Cari @ Amanz

Papan-apung (hover board) ialah peranti yang melonjak kepopularannya tahun ini. Ia bukanlah papan apung seperti di dalam filem Back to The Future II tetapi hanyalah kenderaan beroda elektrik seakan Segway. Kepopularan papan-apung menular sehingga ke Masjidil Haram sehingga wujud fatwa mengharuskan penggunaannya ketika tawaf sekiranya individu tidak mampu melakukannya menggunakan tenaga tubuh sendiri. Sejak kebelakangan ini, papan-apung mula mendapat reputasi buruk kerana terbakar secara tiba-tiba. Masalah dikatakan berpunca dari bateri yang tidak selamat digunakan.

Hoverboard-Papan-Apung

Oleh sebab itu, Penerbangan Malaysia Berhad mengeluarkan arahan baru mengharamkan papan-apung dari pesawat mereka bermula esok (19 Disember). Ini adalah langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan kebakaran dari berlaku di dalam pesawat ketika di atas udara.

Bateri boleh dicas semula kini mula mendapat perhatian syarikat penerbangan selepas insiden MH370 yang dipercayai berpunca dari bateri litium yang mungkin terbakar di ruang kargo. Sebelum ini Malaysia Airport Berhad juga telah mengharamkan vape di dalam pesawat selepas insiden ia meletup ketika di atas pangku penumpang Malindo Air.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd