Anda Kini Boleh Menyemak Slot Tempahan Rembayung Menerusi Akaun Rasmi Threads
Fenomena Rembayung terus menjadi perhatian ramai hingga ke hari ini. Kesukaran mendapatkan slot tempahan turut membuka ruang kepada penipuan. Namun, orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini dengan merujuk akaun rasmi Rembayung di Threads.

Akaun rasmi tersebut baru dibuka dalam tempoh 24 jam lalu malah disahkan sendiri oleh Khairul Aming selaku pengasas jenama berkenaan. Melalui akaun itu, orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai tempahan dan perkembangan semasa Rembayung. Menurut Khairul Aming, akaun tersebut akan dikemaskini satu hingga dua minit sebelum slot tempahan dibuka. Justeru itu, orang ramai disarankan mengikuti akaun berkenaan bagi mendapatkan maklumat dengan lebih pantas.

Tinjauan kami pada akaun tersebut mendapati beberapa tarikh baharu bagi slot tempahan telah ditambah bersama jumlah pengunjung yang dibenarkan. Namun, tempahan masih perlu dibuat menerusi saluran rasmi seperti aplikasi Grab yang juga menawarkan pilihan makan di premis (dine-in) dan bawa pulang (takeaway).
Dalam perkembangan sama, Khairul Aming turut mengingatkan orang ramai agar berwaspada terhadap pihak tidak bertanggungjawab yang menawarkan slot tempahan Rembayung melalui aplikasi tertentu termasuk Telegram. Orang ramai dinasihatkan supaya hanya merujuk saluran rasmi bagi mengelakkan penipuan.
Sumber: Threads