Carian
Hairware – Rambut Palsu Pintar Yang Boleh Berinteraksi Dengan Peranti Pintar
June 18, 2015 Effi Saharudin

Peranti berhubung dan peranti boleh pakai adalah dua teknologi yang akan dibangunkan pada kadar yang pesat dalam beberapa tahun akan datang. Penggunaan dua teknologi ini adalah bagi memudahkan kehidupan  seharian kita.  Antara barangan harian ang sudah menggunakan teknologi pintar ialah bra sukan , puting bayi, papan putih , topi keledar , tabung duit dan tong sampah.

Hariware

Kini tiba untuk rambut palsu pula dipintarkan. Hairware ialah rambut palsu pintar yang berinteraksi dengan peranti pintar. Sebagai contoh dengan memegangnya anda boleh mengarahkan peranti untuk mengambil gambar. Apabila bahagian lain rambut disentuh ia akan melancarkan aplikasi rakaman suara pada peranti yang tertambat. Rambut pintar ini ialah buah fikiran Katia Vega, yang berasal dari Brazil. Bahagian tertentu rambut boleh diprogram untuk melakukan perkara tertentu. Kerana rambut palsu ini berfungsi secara kapasitif, arahan kepada peranti pintar juga boleh dilakukan mengikut jumlah rambut yang disentuh. Mikropemproses yang digunakan dapat mengira perbezaan rintangan pada rambut dan mengesan arahan yang diberikan.

Prototaip yang dihasilkan mungkin kelihatan agak aneh tetapi idea rambut palsu ini mempunyai aplikasi menarik. Mungkin di masa hadapan ia bole digunakan oleh pemakai untuk menghantar mesej kecemasan sekiranya diculik dan mereka tidak sempat memegang peranti untuk mendapatkan bantuan. Sesuai juga untuk melakukan intipan di mana rakaman rahsia boleh dimulakan dengan menyentuh hujung rambut.

Buat masa ini Hairware hanya wujud dalam bentuk rambut palsu. Katia Vega ada mempunyai perancangan menghasilkannya dalam bentuk janggut palsu untuk kegunaan kaum lelaki.

Komen