy Maizuraa
Pembelajaran anak-anak kini tidak lagi terhad kepada bilik darjah semata-mata, malah turut disokong oleh pelbagai teknologi. Selaras dengan itu, YTL AI Labs memperkenalkan Cikgu ILMU iaitu sebuah aplikasi pembelajaran berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang direka untuk membantu anak-anak belajar di rumah.

Cikgu ILMU dibangunkan berasaskan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) yang merangkumi pembelajaran dari Tahun 1 hingga Tingkatan 5. Berbeza daripada kebanyakan aplikasi perbualan AI, ia direka mengikut silibus sekolah Malaysia bagi memastikan penerangan yang diberikan lebih selaras dengan apa yang dipelajari murid di sekolah.

Antara ciri yang ditawarkan ialah bantuan kerja rumah yang membolehkan ibu bapa mengambil gambar soalan dan mendapatkan penerangan langkah demi langkah daripada AI. Dengan cara ini, ibu bapa dapat memahami sesuatu topik sebelum membantu anak-anak mereka. Selain itu, Cikgu ILMU turut menyediakan panduan pembelajaran yang membolehkan pengguna menjana nota dan bahan rujukan mengikut topik. Kuiz kendiri pula membantu menguji pemahaman pelajar, manakala kad imbasan direka untuk memudahkan proses ulang kaji dan mengingati konsep penting.

Bagi melengkapkan pengalaman pembelajaran, Cikgu ILMU turut menyokong empat bahasa utama iaitu bahasa Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil. Aplikasi ini juga dilengkapi dengan ciri input suara serta audio bacaan yang membolehkan pengguna mendengar kandungan pembelajaran dalam bahasa pilihan mereka. Ditawarkan secara percuma, Cikgu ILMU hadir sebagai pelengkap kepada ILMU Chat dan ILMU Code yang diperkenalkan sebelum ini.