Cari @ Amanz

Media berbahasa Malaysia di MWC 2014Pada minggu lepas, saya telah berpeluang untuk menghadiri acara tahunan yang menjadi tumpuan ramai pihak, iaitu Mobile World Congress (MWC) 2014 yang berlangsung di Barcelona. Berbanding Aman Firdaus yang telah menghadiri acara MWC 2013, ini kali pertama saya menghadiri acara yang gilang-gemilang ini dan berpeluang menyaksikan pelbagai peranti, pelbagai teknologi, dan pelbagai ragam manusia dari seantero dunia. Sekiranya ibadah haji merupakan satu titik pertemuan semua umat Islam, maka acara ini merupakan satu perhimpunan gergasi buat penggiat industri telekomunikasi.

Saya yakin para pembaca juga turut ingin tahu perkara-perkara selain semua berita berkenaan peranti sepanjang MWC 2014. Jadi ingin saya kongsikan apakah yang telah saya pelajari dari kembara selama seminggu ini.

1- Sistem rangkaian pengangkutan untuk acara yang berintegrasi.

2014-03-01 17.56.01

Gambar disebelah merupakan tiket percuma yang diberikan buat peserta MWC 2014. Tiketnya boleh digunakan selama empat hari bermula Isnin sehingga Khamis dan meliputi sehingga 6 rangkaian pengangkutan. Penggunaan dihadkan kepada Zon 1 yang boleh saya katakan kalau di Kuala Lumpur, ia meliputi pengangkutan disekitar Kuala Lumpur sahaja. Tidak boleh digunakan sehingga ke Kajang apatah lagi Pelabuhan Klang.

Untuk makluman anda, kebanyakan rakyat Sepanyol tidak fasih berbahasa Inggeris. Jadi terdapat cabaran komunikasi dengan rakyat tempatan.

2- Sokongan dari pihak berwajib tempatan.

Sekembalinya kami dari acara tersebut, saya sedikit terkejut apabila menghidupkan televisyen di rumah, terdapat rangkaian khusus yang menayangkan liputan berita terkini dari MWC 2014! Ini bukan suatu perkara yang biasa memandangkan rangkaian televisyen di Malaysia boleh dikatakan jarang membuat liputan pada tahap sebegitu. Semasa saya singgah di satu bandar lain, papan iklannya turut menayangkan satu demo aplikasi dan mempromosi MWC 2014. Sekali lagi satu perkara yang jarang kita dapat lihat.

Satu perkara yang menarik juga adalah sukarelawan MWC 2014 tersedia pada terminal-terminal rangkaian utama. Seperti contoh sekiranya acara ini berlangsung di KLCC, maka sukarelawan tersebut turut ada di KL Sentral, dan memudahkan para hadirin sekiranya ingin bertanyakan sesuatu. Boleh dikatakan banyak pihak tempatan menyokong acara yang berprestij ini.

3- Kemudahan di tempat acara yang lengkap.

nfc-tapngo

Satu perkara yang kami yakin anda tidak suka adalah apabila anda pergi ke satu acara atau pameran teknologi, tiada kemudahan WiFi disediakan. Mungkin juga tiada peta reruai disediakan. Untuk MWC 2014, kerana menjunjung namanya ‘Mobile World Congress’, kebanyakan kemudahannya direka dengan menegakkan konsep tanpa wayar itu sendiri. Terdapat banyak panel direktori interaktif dengan kemudahan NFC tersedia disekitar acara.

Seperti gambar yang diambil dari video diatas, NFC Tap-n-Go Point merupakan satu panel direktori interaktif yang mampu berhubung dengan peranti anda. Melalui panel tersebut, anda boleh menyemak peta ke tempat temujanji yang telah ditetapkan. Malahan, ia juga mampu berkomunikasi melalui protokol Bluetooth. Saya pada hari itu telah menyertai Fitbit Challenge. Dengan sentuhan Fitbit pada panel berkenaan, markah saya telah dipaparkan bersama-sama peserta MWC yang lain.

Berkenaan kemudahan WiFi yang tersedia, ia sekadar mencukupi namun bagi kami yang ditempatkan di ruang khas ‘Media Village’ bersama pasukan media yang lain, ia bukan masalah besar buat kami. Satu lagi perkara yang menarik perhatian saya adalah anda boleh menempah makanan melalui aplikasi rasmi MWC dan pembayaran dilakukan melalui PayPal.

Mungkin kesemua diatas merupakan perkara yang biasa buat anda, namun bagi saya, sekali lagi saya katakan fungsi-fungsi diatas perlu kerana nama Mobile World Congress, satu acara yang dilihat sebagai peneraju didalam industri telekomunikasi, perlu mengamalkan dunia tanpa wayar ini.

4- Reruai yang sangat gah.

Acara MWC 2014 mempunyai 8 dewan. Dewan pertamanya sebesar KL Convention Centre. Terdapat 3 dewan pada skala tersebut. Selebihnya pula separuh dari saiz tersebut. Malahan, terdapat lagi beberapa kawasan yang tidak sempat saya hadiri antaranya GSMA Connected City yang memfokuskan teknologi peranti-boleh-pakai, Barcelona 4YFN (4 Years From Now) yang memfokuskan dunia startup berkaitan telekomunikasi. Juga terdapat acara lain di sekitarnya. Mungkin dengan perancangan lebih rapi kami dapat mengadakan liputan secara menyeluruh tahun hadapan.

5- Connected Cars mencuri perhatian ramai pengunjung.

