X Perkenalkan Parental Controls – Ibu Bapa Kini Boleh Pantau Akaun Anak-Anak
Amy Maizuraa
Di sebalik kebebasan yang ditawarkan media sosial, isu keselamatan remaja terus menjadi perhatian. Susulan itu, X memperkenalkan ciri Parental Controls bagi membantu ibu bapa memantau penggunaan akaun pengguna berusia antara 13 hingga 17 tahun.

Ciri ini memberi ibu bapa lebih kawalan terhadap aktiviti anak mereka di platform berkenaan termasuk mengehadkan kandungan yang boleh dilihat, mengawal siapa yang boleh menghubungi mereka serta menapis kandungan yang dianggap sensitif atau tidak sesuai.
Bagaimanapun, X menegaskan bahawa ibu bapa tidak mempunyai akses penuh kepada akaun anak mereka. Mesej peribadi, sejarah carian dan kandungan yang dilihat kekal peribadi, namun setiap perubahan yang dibuat menerusi ciri ini akan dimaklumkan kepada pemilik akaun.

Menurut X, ciri ini direka untuk memastikan keselamatan remaja ketika menggunakan media sosial tanpa menjejaskan kebebasan mereka. Pada masa sama, ibu bapa boleh memantau penggunaan platform tanpa mengambil alih akaun anak mereka sepenuhnya.
Tinjauan kami di ruangan komen menunjukkan reaksi pengguna yang bercampur-baur. Ada yang melihatnya sebagai langkah positif namun tidak kurang juga berpendapat tanggungjawab melindungi pengguna bawah umur sepatutnya bermula di rumah. Sebahagian pengguna turut mempersoalkan keperluan ciri tersebut, manakala yang lain mahukan kawalan yang lebih jelas antara pengguna dewasa dan remaja.