Oppo Watch 5 Bakal Ke Malaysia – Tempahan Awal Kini Dibuka Dengan RM50
Amy Maizuraa
Oppo dilihat mula menyenaraikan Watch 5 baharu di Malaysia yang menandakan pelancarannya yang semakin hampir. Ia merupakan jam tangan pintar terbaharu Oppo yang hadir dengan pelbagai ciri kesihatan, kecergasan dan fungsi pintar yang dipertingkatkan.

Namun berdasarkan pelancarannya di China sebelum ini, Watch 5 membawakan UltraBurn Mode sebagai antara ciri utama yang membantu pengguna memilih zon degupan jantung yang sesuai ketika bersenam. Turut ditawarkan ialah lebih 100 mod sukan terbina, pelbagai ciri pemantauan kesihatan serta AI Personal Trainer. Melengkapinya ialah skrin AMOLED 1.85 inci dengan kecerahan sehingga 3,000 nits, bateri sehingga 10 hari serta penarafan kalis air dan debu IP69 serta 5ATM.

Bagi yang berminat, tempahan awal kini dibuka menerusi laman web rasmi Oppo dengan deposit sebanyak RM50. Tempahan turut didatangkan bersama Pingu Tumbler percuma bernilai RM159. Bagaimanapun, Oppo masih belum mendedahkan harga jualan rasmi Watch 5.
Sumber: OPPO Malaysia