10 Fungsi Yang Harus Wujud Pada Semua Peranti 2016

Share Tweet
  • 1.Pengecasan Pantas

    QuickCharge 2.0

    Pemproses semakin berkuasa dan penggunaan peranti juga semakin bertambah tahun demi tahun. Malang sekali teknologi bateri tidak berkembang selari dengan perkembangan teknologi pemproses dan juga skrin peranti. Sepuluh tahun yang lalu mengecas peranti sekali setiap tiga hari adalah perkara yang normal. Lima tahun yang lalu mengecas peranti sekali sehari pula menjadi normal. Tahun ini majoriti peranti yang kami uji di makmal Amanz perlu dicas secara purata setiap 13 jam selepas digunakan. Pengeluar mungkin mengatakan pemproses baru lebih menjimatkan tenaga dan skrin beresolusi tinggi tidak akan menjejaskan ketahanan bateri. Tetapi dari pengalaman peribadi ini adalah tidak benar sama sekali. Tahun ini muncul pula trend baru di mana bateri yang digunakan model 2015 adalah lebih kecil dari tahun 2014. Alasan yang diberikan ialah keperluan menjadikan peranti lebih nipis.

    Kami ingin bertanya soalan ikhlas dengan anda semua. Berapa ramai di antara anda yang peduli model Durian uPhone 7W tahun ini adalah 1.5 mikrometer lebih nipis berbanding Durian uPhone 7 yang keluar tahun lalu ? Sila angkat tangan kerana kami yakin ramai tidak peduli kerana trend peranti nipis ini sepatutnya sudah pupus pada tahun 2013. Pengguna lebih mahukan peranti yang mampu bertahan lama.

    Pada tahun 2016, kami yakin teknologi bateri tidak akan secara tiba-tiba akan maju. Bateri 6000 mAh tidak mungkin mempunyai saiz yang kecil seperti bateri 3000 mAh. Oleh itu penggunaan pengecasan pantas pada kesemua peranti tahun hadapan harus menjadi fungsi wajib. Pemproses kelas pertengahan seperti Snapdragon 650 kini menyokong pengecasan pantas QuickCharge 2.0. Pemproses lebih berkuasa seperti Snapdragon 820 pula bakal menyokong QuickCharge 3.0. Tiada alasan lagi untuk pengeluar tidak menyokong sekurang-kurangnya satu sistem pengecasan pantas. Kami turut berharap peranti Apple juga akan mula menyokong sistem ini kerana majoriti peranti utama Android dan Windows 10 Mobiles sudahpun menjadikannya fungsi wajib tahun ini.

  • 2.Pengimbas Jari

    Biometrik Untuk Semua

    Kami mengakui pernah tergolong di dalam kategori insan yang merasakan pengimbas cap jari adalah fungsi yang kurang perlu. Ini berubah secara mendadak sejak menggunakan beberapa peranti dengan pengimbas cap jari pada bahagian belakang peranti yang mempercepatkan proses menyahkunci. Tiada lagi keperluan memuat masuk nombor pin, kata laluan, mengimbas wajah ataupun melakar bentuk. Sistem imbasan cap jari menyahkunci peranti dengan sekelip mata (secara literal) dan memastikan data pengguna tidak mudah diakses oleh individu tidak dikehendaki.

    Kerana penggunaan pengimbas cap jari yang semakin meluas, harga peranti dengan pengimbas cap jari juga sudah semakin berkurangan. Xiaomi Redmi Note 3, Leagoo Elite 1 dan Lenovo Vibe P1 adalah peranti kelas pertengahan yang mempunyai pengimbas cap jari. Ya tahun 2015 ialah tahun fungsi peranti utama ini muncul pada peranti kelas pertengahan. Pengimbas biometri kami percaya akan semakin berkembang pada tahun 2016.

  • 3.Penggunaan Android Vanilla

    Kemas Kini Lebih Pantas

    Masalah utama menggunakan peranti Android ialah kelewatan menerima kemas kini kecuali anda memiliki peranti Nexus. Kemas kini terkini penting bukan sahaja kerana membawa pembaharuan dari segi fungsi tetapi turut menutup kelemahan sekuriti yang mungkin wujud. Pada tahun 2015 kita melihat pengeluar seperti Sony dan Oppo mula berjinak-jinak dengan Android Vanilla. Sony dengan Sony Android Concept mereka dan Oppo dengan Project Spectrum,android stock pada Oppo Find 7 mereka. Ini berlaku kerana pengguna Android kini sudah mula menyedari Android Vanilla sebenarnya adalah lebih baik dari pelancar pihak ketiga yang mereka gunakan selama ini. Segala kelemahan seperti sela masa, peranti kurang lancar dan pelbagai lagi masalah muncul dari pelancar pihak ketiga yang tidak dioptimasikan dengan sempurna. Kami turut menyedari lebih ramai pembaca Amanz kini mahukan peranti dengan Android Vanilla jika dibandingkan dengan empat tahun yang lalu.

