Cari @ Amanz

Sudah bertahun pengeluar peranti China bekerjasama dengan pengeluar kamera. Oppo dan OnePlus dengan Hasselblad, Vivo dengan Zeiss, dan sebelum ini Huawei dengan Leica. Tahun lalu Leica berubah arah dan melakukan kerjasama dengan Xiaomi yang dengan pengumuman yang dilakukan cukup mengejutkan dunia teknologi.

Dalam ulasan ini akan saya kongsi pengalaman penggunaan Xiaomi 13, iaitu model asas peranti mercu Xiaomi tahun ini. Tiada sensor kamera 1″ Sony IMX989, tetapi lensa dan perisian masih dibangunkan bersama Leica. Adakah ini peranti mercu fotografi terbaik atau hanya sebuah peranti mercu bersaiz kompak?


Spesifikasi

Xiaomi 13
Skrin6.36″ AMOLED, FHD+ 2400×1080, ~413 ppi
120Hz AdaptiveSync, Pro HDR, Dolby Vision,
HDR10+, 1200 nits
PemprosesSnapdragon 8 Gen 2 (4nm)
Cip1x 3.2 GHz Cortex-X3
2x 2.8 GHz Cortex-A715
2x 2.8 GHz Cortex-A710
3x 2.0 GHz Cortex-A510
Cip GrafikAdreno 740
RAM12 GB LPDDR5X
Sehingga 7GB Memori maya
Muatan Dalaman256GB UFS 4.0
Kamera Utama54/50 MP, f/1.8, HyperOIS, (Sudut Lebar)
10 MP, f/2.0, (Telefoto Leica)
12 MP, f/2.2 (Sudut Ultra Lebar Leica)

Leica Vario-Summicron, 8K, Dolby Vision
Leica Authentic, Leica Vibrant
Potret Master Lens 35mm, 50mm, 90mm, 75mm
Kamera Swafoto32 Megapixel f/2.0
Bateri4500 mAh
Pengecasan berwayar 67W
Pengecasan nierwayar 50W
Pengecasan nirwayar berbalik 10W
SIM/TelefoniDwi SIM nano / 5G
NFCYa
AudioTiada bicu audio
Speaker stereo Dolby Atmos
Kalis AirIP68
Sistem ImbasanPengimbas jari bawah skrin
Harga JualanRM 3499 (12/256 GB)

SKRIN

Walaupun tangan saya besar, saya masih sukakan peranti yang bersaiz kecil ini. Xiaomi 13 menggunakan skrin 6.36-inci AMOLED darpadai panel OLED E6 dengan resolusi FHD+, sokongan kadar segar semula 120Hz AdaptiveSync dan paparan Pro HDR yang boleh memaparkan kandungan Dolby Vision.

Disebabkan Xiaomi 13 tidak menggunakan panel LTPO, sokongan kadar segar semula 120Hz dioptimasikan dengan perisian melalui ciri AdaptiveSync yang boleh turun pada kadar 30Hz, 60Hz dan 90Hz sama ada secara automatik atau terus paksa sentiasa berjalan pada kadar 120Hz. Setakat penggunaan, skrin sentiasa pantas dan lancar tanpa sekali pun masalah lengah masa berlaku.

Rekaan skrin adalah dengan lubang di tengah atas serta menggunakan bezel nipis. Anda mungkin akan nampak skrin ini nampak menyeluruh, tetapi walaupun bezel nipis ia masih tidak sekata dan tebal di bahagian dagu (sedikit sahaja). Turut terdapat pengimbas cap jari di bawah skrin dari jenis optikal yang pantas dan sepanjang ulasan tiada sebarang masalah jari gagal diimbas.

Sepanjang ulasan, ini adalah skrin OLED FHD+ paling memuaskan pernah saya guna tahun ini. Skrin benar-benar terang kerana boleh mencapai 1200 nits. MIUI 14 memberikan ciri Super Resolution, AI Image Enhancement dan AI HDR Enhancement yang menjadikan pengalaman penggunaan lebih memuaskan. Di Netflix misalnya sokongan Dolby Vision disokong yang memberikan pengalaman menonton seakan menggunakan televisyen mahal, cuma pada saiz mini.

Rekaan

Saya bersyukur Xiaomi menggunakan rekaan rata di keliling peranti dan pada skrin. Sementara di belakang sedikit melengkung untuk memberi cengkaman. Untuk peranti Android saya kurang gemar menggunakan kerangka pelindung, jadi rekaan peranti ini nampak kosong dan sedikit membosankan.

Jangan salah faham, Xiaomi 13 memang nampak ringkas dan cantik. Cuma kemasan berkilat pada warna Floral Green ini tidak cukup menarik perhatian saya. Kerana saiznya yang agak kecil, peranti mudah dikendalikan dengan satu tangan. Tetapi panel belakang mudah menangkap kotoran cap jari yang membuatkannya kelihatan berminyak walaupun dipakai untuk tempoh yang pendek.

Walaupun begitu, modul kamera adalah segi empat dengan bucu membulat dan rata. Peranti ini boleh diletakkan di atas permukaan meja tanpa ia terasa terjongkang-jungkit. Ini juga adalah salah satu faktor saya tidak menggunakan kerangka silikon yang diberikan.

Semua butang kuasa dan suara berada di sisi kanan. Sementara di atas mempunyai dua lubang mikrofon, satu lubang untuk kekisi speaker dan pemancar infra merah. Di bawah pula terdapat sebuah lagi lubang mikrofon, kekisi speaker dan slot kad SIM.

Secara keseluruhan, Xiaomi 13 adalah sebuah peranti kompak yang sangat baik. Kali terakhir saya menggunakan peranti mercu kompak yang baik seperti ini adalah Sony Xperia 5 IV. Jadi apa yang Xiaomi lakukan pada peranti mercu mereka kali ini pastinya dihargai peminat peranti bersaiz kompak. Namun begitu ia masih belum sempurna sepenuhnya.

Perisian

Bertahun saya mengadu kepada wakil Xiaomi Malaysia kenapa MIUI versi global tidak sama seperti versi China. Antara yang sering diadukan ialah paparan iklan dan aplikasi gendut yang banyak. Masalah notifikasi pula tiada lagi pada peranti ini kerana sudah dibaiki sejak Xiaomi 12 Lite dan untuk iklan, saya sedari sejak Poco X5 Pro beberapa minggu lalu turut tidak lagi berlaku. Jadi adalah bermakna Xiaomi mendengar aduan dan keluhan saya?

Sudah semestinya bukan saya seorang sahaja. Kerana jika anda aktif di forum rasmi Xiaomi, memang ramai pengguna mengadu dan saya sangat bersyukur Xiaomi mendengar dan menyelesaikan masalah-masalah ini. Kembali pada Xiaomi 13 yang menjalankan MIUI 14 yang terbaru, sistem operasi ini dibina berasaskan Android 13 dan inilah MIUI terbaik pernah saya gunakan setakat ini.

Sebaik peranti dihidupkan tiada iklan dipaparkan. Peranti berfungsi lancar dan sehingga hari ini sudah masuk minggu ketiga saya gunakan peranti ini tiada isu berbanding berulang. Netflix terus sedia menyokong Dolby Vision. Ini berbeza dengan Nothing Phone (1) yang sudah terima kemas kini stabil Netflix tetapi masih tiada HDR. OnePlus 11 yang saya ulas baru-baru ini juga masih tiada kemas kini mengaktifkan ciri Dolby Vision.

MIUI 14 dilengkapi dengan banyak ciri dan fungsi menarik yang menjadikan pengalaman penggunaan saya memuaskan. Skrin menyokong ciri Detect Gaze, di mana peranti tidak akan dikunci jika kamera mengesan mata sedang melihat skrin. Heart Rate untuk menyemak degupan jantung dengan cap jari dan Memory Extension untuk menambah sehingga 7GB memori maya bagi meningkatkan prestasi boleh digunakan pada peranti ini.

Ciri Android 13 asli juga banyak, lebih-lebih lagi pada sekuriti seperti memaparkan apa yang telah disalin pada papan klip dan sumber mana sesuatu ditampal seperti teks atau gambar.

Walaupun begitu, MIUI 14 masih tidak sempurna. Pertama sejak MIUI 12 saya rasakan rekaan antaramuka masih kelihatan lebih kurang sama, jadi tidak banyak perubahan mengejutkan kecuali elemen-elemen kecil.

Peranti ini turut tidak menyokong tema Material You untuk warna adaptif mengikuti gambar latar atau untuk menukar ikon dengan baik, kerana MIUI 14 masih menggunakan sistem tema tersendiri. Paling saya tidak suka adalah mod gelap masih menggunakan apa yang Google sediakan iaitu adaptif, menjadikan banyak aplikasi (kecuali aplikasi Xiaomi sendiri) tidak memaparkan teks dengan baik.

Prestasi Dan Penanda Aras

Xiaomi 13 dijana dengan cip paling berkuasa untuk peranti Android di pasaran sekarang iaitu Snapdragon 8 Gen 2 yang dipadankan dengan memori terpantas dan yang terkini iaitu RAM LPDDR5X 12GB dan storan dalaman 256GB UFS 4.0. Kedua-dua ini membantu peranti berfungsi dengan keadaan baik dan mempunyai prestasi terpantas untuk peranti Xiaomi.

Apa yang mengejutkan adalah apabila menjalankan banyak permua seperti COD Mobile, Marvel Snap dan Asphalt 9 peranti tidak memanas walaupun sudah hampir satu jam bermain. Peranti juga tidak berlaku sebarang lengah masa yang serius. Saya teruja kerana peranti sekecil ini mempunyai kemampuan yang luar biasa yang OnePlus 11 juga tidak mampu capai.

Ujian penanda aras yang saya lakukan adalah dengan menggunakan AnTuTu 3D dan Geekbench 6. Sayang sekali, Xiaomi tidak membenarkan sebarang ujian dilakukan dengan 3DMark. Semua ujian penanda aras dan permua yang saya main adalah dengan menggunakan Game Turbo untuk menerima prestasi paling optimum.

Geekbench 6

  • Xiaomi 13 – 1903/5437
  • Redmagic 8 Pro – 1689/5301
  • OnePlus 11 – 1495/4805
  • Apple iPhone 14 Pro Max – 2524/6317

AnTuTu 3D

  • Xiaomi 13 – 1,272,181
  • Redmagic 8 Pro – 1,293,501
  • OnePlus 11 – 1,104,135
  • Apple iPhone 14 Pro Max – 974,941

Skor satu teras dan multi-teras pada Geekbench 6 adalah yang paling tinggi setakat yang saya uji sendiri setakat ini. Ini adalah skor yang lebih kurang sama dengan Samsung Galaxy S23 Ultra yang berharga beribu ringgit lebih mahal iaitu 1922/5017. AnTuTu pula hampir dengan RedMagic 8 Pro yang ada sistem penyejukan kipas sebenar dan untuk Xiaomi yang saiz kecil tanpa ada kipas ini adalah satu skor yang menakjubkan.

Kamera

Xiaomi 13 adalah peranti pertama mereka yang menggunakan kamera Leica yang dipasarkan untuk global. Tetapi tidak menggunakan sensor 1-inci yang digunakan pada Vivo X90 Pro atau Xiaomi 12S Ultra atau akan datang dikhabarkan pada Oppo Find X6 Pro. Sebaliknya peranti ini hanya menggunakan lensa Leica Vario-Summicron 23mm pada sensor 50MP IMX800.

Terdapat sokongan HyperOIS, sokongan rakaman video Dolby Vision dan dipadankan dengan sensor 10MP lensa telefoto Leica 3.2x zum optikal serta sensor 12MP sudut ultra-lebar lensa Leica. Keunikan pada aplikasi kamera adalah kehadiran profil warna Leica Vibrant atau Leica Authentic serta mod potret Master-lens yang mimik lensa 35mm hitam-putih, 50mm bokeh berputar, 90mm fokus lembut dan 75mm potret biasa.

Kamera swafoto pula adalah 32MP yang sangat jelas dan berkualiti. Xiaomi berjaya memelihara butiran dengan baik sekali. Cuma sayang sekali, masalah klise kamera Xiaomi masih kelihatan pada peranti ini, iaitu ciri kecerdasan buatan yang menetapkan profil warna yang tidak konsisten. Mod potret pula tidak mampu memberi kesan kabur yang kemas dan Xiaomi 13 masih tidak mampu lakukan kemampuan zum sehebat Samsung.

