Carian
Northrop Grumman Perlihatkan Dron Bawah Laut Yang Mirip Ikan Pari
May 2, 2024 Effi Saharudin

Di awal pembangunan kapal terbang, rekaan awal banyak mengambil inspirasi seperti tubuh burung kerana ia dilihat sebagai rekaan yang mempunyai kebarangkalian tertinggi untuk berjaya. Tetapi kita tahu sekarang ini adalah tidak benar. Jadi adalah agak menarik melihat Northrop Grumman mengambil inspirasi daripada ikan pari untuk dron bawah laut mereka yang bakal digunakan oleh Tentera Amerika Syarikat.

Bukan sahaja rekaannya mirip ikan pari, nama dron ini sendiri ialah Manta Ray dengan ia dibangunkan sebagai projek membina dron bawah laut yang boleh beroperasi tanpa sebarang campur tangan manusia. Manta Ray akan digunakan untuk melakukan intipan dan juga rondaan tanpa dikesan oleh musuh.

Ia mempunyai mod menunggu dan boleh duduk di dasar laut sehinggalah diperlukan bagi menjalankan misi yang diberikan. Spesifikasi penuh Manta Ray masih lagi dirahsiakan. Northrop Grumman sekadar berkata ia mempunyai rekaan modular bagi membolehkan ia melakukan pelbagai misi yang diperlukan.

Pembangunan dron udara dan darat berkembang maju dengan ia telah digunakan di medan perang seperti di Ukraine dan Syria. Hanya beberapa minggu lalu Australia memperlihatkan dron bawah laut Ghost Shark yang akan melalukan misi yang sama dengan Manta Ray. Amerika dan sekutunya melihat tentera China perlu dipantau di kawasan perairan Laut China Selatan dan dron swalayar ialah penyelesaian jangka pendek yang paling murah.

Komen