Carian
Autodesk Dan Airbus Bekerjasama Menghasilkan Komponen A320 Menggunakan Cetakan 3D
December 10, 2015 Effi Saharudin

Cetakan 3D kini telah digunakan bagi menghasilkan rumah, kereta, kerangka telefon, karya seni untuk OKU penglihatan dan juga baju wanita. Ia turut mendatangkan kerisauan pihak keselamatan kerana turut boleh digunakan untuk mencetak pistol. Di Malaysia cetakan 3D sudah digunakan di dalam bidang perubatan bagi menghasilkan tempurung kepala titanium untuk mangsa kemalangan.Penggunaan teknologi ini mempercepatkan proses penghasilan prototaip dan mengurangkan kos penghasilan produk.

Aribus-Autodesk-Bionik-Partition-1

Autodesk dan Airbus kini menggunakan teknologi ini untuk menghasilkan komponen untuk pesawat A320. Dinding pembahagi yang digunakan di dalam pesawat kini dihasilkan sepenuhnya menggunakan pencetak 3D. “Pembahagi Bionik” ini mempunyai rekaan kekisi yang mempunyai persamaan dengan struktur tulang. Ini membuatkan komponen baru ini lebih ringan dan pada waktu yang sama lebih tahan lasak berbanding rekaan sebelum ini. Berat berjaya dikurangkan sebanyak 45 peratus. Pengurangan ini menjimatkan penggunaan minyak dan bersamaan dengan pengurangan pengeluaran karbon dioksida sebanyak 46500 tan metrik setahun. Pembahagi baru ini diperbuat menggunakan aloi Scalmalloy, gabungan logam aluminium, magnesium dan scandium. Jelas di sini dengan penggunaan teknologi terkini ia bukan sahaja menjimatkan kos malahan mengurangkan pencemaran terhadap alam sekitar.

Aribus-Autodesk-Bionik-Partition-2

Komen