Minggu ini menyaksikan Huawei memperkenalkan empat telefon pintar baru dibawah siri Mate 20. Tiga daripadanya telah pun diumumkan penawaran untuk pasaran tempatan, iaitu Mate 20, Mate 20 Pro dan juga Mate 20 X. Selain ketiga-tiga peranti berkenaan, Huawei turut mengumumkan penawaran Huawei Watch GT, Huawei Talkband B5 dan dua komputer riba dibawah keluarga MateBook untuk pasaran tempatan.
Selain Huawei, minggu ini menyaksikan Adobe memperkenalkan sejumlah perisian baru, termasuk salah satunya adalah Adobe Premiere Rush CC yang memudahkan penyuntingan video. Adobe turut mengumumkan mereka akan menawarkan Adobe Photoshop untuk iPad pada 2019 kelak.
Apple juga telah memulakan pra-tempahan iPhone XS, iPhone XS Max dan iPhone XR untuk pasaran tempatan – sebelum ia mula dijual secara rasminya pada 26 Oktober 2018 kelak. Pada masa yang sama, Apple kini turut menjadualkan acara global pada 30 Oktober kelak untuk pelancaran model iPad dan MacBook terbaru.
Proton pada minggu ini memperlihatkan sejumlah ciri-ciri menarik – termasuk penggunaan sebuah aplikasi khusus yang memudahkan kawalan beberapa perkara – seperti tetingkap dan sebagainya. Selain itu, ia turut hadir dengan sokongan kawalan berasaskan arahan suara Hi Proton.
Perkhidmatan bank kini dilihat telah mula mengaktifkan sokongan DuitNow – sekaligus memudahkan proses pemindahan wang ke akaun seseorang menggunakan alternatif seperti nombor telefon, MyKad dan sebagainya.
Dan akhir sekali, Celcom kini dilihat telah merancang untuk memperluaskan penawaran jalur-lebar mereka ke lebih banyak lokasi.