Huawei Watch Air Dilancarkan Dengan Rekaan Nipis Dan Bateri Hingga 5 Hari
Huawei Watch Air ialah jam tangan pintar premium baharu Huawei yang menampilkan reka bentuk nipis dan ciri kesihatan yang lebih menyeluruh. Ia hanya setebal 6.9 mm dan seberat 27 gram, serta menggunakan rangka aloi titanium gred aeroangkasa yang ringan dan tahan lasak.

Jam tangan ini dilengkapi skrin LTPO 2.0 AMOLED berukuran 1.92″ dengan tahap kecerahan sehingga 3500 nits. Huawei turut menawarkan pemantauan kadar denyutan jantung, ECG, oksigen darah (SpO₂), suhu badan, tekanan dan kualiti tidur. AI Health Insights, Body Readiness serta One-Click Micro Health Check turut ditawarkan bagi membantu pengguna memantau kesihatan dengan lebih menyeluruh. Huawei Watch Air juga menyokong lebih 110 mod sukan termasuk larian, berbasikal, latihan kekuatan, golf, tenis, padel dan berenang.


Melengkapkan jam tangan ini ialah bateri 350mAh yang mampu bertahan sehingga lima hari penggunaan biasa serta menyokong pengecasan tanpa wayar. Ia juga menyokong Bluetooth 6.0, NFC, GPS dwi-frekuensi dan serasi dengan peranti HarmonyOS, Android serta iOS. Harga jualannya bermula pada RMB 2,499 (~RM1,541) manakala model dengan tali jaring keluli tahan karat dijual pada harga RMB 2,999 (~RM1,849). Buat masa ini, tiada maklumat mengenai ketersediaannya di Malaysia.
Sumber: HUAWEI China