    Kami meramalkan tahun 2016 kita akan melihat lebih banyak peranti mula menggunakan Android Vanilla. Kami berharap sangat pengeluar dapat menyertakan dua ROM di dalam peranti. Satu ROM Android dengan pelancar mereka dan satu lagi ROM Android Vanilla. Ini pernah dilakukan oleh Lenovo pada Vibe Z2 Pro. Aneh sekali fungsi dwi-sistem operasi ini tidak lagi disokong pada peranti lain mereka. Saiz ROM Android Vanilla adalah kecil iaitu sekitar 400 Megabyte sahaja. Ketika zaman majoriti peranti mempunyai muatan dalaman 4 Gigabyte dahulu kami faham mengapa ROM kedua tidak boleh disertakan. Peranti sekarang mempunyai muatan dalaman bermula 16 Gigabyte, ini adalah cukup besar untuk memuatkan sistem operasi kedua tanpa masalah besar. Dengan pembelian Motorola kami meramalkan Lenovo mungkin boleh melupakan Vibe UI yang secara ikhlas kami katakan mempunyai rekaan antaramuka yang kurang menarik. Android Vanilla sebelum ini mempunyai masalah rekaan UI yang hodoh tetapi sejak Lollipop ini tidak lagi benar. Rekaan Vanilla kini jauh lebih kemas, lancar, pantas, responsif dan seragam berbanding pelancar pihak ketiga yang wujud sekarang.

  • 4.Muatan Dalaman Minimum 32 Gigabyte

    Lebih Besar Lebih Baik

    Pernah suatu ketika dahulu muatan dalaman 16 Gigabyte sudah dianggap mencukupi oleh kebanyakan pengguna. Tetapi pada tahun 2015 kami mula menyedari ini tidak lagi benar. Dengan saiz sensor kamera yang semakin besar (purata 13 Megapixel pada tahun ini) dan kemampuan mengambil video 1080P kini menjadi kebiasaan, saiz muatan dalaman sekurang-kurangnya 32 Gigabyte akan menjadi trend 2016. Di Malaysia Samsung sudahpun mula menjual peranti utama Note 5 dengan saiz muatan dalaman minimum 32 Gigabyte. Ini adalah langkah yang baik dari Samsung yang menyedari peranti dengan kemampuan video 4K tidak seharusnya mempunyai muatan yang kecil. Tambahan lagi peranti utama ini tidak menyokong penambahan memori dalaman menggunakan kad MikroSD.

  • 5.RAM Minimum 2 Gigabyte

    Memudahkan Multi Tasking

    Seperti muatan dalaman minimum yang dipertingkatkan ke 32 Gigabyte, kami juga mahukan penggunaan RAM minimum meningkat ke 2 Gigabyte. Tahun ini kita melihat peranti dengan 4 Gigabyte mula muncul di pasaran. Ia pertama kali muncul pada Asus Zenfone 2 ZE551ML dan kemudian turut dilihat pada Samsung Galaxy Note 5. Pada tahun 2016 kita bakal melihat peranti pertama dengan RAM sebesar 6 Gigabyte dengan teknologi yang dibangunkan oleh Samsung.Jadi rasanya tidak melampau untuk mengharapkan peranti yang dihasilkan pada tahun hadapan mempunyai sekurang-kurangnya 2 Gigabyte.

    Saiz RAM sebesar ini perlu kerana peningkatan keperluan memori pada aplikasi pengguna yang kini lebih kerap melakukan multi tasking. RAM minima 1 Gigabyte yang dahulunya memadai kini sudah mula menunjukkan kekurangannya. Dengan data yang kini berkuota, pengguna kini tidak lagi dapat menerima masalah laman web perlu dimuat turun sekali lagi selepas mereka menukar aplikasi. Kami masih melihat ada pengeluar yang menghasilkan peranti dengan RAM sebesar 512 Megabyte pada tahun 2015. Ini adalah tidak boleh diterima akal kerana pastinya kelancaran peranti akan terjejas.

  • 6.Penggunaan Port USB-C

    USB Generasi Ketiga

    USB-C ialah standard baru port pengecasan yang kita mula lihat pada tahun 2015. Google Nexus 6P, Meizu Pro 5, Xiaomi Mi4c dan Microsoft Lumia 950XL ialah empat contoh peranti yang menggunakan standard baru USB ini. Kami meramalkan pada tahun 2016 USB-C akan menjadi pilihan lebih banyak pengeluar kerana membawa beberapa perubahan besar. Antaranya ialah pengecasan lebih pantas kerana menyokong arus lebih tinggi, pemindahan data lebih pantas sehingga 10 Gbps dan tiada lagi masalah memasukkan pengecas secara terbalik. Halangan utama USB-C sebelum ini ialah harganya yang mahal kerana ianya masih baru. Dengan jumlah peranti semakin banyak menggunakan USB-C, lazimnya harga kabel ini juga akan berkurangan kerana peningkatan permintaan.

  • 7.Penggunaan Butang Navigasi Atas Skrin Sepenuhnya

    Kustomasi Navigasi

    Butang navigasi fizikal digunakan suatu ketika dahulu pada sistem operasi Android. Namun sejak munculnya Android Ice Cream Sandwich pada tahun 2011, sepatutnya tiada lagi keperluan untuk butang navigasi kapasitif fizikal. Ini adalah kali pertama butang navigasi Android mempunyai tiga butang yang digunakan sekarang iaitu home,multi tasking dan back. Sungguhpun begitu sehingga hari ini masih terdapat banyak peranti Android yang masih menggunakan butang navigasi. Samsung, pengeluar peranti kedua terbesar di dunia sebagai contoh sehingga kini mengekalkan rekaan ini walaupun pernah menghasilkan Galaxy Nexus yang menggunakan butang navigasi.

    Mengapa kami merasakan butang navigasi fizikal akan pupus? Kerana ianya sudah jauh ketinggalan zaman. Penggunaan butang navigasi atas skrin sudah hampir masuk tahun ke enam dan sudah tiba masanya ianya digunakan secara menyeluruh. Tambahan lagi penggunaan butang navigasi atas skrin memudahkan lagi kustomasi susunan butang. Sebagai contoh pada peranti HTC, empat buah butang navigasi boleh digunakan dan disusun mengikut urutan peribadi pengguna. Ini adalah jauh lebih baik dari butang fizikal yang tidak boleh diubah fungsinya. Sekiranya butang navigasi fizikal masih mahu digunakan kami berharap pengeluar akan mengikut apa yang dilakukan oleh OnePlus. Mereka memberikan pilihan kepada pengguna untuk memilih di antara dua sistem navigasi ini.

  • 8.Bahan Binaan Logam Dan Premium Pada Peranti Kelas Pertengahan

    Selamat Tinggal Plastik

    Peranti dengan bahan binaan logam dan kaca semakin popular pada tahun ini. Paling menarik ialah pilihan bahan premium ini kini tidak lagi terhad kepada peranti utama. OnePlus X dan Xiaomi Redmi Note 3 adalah dua peranti yang membuktikan bahan binaan berkualiti boleh dijual pada harga mampu milik. Di dalam kes OnePlus X kualiti binaannya adalah lebih baik dari beberapa peranti utama yang dijual pada harga jauh lebih mahal seperti Lumia 950XL.

    Keputusan Microsoft mengekalkan rekaan plastik dan polikarbonat menerima reaksi negatif dari pengguna kerana kedua-dua bahan binaan ini tidak lagi dianggap sesuai untuk digunakan pada peranti utama. Oppo, Leagoo, Sony dan Lenovo juga kini sudah mengeluarkan peranti kelas pertengahan dengan kemasan logam. Maka untuk tahun 2016 kami merasakan bahan binaan logam serta kaca akan mula digunakan secara lebih menyeluruh pada peranti bukan utama.

  • 9.Kamera Hadapan Dengan Flash

    Selfie Lebih Terang

    Selfie semakin melonjak kepopularannya tahun ini. Peranti pintar yang direka khas untuk selfie juga mula muncul seperti Asus Zenfone Selfie dan Sony Xperia C5 Ultra. Tiada petanda bahawa fenomena selfie ini akan hilang kepopularannya tahun hadapan. Saiz kamera hadapan yang semakin besar tidak bermakna ia dapat mengambil gambar dengan dalam semua situasi. Oleh itu kami merasakan kamera hadapan dengan flash akan turut menjadi fungsi yang akan menjadi semakin popular tahun hadapan. Kami menyedari ada beberapa peranti yang menggunakan paparan skrin sebagai sumber cahaya ketika mengambil gambar selfie di dalam situasi gelap. Tetapi kualiti gambar yang diambil menggunakan sumber cahaya skrin tidak memuaskan. Ini berbeza dengan kualiti gambar peranti dengan flash di bahagian hadapan.

  • 10. Skrin Beresolusi Minimum 1080P

    Lebih Tajam Lebih Baik

    Di dalam tahun 2015 kita melihat peranti pertama dengan skrin 4K dihasilkan iaitu Sony Xperia Z5 Premium. Skrin UHD yang digunakan Premium resolusi dua kali ganda lebih tinggi berbanding resolusi QHD yang digunakan pada Note 5 tahun ini. Dengan kepadatan piksel yang tinggi, segala keperincian pada video 4K yang diambil dapat dilihat dengan lebih jelas. Dengan wujudnya peranti skrin 4K, tiada sebab lagi peranti dengan skrin beresolusi 720P untuk terus wujud di pasaran. Kualiti imej yang dipaparkan skrin HD ini jelas tidak lagi sesuai untuk digunakan pada tahun 2016. Resolusi 1080P harus dianggap resolusi paling minimum bermula tahun hadapan. Penggunaan skrin 720P mungkin hanya boleh diterima pada peranti kelas permulaan, mempunyai skrin sebesar 4" dan dijual pada harga di bawah RM500. Agak mengejutkan pada tahun 2015 masih ada peranti kelas dengan skrin 5.5" yang menggunakan resolusi 720P. Paparan jelas kelihatan kurang tajam dan menyakitkan mata.