Carian
Google Membangunkan Ciri Mengembalikan Data Tanpa Peranti Perlu Dipadam Dahulu
May 6, 2024 Effi Saharudin

Di zaman awal Android dahulu, saya akan melakukan proses tetapan semula (reset) dan kemudian mengembalikan data secara awanan. Ini kerana peranti akan terasa lambat selepas beberapa tahun. Sejak isu ini diselesaikan, saya hanya melalukan proses mengembalikan data pada telefon baharu yang diulas. Menurut Android Authority, Google sedang membangunkan ciri data peranti dikembalikan semula tanpa peranti menjalani proses reset terlebih dahulu.

Ciri “Restore Anytime” membolehkan sandaran data dikembalikan semula pada peranti pada bila-bila masa sahaja. Dengan ini jika isu muncul pada peranti, pemilik tidak lagi dilecehkan dengan proses reset terlebih dahulu. Seperkara lagi yang menarik ialah apabila Restore Anytime digunakan, data baharu yang tidak disandarkan akan kekal pada peranti tanpa isu ia terpadam secara tidak sengaja.

Selain itu di dalam kod terdapat juga petanda Google akan membolehkan data dipindahkan daripada peranti lama ke peranti baharu dengan lebih pantas. Ini adalah menerusi memindahkan data menggunakan kabel dan juga WiFi secara serentak. Sebelum ini hanya salah satu cara pemindahan data boleh digunakan.

Walaupun kod telah ditemukan, masih belum jelas bilakah kedua-dua ciri ini akan diberikan kepada Android. Besar kemungkinan ia akan diumumkan di acara Google I/O pada 14 Mei hadapan.

Komen