Cari @ Amanz

Kepantasan memfokus memastikan subjek yang gambarnya ingin diambil akan kelihatan tajam pada imej akhir. Hari ini Sony α6400 telah dilancarkan dan menurut mereka ia mempunyai sistem autofokus terpantas di dunia. Dengan sistem ini subjek boleh difokus dalam masa hanya 0.02 saat.

Sony α6400 ialah sebuah kamera nircermin dengan sensor 24.2-Megapixel APS-C Exmor CMOS dengan cip BIONZ X generasi terkini. Ia boleh mengambil gambar pada kelajuan sehingga 11 bingkai sesaat. Di dunia sebenar ia boleh mengambil 116 gambar JPEG atau 46 gambar RAW secara berterusan. Rakaman video ialah pada resolusi maksimum 4K atau 1080P 120FPS.

Kamera dilengkapi 425 titik autofokus pengesan fasa dan kontras yang melitupi 84% tingkap imej. Ini adalah sebab mengapa ia boleh memfokus dengan amat pantas. Turut diperkenalkan ialah sistem Real-time Eye AF dan Real-time Tracking yang berasaskan sistem Eye AF milik Sony. Kamera mampu menjejak pergerakan subjek dalam masa nyata bagi membolehkan gambar mereka diambil dengan tahap pemfokusan yang tepat.

Skrin sesentuh LCD pada bahagian belakang adalah sebesar 3 inci yang boleh diputar ke atas 180 darjah untuk memudahkan rakaman swavideo dan swafoto. Skrin viewfinder pula menggunakan sistem EVF dengan 2.36-juta titik OLED. Selain itu Sony α6400 turut menyokong sistem NFC dan WiFi untuk pemindahan data yang pantas. Akhir sekali sebuah flash terbina turut disertakan.

Sony α6400 akan mula dijual bermula Februari 2019 pada harga $900 (~RM 3697). Terdapat piluhan lensa 16-50mm f/3.5-5.6 pada harga $1000 (~RM 4107) dan 18-135mm f/3.5-5.6 pada harga $1,300 (~RM 5340).

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd