Cari @ Amanz

Sepanjang minggu ini, Mobile World Congress mengambil pentas utama di Barcelona, menyaksikan sejumlah peranti baru diumumkan oleh pelbagai pengeluar seluruh dunia. Seperti biasa, telefon pintar menjadi fokus utama, selain teknologi realiti-maya turut menjadi fokus ramai pengeluar seluruh dunia.

Peranti utama yang menjadi tarikan ramai adalah Samsung Galaxy S6 daripada pihak Samsung, membawakan rekaan berasaskan kaca pada bahagian hadapan dan juga belakang, selain dilengkapi bingkai berasaskan logam. Galaxy S6 juga turut hadir dengan variasi Galaxy S6 Edge yang melengkung pada bahagian kiri dan kanan.

Selain Samsung, HTC turut mengambil pentas utama dalam mengumumkan HTC One M9 yang membawakan perubahan kecil dari segi antaramuka, selain dilengkapi HTC Sense 7. HTC juga turut mengumumkan peranti boleh pakai dinamakan HTC Grip, selain turut mengumumkan kerjasama dengan pihak Valve untuk peranti HTC Vive.

Huawei turut membuat kejutan dengan memperkenalkan jam tangan pintar Android Wear dengan rekaan yang amat premium – selain daripada beberapa peranti boleh-pakai mereka yang lain. Beberapa pengeluar lain yang turut memperkenalkan produk baru pada minggu ini adalah termasuk BlackBerry, Acer, dan Xiaomi yang hadir dengan peranti seumpama GoPro.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd