Carian
Chatbot Meta AI Diperkenalkan Untuk Facebook, WhatsApp, Messenger dan Instagram
April 19, 2024 Effi Saharudin

Chabot dengan kecerdasan buatan Meta AI hari ini secara rasmi dilancarkan di 12 negara. Ia boleh diakses di dalam aplikasi Facebook, WhatsApp, Messenger dan Instagram. Seperti yang kami laporkan sebelum ini, Meta AI menggunakan model Llama 3 bagi membolehkan ia menjawab pelbagai persoalan yang dilontarkan oleh pengguna.

Sebagai contoh Meta AI boleh digunakan untuk menulis mesej di dalam WhatsApp sekiranya anda kekeringan idea. Soalan mengenai pelbagai subjek juga boleh dijawab oleh Meta AI tanpa mereka perlu perlu ke laman web untuk mencari jawapannya.

Misalnya anda menghubungi kawan untuk bertemu di Ulu Bertam Hilir Melaka. Meta AI boleh memberikan jawapan restoran yang terbaik untuk melakukan pertemuan makan tengah hari. Dengan Meta AI, Meta ingin pengguna kekal di dalam aplikasi mereka sepanjang masa.

Selain itu Meta AI juga mempunyai kemampuan menjana imej dengan memasukkan prom seperti DALL.E 3. Imej pegun yang dijana kemudian boleh diubah menjadi GIF beranimasi juga dengan arahan prom kepada Meta AI.

Meta AI pada waktu ini hanya diberikan kepada pengguna di Australia, Kanada, Ghana, Jamaica, Malawi, New Zealand, Nigeria, Pakistan, Singapura, Africa Selatan, Uganda, Zambia dan Zimbabwe.

Komen