Pemilihan Nokia N8 di dalam senarai 10 peranti terbaik ini pastinya mengundang sedikit kontroversi. Ada yang mengatakan Nokia N8 ialah kegagalan awal Nokia di dalam dunia peranti skrin sesentuh kapasitif. Kami tidak bersetuju dengan pendapat ini dan merasakan N8 ialah peranti yang baik ketika ia muncul di pasaran pada tahun 2010. Ia adalah jawapan Nokia kepada iPhone 4 pada bulan Jun. Keseluruhan tubuh n8 diperbuat daripada logam dan sisi bulat yang memastikan keselesaan apabila dipegang. Skrin 3.5" AMOLED yang digunakan adalah terang dan melengkung pada bahagian sisi. Ia turut dilengkapi port mini-HDMI yang membolehkan peranti disambung terus terus kepada televisyen. Kamera sebesar 12 Megapixel yang digunakan juga jauh lebih besar berbanding apa yang digunakan pada pesaing dengan kemampuan mengambil gambar yang baik (yang menjadi kebiasaan kesemua peranti Nokia pada waktu ini). Anda boleh lihat dari segi kemasan. kemampuan kamera dan fungsi, Nokia N8 tidak banyak berbeza dengan peranti yang ada di pasaran sekarang. Kegagalan utama N8 ialah Symbian^3 yang mempunyai sela masa dan berpepijat ketika dilancarkan.