Cari @ Amanz

Isnin minggu lepas acara Echelon Satellite peringkat Malaysia telah diadakan anjuran E27 dengan kerjasama Cradle Fund dan juga Cyberview. Semasa sidang akhbar acara berkenaan, Cradle juga menyatakan komitmen mereka dalam arena startup di Malaysia.

Menurut Nazrin Hassan, CEO Cradle, ianya sangat penting untuk startup tempatan melibatkan diri dalam acara sekitar ASEAN untuk mengembangkan kolaborasi, disamping menempa nama dirantau ini melalui acara seperti Echelon. Acara sebegini juga dapat memberikan pendedahan berkenaan potensi pemasaran aplikasi disekitar rantau ini.

Menurut Thaddeus Koh, editor E27, Echelon Satellite peringkat Malaysia juga mempunyai banyak penyertaan berbanding negara lain dan menyokong saranan Nazrin dimana startup tempatan yang ingin berkembang ke rantau lain juga harus memanfaatkan peluang sebegini. Menurut beliau juga, setiap startup di rantau ASEAN juga berbeza antara satu sama lain dan masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri.

Berikut merupakan 20 startup yang berentap pada acara ini dan seperti yang kami umumkan minggu lepas, TootPay merupakan pemenang untuk acara ini.

1- Appzilo

Appzilo merupakan aplikasi yang memudahkan buat mereka yang ingin mengiklankan produk pada peranti telefon bimbit. Melalui aplikasi mereka, hanya sedikit langkah yang diperlukan buat syarikat yang ingin mengiklan pada rangkaian pengiklanan mereka yang mempunyai lebih dari 19 juta pengguna.

2- OverTask

OverTask merupakan satu komponen berasaskan web untuk mereka yang ingin fokus semasa melakukan kerja. Sekiranya anda seorang yang sentiasa hilang fokus sebab tab-tab pada browser anda yang banyak, melalui OverTask, anda dapat menetapkan tab yang ingin anda buka. Baca ulasan kami mengenai penggunaan OverTask disini.

3- Adz

Syarikat ini memfokuskan kepada pengiklan dan juga penerbit kandungan. Melalui platform pengiklanan mereka, syarikat boleh mengiklankan kepada ramai pengguna dan dilihat ingin memudahkan proses tersebut.

4- Easy Read

Startup ini memfokuskan kepada memudahkan pembelajaran bahasa lain melalui pembacaan. Melalui aplikasinya, pengguna akan membaca majalah atau buku dalam bahasa mereka, dan boleh menterjemah kepada bahasa yang diinginkan. Easy Read juga memenangi People Choice Awards untuk acara ini.

5- EasyUni

EasyUni merupakan satu portal yang menghubungkan pihak universiti dan pengguna. Pihak universiti boleh mengiklan program mereka dan untuk pengguna umum pula boleh membandingkan kursus-kursus yang dijalankan oleh universiti.

6- EnSurvey

Startup ini memfokuskan untuk memudahkan proses kajiselidik di sesuatu laman web untuk syarikat berkaitan. Melalui satu contoh yang ditunjukkan, mereka hanya memerlukan dua soalan untuk mengetahui sesuatu perkara.

7- FanXT

Sekiranya anda seorang yang sukakan permainan ‘Fantasy Football’, mungkin anda sudah biasa dengan startup ini. Mereka memfokuskan kepada sukan interaktif sebegini dan dilihat mempunyai trafik yang tinggi berbanding pesaing mereka.

8- D-Band

Syarikat ini telah menghasilkan peranti boleh pakai yang berupaya untuk membantu pesakit diabetis dalam mengetahui masa serta membantu mereka disaat kecemasan.

9- Golden Gorilla

Startup ini mempunyai satu algoritma yang dipanggil FIAT – Facebook Intelligent Audience Targeting yang dikhususkan untuk kempen pemasaran di Facebook. Mereka telah membantu banyak kempen memperoleh keputusan yang diinginkan.

