Carian
Microsoft Build: AI Day Dilihat Merancakkan Industri Pembangunan Teknologi AI Di Malaysia
May 2, 2024 Nazrin

Microsoft Malaysia mengadakan acara Microsoft Build: AI Day hari ini di Kuala Lumpur untuk merancakkan sektor pembangunan teknologi kecerdasan buatan tempatan. Satya Nadella, CEO Microsoft menghadiri acara ini, dengan ucaptama beliau yang memperlihatkan banyak keunikan menarik yang dibangunkan oleh Microsoft untuk pasaran tempatan dan juga serantau.

Acara AI Day diadakan di Pusat Konvension Connexion di Bangsar South, dan dihadiri oleh ratusan pembangun teknologi tempatan untuk mengetahui apa yang ingin disampaikan oleh beliau dan juga rakan-rakan di Microsoft untuk meningkatkan kadar dan mutu pembangunan teknologi AI di Malaysia.

Di acara seharian ini, Microsoft Malaysia memperlihatkan reruai berkenaan teknologi kecerdasan buatan Microsoft menggunakan Microsoft Azure, dan juga reruai untuk GitHub, yang merupakan repositori kod sumber yang terbuka, dan membolehkan orang ramai memuat-turun dan memberikan pendapat terhadap program dan kod sumber yang dirumahkan di platform tersebut.

Satya Nadella mengatakan bahawa setakat ini, terdapat sebanyak 600 ribu pembangun aplikasi di Malaysia sahaja yang menggunakan GitHub, dan salah satu kemaskini terbaru GitHub Copilot yang diperkenalkan ialah platform tersebut memahami input prom dalam Bahasa Malaysia, yang mana pengaturcara boleh menggunakan bahasa kebangsaan kita untuk meminta Copilot menulis kod asas dengan cepat dan mudah.

Di Malaysia, diantara syarikat dan platform yang menggunakan perkhidmatan AI Microsoft Copilot termasuklah Agroz, Doctor2U, Pandai, Prudential, PNB dan juga Petronas. Microsoft juga dilihat sedang membangunkan teknologi AI khusus untuk sains yang akan dimanfaatkan untuk mencari kompaun dan bahan yang baru yang dilihat akan memanfaatkan pelbagai industri, seperti pembangunan semikonduktor, pencarian bahan api baru, ubat-ubatan yang lebih berkesan dan sebagainya.

Kehadiran Satya Nadella di Malaysia juga memperlihatkan pengumuman pelaburan sebanyak $2.2 bilion di pasaran Malaysia dalam bentuk pembinaan infrastruktur digital, mencipta peluang kemahiran AI, menubuhkan Pusat Kecemerlangan AI Nasional dan meningkatkan keupayaan keselamatan siber negara.

 Dalam pada itu, Microsoft juga mengumumkan bahawa menjelang 2025, mereka akan memberi peluang kepada 2.5 juta individu di rantau ASEAN dengan peluang untuk meningkatkan pengetahuan dan kepakaran dalam bidang AI sebagai komitmen kepada pelan ASEAN Digital Masterplan 2025 untuk membangunkan bakat dalam sektor tersebut di rantau ini.

Komen