Huawei Mate 90 Air Dilancarkan Dengan Tubuh Nipis Dan Bateri 6500mAh
Amy Maizuraa
Huawei secara rasmi melancarkan Mate 90 Air yang menggabungkan elemen premium melalui reka bentuk nipis tanpa mengorbankan kapasiti bateri yang besar.

Antara sorotan utama peranti ini ialah tubuh setebal 6.58mm yang dipadankan dengan bateri 6500mAh sekali gus menjadikannya antara telefon Huawei paling nipis dengan bateri berkapasiti besar. Ia juga dilengkapi skrin 7-inci dengan nisbah skrin-ke-badan 94.1%, kecerahan puncak sehingga 4000 nits, sokongan Audio Vivid dan HDR Vivid, teknologi AI HDR Display serta ciri perlindungan mata berasaskan AI.

Mate 90 Air dijana oleh cip Kirin 9020 dengan Huawei mendakwa prestasinya meningkat sehingga 35% berbanding generasi terdahulu. Selain itu, peranti ini menggunakan sistem kamera XMAGE Red Maple True Color yang dipadankan dengan kamera utama 50MP, telefoto 12MP dan ultra lebar 8MP untuk hasil gambar yang lebih baik.

Mate 90 Air turut menjalankan HarmonyOS 7 yang hadir dengan pelbagai ciri AI melalui pembantu maya Xiaoyi termasuk fungsi mencatat nota, meringkaskan panggilan dan membantu mengurus tugasan harian. Turut disertakan ciri pengesanan suara palsu, sokongan mesej satelit Beidou, perkongsian rangkaian antara peranti serta fungsi pencarian peranti walaupun telefon dimatikan.

Huawei turut memberi tumpuan kepada aspek audio menerusi pembesar suara stereo simetri. Lain-lain spesifikasi termasuk penarafan kalis air dan debu IP68, sokongan NFC serta beberapa ciri sambungan tambahan. Di China, Huawei Mate 90 Air ditawarkan pada harga bermula RMB4,999 (~RM3,085).