Minggu ini menyaksikan sejumlah telefon pintar baru untuk pasaran global, termasuk antaranya adalah Sony Xperia XZ2 Premium, Honor 10, Nubia Red Magic, Xiaomi Black Shark, Moto G6, dan juga Moto E5.
Di Malaysia, Oppo telah melancarkan Oppo F7 dalam variasi sehingga 6GB RAM, selain Apple pula telah mula menjual iPad 9.7-inci baru dengan sokongan Apple Pencil. Acer turut tidak ketinggalan dan telah melancarkan komputer riba edisi Avengers.
Asus turut tidak ketinggalan dalam pengenalan komputer riba terbaru, termasuk Asus ROG G703 dengan sokongan cip Intel Core i9 dan GTX 1080 pada harga mencapai RM20k.
Dalam arena aplikasi, Amazon Shopping kini telah mula menambah sokongan paparan dalam ringgit Malaysia, sekaligus memudahkan lagi pembelian barangan dari Amerika Syarikat.
Maybank pada minggu ini telah hadir dengan rekaan antaramuka baru untuk Maybank2U, sekaligus menawarkan pengalaman penggunaan yang lebih menarik lagi.
Akhir sekali, dalam arena telekomunikasi, Xpax memberikan nafas baru untuk pelan prabayar Xpax, selain turut memperkenalkan Xpax Postpaid.