Pada dewan ketiga, terdapat banyak pameran menampilkan kereta dengan integrasi telekomunikasi. Ia bukan sekadar terhad pada sistem Inforia, tetapi menekankan bagaimana kereta tersebut telah direka supaya mampu berintegrasi dengan maklumat pada masa nyata. Ford misalnya telah memperkenal teknologi yang mampu mengesan objek lain, dan membolehkan pemanduan secara automatik. Ramai hadirin yang tidak melepaskan peluang untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan kereta tersebut.

6- Lebih banyak peranti-boleh-pakai diperkenalkan.

[youtube https://www.youtube.com/watch?v=HzbCbc9L0as]

 

Peranti-boleh-pakai juga turut mendapat tumpuan para pengunjung MWC 2014. Antara yang telah kami ulas antaranya Samsung Gear Fit, Kacamata Pintar Mirama dan Huawei Talkband B1. Qualcomm turut hadir dengan jam tangan pintar namun ianya tidak dibenarkan untuk diulas. Saya yakin untuk tahun mendatang lebih banyak peranti-boleh-pakai atau Connected Devices akan hadir menemui pengguna.

7- Mungkin teknologi telefon pintar telah mencapai hadnya? Teknologi Connected Devices bakal menjadi trend.

Tidak banyak perkara baharu yang muncul dalam arena telefon pintar. Galaxy S5 pula hanya menyertakan fungsi kalis air. Yota Phone pula muncul dengan telefon dua skrin dengan salah satunya menggunakan E-ink. Selain dari itu, tiada teknologi baharu. Juga saya yakin, iPhone 6 yang bakal diperkenalkan nanti kemungkinan tidak membawakan banyak pembaharuan.

8- Gadis/jejaka sekitar reruai sangat berpengetahuan dan tidak berpakaian menjolok mata.

Sekiranya anda biasa hadir ke acara berkaitan teknologi tempatan, antara perkara yang anda sedar adalah adanya model/gadis berpakaian mencolok mata yang memperagakan peranti mahupun teknologi. Perkara ini seolah-olah telah menjadi norma dunia teknologi. Sedikit menyedihkan apabila kebanyakan soalan tidak mampu dijawab. Namun di MWC 2014, nisbah gadis dan jejaka yang memperagakan peranti adalah berkadaran, malahan mereka berpakaian kemas dan tidak seperti pameran tempatan. Satu lagi perkara yang perlu dipuji, mereka sangat berpengetahuan mengenai peranti dan hanya soalan yang teramat sukar barulah mereka akan meminta tolong mereka yang arif.

Dan ini juga salah satu acara jejaka juga turut memperagakan peranti-peranti canggih.

9- Malaysia tidak wujud pada acara MWC 2014.

Ini merupakan satu kenyataan pedih yang terpaksa saya, dan kami di Amanz terima. Malaysia boleh dikatakan tidak wujud pada acara ini. Sekiranya disemak melalui senarai penyertaan pameran berdasarkan negara, Malaysia hanya mempunyai satu agensi kerajaan sahaja yang menyertainya. Tiada telco, tiada syarikat yang menyertainya. Ia sedikit berbeza dibandingkan dengan negara jiran kita. Kami juga berselisih dengan peserta dari Indonesia. Mungkin kebarangkalian kami untuk berselisih dengan hadirin tempatan yang lain adalah sangat rendah namun sekiranya dikira dari bilangan reruai berdasarkan negara, kami fikir perkara ini tidak seharusnya terjadi.

Bagi saya, penyertaan penggiat industri telekomunikasi tempatan pada acara sebegini adalah penting. Ia kerana disamping dapat bertukar pandangan dan menjalinkan hubungan, ia penting untuk mendapatkan informasi berkenaan teknologi terkini bagi memastikan industri negara tidak ketinggalan jauh. Ia juga penting untuk menjulang nama Malaysia di arena teknologi. Apapun, Amanz tidak boleh dikirakan dalam kategori ini kerana kami media hadir untuk membuat liputan. Rakan media lain yang turut hadir adalah Lowyat & SoyaCincau.

10- Menambah pengalaman peribadi.

nisa-vladDisana saya juga berpeluang untuk melihat gerak kerja media gergasi seperti The Verge, Engadget dan banyak lagi pasukan yang lain. Saya sempat berseloroh dengan seorang editor The Verge yang menegur saya kerana mencuri ambil gambarnya. Beliau mengatakan ‘You’re sneaking’, lalu saya menjawab ‘from our small country, a lot of people read tech news from us, and from The Verge. So when I mentioned one of The Verge editors in front of us, they want a proof. So I took a picture of you’. Beliau gembira mendengarnya malahan memperkenalkan kami kepada rakan-rakan editornya yang lain. Ini sekaligus menaikkan semangat saya untuk menaikkan Amanz di kaca mata dunia.

Boleh dikatakan disana, tiada perbezaan darjat antara media massa dan media alternatif. Kesemuanya ditempatkan di bilik yang sama, minum kopi yang sama, dan juga biskut gula yang sama. Saya juga sempat bekerja bersama seorang hos televisyen nasional dari Romania. Meskipun apabila kami bertukar maklumat mengenai jumlah langganan saluran YouTube kami dan terdapat perbezaan yang besar, beliau menggesa Amanz supaya teruskan liputan sebegini pada masa mendatang.

Dan kami tentunya, dengan segala kudrat yang ada dalam lingkungan kebolehan kami, akan komited untuk membawakan liputan MWC tahun depan buat anda mahupun liputan acara antarabangsa yang lain. Terima kasih dan teruskan menyokong kami!

 

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd