Pasaran Telefon Pintar Global Diramal Terus Merosot Sebelum Pulih Pada 2028
Amy Maizuraa
Counterpoint Research meramalkan pasaran telefon pintar global akan terus merosot sehingga 2027 sebelum pulih pada tahun berikutnya. Menurut laporan tersebut, kekurangan bekalan memori seperti DRAM dan LPDDR akibat permintaan tinggi daripada sektor AI dan pusat data telah meningkatkan kos komponen. Keadaan ini menyebabkan harga peranti meningkat manakala model berharga rendah semakin berkurangan.

Melihat graf bar yang disertakan, jumlah penghantaran telefon pintar global menunjukkan trend yang tidak stabil antara 2024 hingga 2028. Penghantaran meningkat pada awal tempoh tersebut sebelum menurun dengan ketara sehingga 2027. Pasaran dijangka pulih pada 2028 namun tahap penghantaran dijangka masih belum mampu kembali seperti sebelum kemerosotan berlaku.

Dari sudut pengeluar, Apple dijangka terus menguasai pasaran telefon pintar global pada tahun 2026 dan 2027 meskipun penghantarannya sedikit menurun. Samsung juga dijangka kekal stabil kerana mempunyai bekalan komponen sendiri dan sokongan jualan yang kukuh.

Berbeza pula ceritanya bagi Xiaomi, Oppo, vivo dan Honor yang dijangka menghadapi cabaran lebih besar akibat peningkatan kos komponen dan permintaan pasaran yang lemah. Sementara itu, Huawei pula dijangka mencatat pertumbuhan pada tahun ini hasil kedudukannya yang kukuh di China serta keupayaan teknologinya sendiri. Namun, pertumbuhannya mungkin terjejas sekiranya tekanan kos dan kekangan bekalan berterusan.

Menjelang tahun 2028, pasaran telefon pintar global dijangka kembali meningkat hasil bekalan memori yang semakin baik dan peningkatan permintaan pengguna. Namun, pasaran masih belum mampu kembali ke tahap yang dicapai pada 2025 kerana pengguna kini cenderung menggunakan telefon lebih lama serta memilih telefon terpakai.