Minggu ini menyaksikan Apple memperkenalkan beberapa peranti baru, termasuk antaranya adalah iPad Pro 2018 dengan rekaan skrin Liquid Retina, penggunaan USB-C, dan hadir dengan sokongan Face ID. Selain iPad Pro, Apple turut memperkenalkan MacBook Air baru dengan paparan Retina, selain kemaskini untuk Mac Mini.
Selain Apple, Honor turut mengambil pentas utama di China, dan memperkenalkan Honor Magic 2 yang hadir dengan rekaan telefon skrin boleh-luncur dan penggunaan enam kamera. Lenovo turut telah memperkenalkan telefon boleh-luncur mereka tersendiri dinamakan Lenovo Z5 Pro.
Dalam arena web, Flickr kini mengumumkan mereka akan mengehadkan penawaran akaun percuma terhad kepada 1000 gambar sahaja, dan bukannya 1TB seperti sebelum ini.
Di Malaysia, Huawei Mate 20 dan Mate 20 Pro telah dijual secara rasmi, pada harga bermula RM2799.
Pihak OnePlus turut tidak ketinggalan dan telah memperkenalkan telefon pintar terbaru mereka, OnePlus 6T. Ia hadir dengan spesifikasi terkini, tidak lagi menyertakan bicu audio, dan menggunakan pengimbas cap jari pada skrin.
Selain peranti mudah-alih, sejumlah komputer riba dan monitor telah diperkenalkan untuk pasaran tempatan. HTC juga membuat kejutan dengan penawaran set realiti-maya HTC Vive untuk pasaran tempatan.