10- Golfbogey

Golfbogey membolehkan pemain golf menempah sirkit padang golf atas talian dan memudahkan mereka mendapatkan maklumat berkenaan keahlian kelab golf serta pertandingan yang diadakan pada kelab golf tersebut.

11- Hijab2Go

Hijab2Go merupakan satu aplikasi untuk platform peranti mudah alih memfokuskan kepada wanita-wanita yang ingin membeli tudung. Melaluinya, pengguna juga boleh melihat simulasi rupa mereka dengan tudung yang digayakan.

12- Netizen Testing

Netizen Testing merupakan startup yang menyediakan perkhidmatan pengujian untuk laman web sesuatu syarikat. Syarikat-syarikat yang ingin mengetahui prestasi laman web mereka boleh menggunakan khidmat mereka. Mereka juga turut mencari penguji yang boleh menguji laman web dengan bayaran yang berpatutan.

13- RoboQA

Startup ini juga mempunyai produk yang membantu syarikat lain dalam sentiasa menguji keupayaan laman web mereka. Untuk syarikat besar, pengujian laman web adalah amat penting bagi memastikan fungsi-fungsi kritikal laman web tersebut berjalan lancar. Dan RoboQA ingin memudahkan proses ini melalui fungsi secara automatik.

14- WatchOverMe

Aplikasi memfokuskan keselamatan pengguna ini merupakan lanjutan dari aplikasi SecQ.me. Melalui aplikasi tersebut, pengguna boleh menyatakan kedudukan mereka kepada orang yang mereka tetapkan. Sekiranya sesuatu berlaku dalam tempoh tersebut kepada pengguna, aplikasi tersebut akan menghantar notifikasi cemas kepada orang yang telah pengguna tetapkan.

15- Sharefolio

Sharefolio dilihat ingin menyelesaikan masalah buat syarikat atau individu yang mencari pelabur, atau pelabur yang ingin mencari lebih maklumat berkenaan syarikat yang ingin dilaburkan. Portal ini menghubungkan keduanya, disamping turut menghubungkan dunia pelaburan korporat secara total.

16- InstaB

Aplikasi InstaB semestinya tidak asing buat para pembaca semua. Ia merupakan aplikasi diinspirasikan dari Instagram dengan fokus terhadap bayi. Lebih dari sekadar menyediakan filter, ia turut membawakan komponen grafik yang comel untuk diletakkan dengan gambar bayi pengguna.

17- Supahands

Sekiranya anda seseorang yang sentiasa sibuk dengan banyak perkara, Supahands merupakan satu projek dengan pembantu virtual yang boleh anda gunakan. Seperti contoh anda tidak mempunyai masa untuk melakukan tempahan dewan, melalui langganan Supahands, pembantu virtual tersebut akan menyelesaikannya untuk anda.

18- TableApp

TableApp merupakan aplikasi tempahan untuk restoran. Meskipun ia bukan satu trend umum buat Malaysia, namun banyak restoran telah menggunakan sistem TableApp. TableApp juga mempunyai banyak pilihan buat pengguna jadi buat mereka yang ingin menempah tempat ke restoran, aplikasi ini patut digunakan untuk anda.

19- Ticket Hero

Ticket Hero merupakan aplikasi yang membantu anda mendapatkan tiket-tiket percuma untuk ke sesuatu acara. Aplikasi yang masih di peringkat percubaan ini buat masa ini tidak terbuka kepada semua.

20- TootPay

TootPay yang memenangi acara ini membawakan teknologi perbankan atas talian tanpa memerlukan pakej data pada telefon anda. Malahan, sistem mereka juga boleh digunakan pada kebanyakan platform. Menurut salah seorang pengadil, Mike Smith, TootPay memenangi sekaligus mewakili Malaysia kerana portfolionya yang sangat kuat disamping mereka telah menyelesaikan masalah perbankan mudah alih.

  • Info
  • Laporan sekitar acara Echelon Satellite Malaysia 2014 ini dibawakan oleh Cradle Fund
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd