BYD Dan Sime Motors Memulakan Fasa Pemasangan CKD Di Malaysia
Amy Maizuraa
BYD dan Sime Motors kini memulakan operasi pemasangan kenderaan BYD secara CKD di Malaysia selepas mengumumkan perancangan tersebut sebelum ini. Perkembangan ini menyaksikan BYD beralih daripada model import sepenuhnya (CBU) kepada pemasangan secara CKD di Malaysia.

Bagi fasa awal, BYD SHARK 6 dipilih sebagai model pertama yang akan dipasang di kilang Inokom milik Sime Motors di Kulim, Kedah. Model trak pikap hibrid plug-in (PHEV) itu turut menandakan kemasukan BYD ke dalam segmen pikap pacuan empat roda (4×4) di Malaysia.


Menurut Pengarah Urusan BYD Malaysia, Jacob Ma, operasi CKD ini merupakan sebahagian daripada strategi jangka panjang syarikat di Malaysia yang turut melibatkan kerjasama dengan pemain industri automotif. Beliau berkata langkah itu bukan sekadar membabitkan pemasangan kenderaan malah merangkumi perkongsian teknologi, kepakaran serta pembangunan tenaga kerja berkemahiran.

Dalam pada itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata kehadiran pengeluar global seperti BYD mampu mengukuhkan lagi industri automotif Malaysia di samping mempercepatkan perkembangan pasaran kenderaan elektrik (EV).
Mengenai kapasiti pengeluaran, BYD tidak mendedahkan jumlah unit yang akan dipasang di kilang Inokom setakat ini namun yakin kapasitinya mencukupi untuk memenuhi permintaan pasaran Malaysia.
Sumber: BYD Cars Malaysia