Rekaan Penuh Nothing Ear (Note) Diperlihatkan Menjelang Pelancaran Rasmi
Amy Maizuraa
Nothing akhirnya mendedahkan reka bentuk penuh Ear (Note) menerusi video rasmi terbaharunya. Tumpuan utama sudah semestinya terarah kepada pod pengecasan yang berbeza daripada mana-mana aksesori audio Nothing sebelum ini.

Pod pengecas tersebut lebih besar dan berkotak berbanding siri Nothing Ear sedia ada. Ia turut dilengkapi lampu penunjuk berwarna merah dan hijau serta butang “TALK” yang dipercayai digunakan untuk memulakan rakaman atau mengakses ciri AI. Sementara itu, fon telinganya masih mengekalkan reka bentuk lutsinar serta penanda titik merah dan putih yang sinonim dengan siri Nothing Ear.

Menurut pengasas bersama Nothing, Akis Evangelidis, Ear (Note) bukan sekadar alat rakaman. Beliau berkata produk itu merupakan sebahagian daripada usaha Nothing untuk membawa pengalaman AI lebih dekat kepada penggunaan harian. Rakaman boleh dilakukan terus melalui fon telinga dan pod pengecas tanpa memerlukan peranti tambahan.

Beliau turut menjelaskan bahawa pengguna hanya perlu menekan satu butang untuk merakam keseluruhan perbualan dalam sesuatu panggilan tanpa bergantung kepada aplikasi tertentu. Selain itu, pod pengecasannya boleh diletakkan di atas meja ketika mesyuarat atau perbualan bersemuka untuk merakam suara dalam jarak sehingga lima meter serta mengenal pasti individu yang sedang bercakap.

Dalam laporan sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Nothing, Carl Pei turut menyentuh soal privasi kerana produk tersebut boleh digunakan untuk merakam perbualan. Beliau berkata Nothing mengambil langkah yang diperlukan bagi memastikan aspek privasi diberi perhatian. Pada masa sama, beliau berpendapat peranti AI untuk pengguna masih berada pada peringkat awal namun mempunyai potensi besar pada masa hadapan.
Buat masa ini, Nothing masih belum berkongsi spesifikasi penuh Ear (Note). Lebih banyak maklumat mengenainya dijangka didedahkan ketika pelancarannya pada 8 Disember 2026.