Galeri Potret

Galeri Mod Malam

Tidak dinafikan kamera Xiaomi kali ini adalah menakjubkan. Banyak butiran dipelihara dengan baik dan majoritinya warna yang dihasilkan adalah tajam dan memang naik sehingga memikat mata. Malah jurugambar dan juruvideo kami juga setuju yang Xiaomi serius pada fotografi, tetapi peranti ini masih ada isu fokus. Fokus yang pantas, tetapi selepas pasca-proses ada bahagian yang fokus lari pada arah yang dituju.

Galeri Zum

Galeri Lain-Lain

Mengejutkan mata saya adalah kualiti rakaman video peranti kecil molek ini memuaskan. Warna yang cantik, fokus yang dahsyat, penstabilan yang memuaskan. Akan tetapi ada masalah serius apabila video yang dirakam ingin disunting dalam Adobe Premiere Pro proses render menjadi sedikit bermasalah dan kualiti video akhir tidak menerima butiran sama yang kelihatan pada skrin telefon.

Telefoni & GPS

Peranti ini menyokong 5G Yes dengan baik, begitu juga LTE dengan sokongan VoWiFi dan VoLTE untuk panggilan telefon yang jelas dan kuat serta penggunaan data yang pantas. Tetapi saya sedari Xiaomi 13 tidak mempunyai sambungan isyarat yang seimbang seperti Xiaomi 12 atau 12T pada tahun lepas. Di lokasi sama, kad SIM dengan pelan sama, LTE pada Xiaomi 13 hanya ada 3 bar berbanding sebelum ini bar penuh. Sokongan WiFi walau bagaimanapun bagus sekali dan GPS juga adalah sangat pantas dan setakat ini saya tidak pernah sesat lagi.

Audio

Speaker stereo pada Xiaomi 13 adalah kuat. Pada awal dengar seakan memuaskan, tetapi telinga saya yang sudah dilatih untuk mendengar frekuensi lain dan butiran lebih mendalam mendapati speaker peranti ini tidak begitu hebat. Xiaomi kali ini memfokuskan pada highs, yang mana terlampau tinggi sehingga audio yang dihasilkan sedikit tajam. Tetapi mendengar lagu atau tonton video yang fokus pada bass dan vokal dengan aras suara bawah 60% adalah baik. Peranti juga menyampaikan audio yang cukup seimbang.

Bateri

Xiaomi 13 adalah peranti yang kecil, jadi saiz bateri juga adalah kecil iaitu 4500mAh. Berbanding peranti mercu lain yang sudah ke arah 5000mAh atau 6000mAh. Sokongan pengecasan pula adalah 67W sahaja tidak seperti abangnya 13 Pro sehingga 120W atau pesaing seperti OnePlus 11 yang mencapai 100W.

Walaupun begitu, ketahanan bateri peranti ini untuk penggunaan ekstrem dengan penstrian video, muzik, aktif menggunakan kamera, bermain permua dan aktif di media sosial dengan jumlah penggunaan 17 jam 27 minit boleh mencapai sehingga 6 jam SOT. Ini bermakna penggunaan lebih ringan, peranti kompak ini tiada masalah untuk mencapai sehingga 7 ke 8 jam SOT.

Bonus pada Xiaomi 13 adalah peranti ini menyokong pengecasan nirwayar pantas 50W dan turut boleh mengecas Xiaomi Buds 3T Pro di belakang peranti yang menyokong pengecasan nirwayar berbalik sehingga 10W. Ini adalah ciri yang sangat berguna untuk saya yang memiliki banyak TWS dan telefon pintar.

Pesaing

Xiaomi 13Vivo X90OnePlus 11
6.36″ AMOLED, FHD+, 120Hz, Dolby Vision, HDR10+6.78″, AMOLED, FHD+, 120Hz, HDR10+6.7″ Super Fluid AMOLED, LTPO, QHD+, 120Hz, Dolby Vision, HDR10+
Snapdragon 8 Gen 2 (4nm)
1x 3.2 GHz Cortex-X3
2x 2.8 GHz Cortex-A715
2x 2.8 GHz Cortex-A710
3x 2.0 GHz Cortex-A510
Mediatek Dimensity 9200 (4nm)
1 X 3.05 GHz Cortex X2
3 X 2.5 GHz Cortex A710
4 X 1.8 GHz Cortex A510
Snapdragon 8 Gen 2 (4nm)
1x 3.2 GHz Cortex-X3
2x 2.8 GHz Cortex-A715
2x 2.8 GHz Cortex-A710
3x 2.0 GHz Cortex-A510
Adreno 740Arm Immortalis-G715 MC11Adreno 740
12GB LPDDR5X12GB LPDRR516GB LPDDR5X
256GB UFS 4.0256 GB UFS 4.0256GB UFS 4.0
Kamera Utama
54/50 MP, f/1.8, HyperOIS, (Sudut Lebar)
10 MP, f/2.0, OIS (Telefoto Leica, 3.2x Zum Optikal)
12 MP, f/2.2 (Sudut Ultra Lebar Leica)
Leica Authentic, Leica Vibrant,
Potret Master Lens
Kamera Utama
50 MP, f/1.75, (Sudut Lebar), OIS
12 MP, f/2.0, (Telefoto, 2x Zum Optikal), OIS
12 MP, f/1.98 (Sudut Ultra-Lebar)
4K 60p, Zeiss T*
Kamera Utama
50MP, f/1.8 (Sudut Lebar), OIS
32MP, f/2.0, (Telefoto)
48MP, f/2.2 (Ultra-Lebar)
Hasselblad Camera for Mobile, XPan Mode
Kamera Hadapan
32-Megapixel
Kamera Hadapan
32-Megapixel
Kamera Hadapan
16-Megapixel
IP68IP68IP64
Tiada bicu audioTiada bicu audioTiada bicu audio
Audio StereoAudio StereoAudio Stereo
4500 mAh (Berwayar 67W)4500 mAh (Berwayar 67W)5000 mAh (Berwayar 100W)
RM 3499 (12/256 GB)RM 3699 (12/256 GB)RM 3299 (8/128 GB)
RM 3599 (16/256 GB)

Apa ada dalam kotak?

Berikut ialah yang disertakan dalam kotak yang kami terima.

  • 1x Xiaomi 13
  • 1x Pengecas tiga pin 67W.
  • 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
  • 1x Pin SIM.
  • 1x Kerangka silikon.
  • 1x set buku panduan dan keselamatan.

Kesimpulan

Nampaknya tahun ini ada banyak peranti mercu akan merebut tempat untuk Peranti Terbaik Amanz 2023 kategori peranti mercu atau peranti fotografi. Xiaomi 13 tidak dinafikan adalah pesaing sengit dan saya tidak akan tarik kata-kata saya yang dalam banyak-banyak peranti Xiaomi saya pernah uji, Xiaomi 13 adalah yang paling sempurna setakat ini. Peranti ini lengkap dengan sokongan perlindungan IP68, cip berkuasa, skrin yang berkualiti, kamera Leica, dan banyak lagi.

Tetapi selepas saya menguji OnePlus 11, Vivo X90 Pro dan RedMagic 8 Pro, Xiaomi 13 akan menjadi peranti mercu pilihan saya – mungkin? Aku keliru menjadi buntu arah yang ingin ku tuju!

Okay! saya benar-benar akan menjadikan peranti ini sebagai peranti harian saya kerana saya sudah pun bawa peranti ini ke acara MWC Barcelona 2023. Ini kerana saiz yang mudah dibawa, bateri yang tahan, kamera yang cukup baik dan prestasi hebat tanpa isu pemanasan. Harga jualan Xiaomi 13 di Malaysia adalah RM3499 untuk model 12/256 GB (satu model sahaja) dan saya rasakan ini adalah sebuah peranti mercu yang mencabar jenama lain.


Pro

  • Skrin yang cantik, pantas, rata dan memuaskan.
  • Sokongan Dolby Vision dan HDR10+.
  • Cip Snapdragon 8 Gen 2 yang berkuasa tanpa masalah pemanasan.
  • Bateri yang tahan lama walaupun kapasiti tidak besar.
  • Ada IP68 dan pengecasan nirwayar.
  • Kamera Leica yang baik.
  • Versi MIUI terbaik setakat ini.

Kontra

  • Kamera walaupun baik, masih tidak konsisten.
  • Tiada sokongan tema Material You.
  • Rekaan yang mungkin nampak bosan untuk sesetengah orang.
  • Audio yang tidak memuaskan.
  • Isyarat sambungan data mudah alih yang tidak sekuat model lepas.
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd