Siri Televisyen Pintar Haier UltraSense AI QD-Mini LED M90, M92 dan M96 Diperkenalkan Untuk Pasaran Tempatan
Nazrin
Haier, jenama perkakasan elektronik terkemuka hari ini telah memperkenalkan tiga siri televisyen pintar baharu yang dikuasakan teknologi kecerdasan buatan dan juga falsafah ‘More Than Vision’ mereka. Model-model televisyen ini tampil menggunakan teknologi Haier UltraSense AI yang bukan sahaja menawarkan olahan warna jitu, output yang tajam dan juga sokongan untuk kadar segar semula yang tinggi.

Tiga model televisyen ini termasuklah Haier M90, M92 dan M96, yang terletak di bawah siri televisyen QD Mini LED mereka yang menggunakan panel tersebut untuk olahan visual yang jitu dan menawan, tidak kira untuk tontonan siri televisyen, filem rakaman video sendiri ataupun untuk gaming.

Ketiga-tiga model televisyen ini juga hadir dengan sokongan untuk kadar segar semula 144Hz yang bukan sahaja menjanjikan olahan visual tajam sewaktu detik-detik penuh aksi apabila menonton filem, tetapi juga membantu dalam menawarkan olahan grafik yang cantik dan stabil sewaktu sesi gaming dengan konsol permainan kegemaran anda.

Televisyen-televisyen pintar ini hadir dengan teknologi UltraSense AI yang dikuasakan oleh AIPQ Ultra Engine. Teknologi ini menggunakan pengesanan pemandangan pintar dan pengoptimuman masa nyata untuk meningkatkan kualiti gambar, ketepatan warna, kedalaman imej dan pergerakan visual. Tiga tunjang utama teknologi UltraSense AI ini termasuklah UltraSense AI Cinema, UltraSense AI Sound dan UltraSense AI Gaming yang membantu dalam mengoptimasikan kualiti output visual, audio dan gaming pengguna tanpa pengubahsuaian manual dari pihak pengguna.


Haier M90 tampil dengan pilihan saiz paparan terbanyak, termasuklah 55 inci, 65 inci, 75 inci dan 85 inci pada resolusi 4K dengan 720 zon pemalapan dengan nilai kecerahan setinggi 1000 nits. Model Haier M92 pula tampil dengan pilihan saiz 75 inci dan 85 inci dengan 720 zon pemalapan dengan nilai kecerahan setinggi 1300 nits. Model M92 juga tampil dengan ciri zero gap dimana televisyen akan kelihatan seperti ia melekap ke dinding tanpa sebarang ruang jika anda menggunakan ciri lekapan dinding.


Haier M96 pula merupakan televisyen dengan saiz paling besar dalam siri ini, dengan penawaran saiz 100 inci dengan 2170 zon pemalapan dan nilai kecerahan setinggi 2100 nits. Ini digabungkan dengan lapisan skrin pantulan rendah dan juga pembesar suara 6.2.2 yang dibangunkan oleh KEF dan menyokong teknologi audio Dolby Atmos secara terbina.


Haier Malaysia mengatakan bahawa televisyen-televisyen ini sudahpun mula dijual di pasaran tempatan pada harga-harga berikut:
- Haier M90 (55 inci) – RM3499
- Haier M90 (65 inci) – RM4499
- Haier M90 (75 inci) – RM5999
- Haier M90 (85 inci) – RM8499
- Haier M92 (75 inci) – RM6999
- Haier M92 (85 inci) – RM9499
- Haier M96 (100 inci) – RM19,999