Carian
Pandang Pertama : Asus VivoTab RT
November 11, 2012 Aman

Untuk Windows 8, selain daripada Asus Vivobook yang mana merupakan komputer riba dengan sokongan skrin sentuh, Asus turut sama hadir dengan tablet mereka tersendiri, dinamakan sebagai VivoTab. Dua variasi diperkenalkan, iaitu VivoTab RT dan juga VivoTab (menggunakan Windows 8 sepenuhnya).

Mungkin ramai yang tertanya-tanya apakah beza antara VivoTab dan juga variasinya, VivoTab RT. VivoTab merupakan peranti yang menggunakan Windows 8 sepenuhnya, dan dijana menggunakan cip pemprosesan Intel Atom, manakala VivoTab RT hanya menjalankan Windows RT dengan cip pemprosesan NVIDIA Tegra 3.

Seperti pernah dimaklumkan sebelum ini, Windows RT adalah versi Windows yang hanya untuk tablet, dimana aplikasi hanya boleh dipasang melalui Windows Store sahaja, manakala untuk Windows 8, aplikasi boleh dipasang daripada pengeluar ketiga, termasuk fail berbentuk EXE, MSI dan sebagainya.

Berbalik kepada topik asal, untuk pasaran Malaysia, buat masa ini, hanya Asus VivoTab RT sahaja yang dimulakan jualannya, manakala VivoTab dengan Windows 8 dijangka akan mula dijual dalam masa terdekat.

[amanz-gallery]

Rekabentuk
Spesifikasi Asus VivoTab RT
Cip NVIDIA Tegra 3 (empat-teras)
Memori 2GB RAM
Skrin 10.1-inci (1366×768) IPS
Storan 32GB + 32GB Asus WebStorage
Kamera 8-megapixel (belakang), 2-megapixel (hadapan)
Lain-lain Audio SonicMaster, mikro-HDMI, pembaca kad mikro-SD
Bateri Tablet – 9 jam; Gabungan dengan dock – 16 jam
Harga RM2199 (dengan dock)

Asus boleh dikatakan mengekalkan kualiti rekabentuk dan binaan yang agak tinggi. Asus VivoTab RT ini membawakan rekabentuk seumpama beberapa tablet Android yang pernah dikeluarkan mereka sebelum ini, termasuk Asus Transformer Pad dan sebagainya.

Ia membawakan tablet yang mana boleh dicantumkan kepada papan kekunci dan menggunakannya sebagai komputer riba dengan mudah.

Papan kekunci yang dibawakan juga agak nipis, dan membawakan ciri-ciri premium padanya, dan tidak kelihatan begitu janggal apabila dicamtumkan.

Perisian

Seperti dimaklumkan pada awal artikel, ia didatangkan dengan Windows RT padanya. Walaupun ia mempunyai beberapa kekurangan, namun apa yang menariknya adalah dimana ia sedia untuk digunakan untuk tujuan perniagaan mahupun pendidikan, memandangkan ia didatangkan terbina bersama Office Home & Students RT 2013 secara percuma padanya.

Daripada apa yang kami lihat, tiada sebarang lengah masa yang dihadapi ketika penggunaannya, dan skrin sentuhnya juga kelihatan amat responsif. Mungkin ini adalah antara kelebihan Windows RT, selain memandangkan ia turut dijana menggunakan cip pemprosesan empat-teras NVIDIA Tegra 3.

Kami tidak dapat menguji bagaimanakah prestasi penuh permainan padanya, memandangkan permainan yang ditawarkan pada Windows Store buat masa ini masih terhad.

Masa Penggunaan

Asus menjanjikan ia dapat digunakan selama 9 jam untuk tabletnya sahaja, dan apabila digabungkan dengan papan kekunci, ia memberikan masa penggunaan sehingga 16 jam.

Asus VivoTab RT

Lain-Lain

Asus VivoTab RT ini turut sama dilengkapi dengan teknologi audio daripada SonicMaster, sekaligus memberikan kualiti bunyi dan audio yang lebih baik berbanding pesaing mereka yang lain.

Asus turut sama menjanjikan yang mana VivoTab RT ini dilengkapi dengan skrin tahan calar, Corning Fit Glass padanya, sekaligus menjadikan ia sebagai salah satu peranti yang amat sesuai untuk digunakan ketiga bekerja diluar.

Berbeza dengan VivoTab, untuk VivoTab RT ini, Asus tidak menyertakan sokongan Digitizer padanya, mungkin salah satu kekurangan untuk mereka yang gemar melakar.

Beli atau Tidak?

Buat masa ini, harga jualan untuk Asus VivoTab (versi Windows 8) masih tidak diketahui untuk dibuat perbandingan, dan harga jualan RM2199 (bersama dock) kelihatan agak mahal berbanding dengan VivoBook yang hadir pada harga sekitar RM1500. Semestinya ia membawakan penggunaan yang berbeza dan sebagainya.

Untuk pasaran Malaysia, mungkin peranti berbentuk gabungan ini adalah sekitar harga tersebut, memandangkan Acer turut sama menjual Iconia Tab dengan gabungan papan kekunci pada harga yang sama, tetapi menyertakan Windows 8 padanya, dan bukannya Windows RT.

Mungkin sekiranya anda ingin mendapatkannya, boleh nantikan sebulan dua, dan membandingkannya dengan harga VivoTab yang akan dijual di Malaysia kelak.

Asus VivoTab RT

Komen