Pada minggu ini, pelbagai peranti baru diumumkan pada peringkat global mahupun di Malaysia. Yang menarik perhatian utama adalah pengenalan Nokia N1 – tablet pertama daripada Nokia dan Foxconn pasca penjualan bahagian peranti kepada Microsoft. Nokia N1 hadir dengan Android 5.0 Lolipop serta sokongan USB Type-C.
Selain tablet Nokia N1, rakan senegara mereka, Jolla turut telah memperkenalkan Jolla Tablet, tetapi mereka masih belum menjualnya, sebaliknya mengumpulkan dana menggunakan IndieGogo untuk merealisasikannya.
Satu lagi peranti baru yang diumumkan pada peringkat global adalah Meizu MX4 Pro yang mana hadir dengan skrin 2K, kamera 20.7-megapixel dan sokongan pengimbas cap jari.
Di Malaysia, beberapa peranti baru diumumkan Acer, iaitu Acer Liquid Jade, Liquid X1 dan juga Acer Liquid Z500. Mereka turut mengumumkan Liquid E700 yang hadir dengan sokongan tiga-SIM untuk pasaran Malaysia.
Xiaomi pula telah mengumumkan Redmi Note 4G untuk pasaran Malaysia, selain pada masa yang sama melancarkan pusat khidmat eksklusif di Plaza Lowyat, Kuala Lumpur.
Microsoft pula pada minggu ini telah memperlihatkan Lumia 535 di Malaysia, dan mengatakan peranti tersebut akan hadir ke pasaran tempatan sebelum penghujung tahun ini.
Beberapa aplikasi baru turut telah diumumkan pada minggu ini, termasuk Need For Speed No Limits, dan juga sokongan Public Chat di Viber.