Carian
Microsoft Melabur $2.2 bilion Di Malaysia – Menguasakan AI Dan Perkomputeran Awan
May 2, 2024 Effi Saharudin

Microsoft mengumumkan pelaburan bernilai $2.2 bilion (~RM10.5 bilion) di Malaysia dalam tempoh empat tahun. Ia adalah pelaburan terbesar pernah dilakukan oleh Microsoft di Malaysia sejak memulakan operasinya di dalam negara 32 tahun yang lalu.

Pelaburan akan dilakukan dalam bentuk membina infrastruktur digital, mencipta peluang kemahiran AI, menubuhkan Pusat Kecemerlangan AI Nasional dan meningkatkan keupayaan keselamatan siber negara. Ia dijangka akan memberikan peluang kepada 200,000 individu di Malaysia untuk meningkatkan kemahiran mereka dalam kecerdasan buatan.

Disamping itu pelaburan ini menunjukkan komitmen Microsoft untuk membangunkan Malaysia sebagai hab pengkomputeran awan dan teknologi canggih yang berkaitan, termasuk AI generatif. Ini akan menyokong produktiviti, daya saing, daya tahan dan pertumbuhan ekonomi negara. Ia juga akan menyokong pertumbuhan komuniti pemaju Malaysia.

Hanya dua hari yang lalu, Microsoft mengumumkan pelaburan $1.7 bilion di Indonesia selepas CEO Satya Nadella melakukan pertemuan dengan Presiden Jokowi. Pelaburan ke dalam arena AI kini sedang berkembang pesat di rantau Asia Tenggara. Di Johor misalnya YTL mengesahkan superkomputer yang akan dibina di pusat data AI mereka adalah antara yang terawal dilengkapi sistem kecerdasan buatan (AI) paling berkuasa di dunia iaitu NVIDIA GB200 NVL72.

Komen