Cari @ Amanz

Google SekuritiGoogle pada awal minggu ini telah berkongsi mengenai beberapa perkara berkaitan dunia mudah-alih, termasuk data yang memperlihatkan Malaysia mempunyai lebih kurang 35% pengguna yang hanya menggunakan peranti mudah-alih untuk mengakses internet.

Disamping data-data menarik, pihak Google turut berkongsi beberapa perkara menarik berkaitan sekuriti. Seperti semua sedia maklum, sekuriti dan keselamatan data telah menjadi salah satu perkara utama yang dibincangkan ramai sepanjang tahun ini – apatah lagi dengan lebih ramai mengakses internet menggunakan peranti mudah-alih mereka. Bercakap mengenainya, pihak Google berkongsi beberapa perkara asas yang boleh dilakukan pengguna dalam menjadikan peranti mereka lebih selamat berbanding kebiasaan.

Android Device Manager – Memudahkan Anda Menemui Peranti Yang Hilang

Android Device ManagerAndroid Device Manager merupakan salah satu pengurus untuk peranti Android. Pengguna perlulah memasang aplikasi Android Device Manager (disertakan pada peranti-peranti baru secara terbina). Sebaik sahaja memasang ia pada peranti anda, anda seterusnya boleh memantau peranti tersebut melalui pelayar web ataupun peranti Android yang lain dengan mudah. Tujuan utama ia disediakan adalah untuk memudahkan pengguna untuk mencari atau menemui kembali peranti Android mereka yang tersilap letak atau hilang.

Menggunakan Android Device Manager, pengguna boleh melakukan beberapa perkara, termasuk melihat lokasi semasa peranti tersebut pada peta, mengunci peranti tersebut supaya orang yang menemuinya tidak boleh mengakses info dan data, membuatkan peranti mengeluarkan bunyi supaya anda boleh menemuinya, ataupun memadam keseluruhan data pada peranti tersebut supaya tiada siapa yang boleh mendapatkan info didalam peranti berkenaan.


Screen Lock – Kunci Peranti Android Daripada Diakses Pengguna Lain

Android Pattern UnlockSalah satu cara mudah untuk mengelakkan data pada peranti anda diakses pengguna lain adalah dengan mengunci peranti anda menggunakan kata laluan ataupun corak lakaran yang hanya diketahui oleh anda sahaja. Fungsi ini hadir terbina pada pelbagai peranti Android terkini, dimana pengguna boleh menetapkan sekuriti untuk mengunci peranti, dan mengelakkan daripada pengguna lain mengakses info atau data pada peranti.

Untuk menggunakannya, pengguna hanya perlu ke halaman tetapan, dan memilih sekuriti. Padanya, anda boleh memilih tab “Screen Lock”, dan memilih corak sekuriti yang anda inginkan untuk mengunci peranti anda. Terdapat beberapa kaedah yang disediakan, termasuk pemilihan untuk menggunakan pin (dalam bentuk angka sahaja), menggunakan corak pilihan, ataupun menggunakan kata laluan (gabungan abjad, simbol dan angka).


Pengesahan Dwi-Faktor – Jadikan Log Masuk Ke Akaun Lebih Selamat

Google Dwi-FaktorDengan kata laluan yang kini menjadi sesuatu yang mudah untuk digodam, salah satu perkara yang mula diperkenalkan oleh kebanyakkan firma internet adalah sokongan untuk dwi-pengesahan. Google tidak ketinggalan, dan turut menyediakan fungsi tersebut pada akaun Google mereka – yang digunakan untuk emel, peranti Android, Google Play dan sebagainya.

Menggunakan pengesahan dwi-faktor ini, pengguna perlu mendaftarkan nombor telefon dengan pihak Google, dan sekiranya anda ingin log masuk ke akaun Google, anda akan diminta untuk memasukkan satu lagi pin tambahan yang mana dihantar ke nombor telefon anda. Pihak Google turut menyediakan pilihan untuk anda menyimpan lebih kurang 10 kod rawak untuk digunakan ketika diperlukan – terutamanya ketika anda berada di luar negara ataupun tidak mempunyai telefon anda bersama-sama.


Search Filter – Elakkan Memperlihatkan Carian Yang Kurang Sesuai

Tips terakhir yang dikongsikan oleh Google adalah lebih kepada menjadikan pengalaman pelayaran anda lebih selamat dan tidak dipaparkan dengan hasil carian serta kandungan yang kurang baik. Untuknya, pihak Google menyediakan ruangan khusus pada halaman tetapan, membolehkan pengguna membuang dan menapis hasil carian yang dipaparkan pada Google, dan juga pada halaman YouTube. Dengan membuat tetapan ini, ia juga akan menjadikan pelayaran menggunakan peranti ataupun web anda lebih selamat dan juga boleh dilayari oleh kanak-kanak tanpa sebarang masalah.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd