Cari @ Amanz

Vivo X5 ProM2380014Sejak muncul pada tahun 2007, pelbagai peranti dihasilkan dengan tujuan menjadi “pembunuh iPhone”. Tahun demi tahun kepopularan peranti iPhone semakin meningkat dan kesemua peranti yang sepatutnya membunuh akhirnya terbunuh. Ada pengeluar yang mengambil jalan menghasilkan peranti yang “diinspirasikan” oleh iPhone sehingga disaman hampir $1 Billion kerana melanggar harta intelek Apple. Bak kata pepatah Inggeris, jika anda tidak boleh mengalahkan mereka kamu ikutilah mereka. Vivo X5 Pro boleh dikategorikan sebagai peranti yang mengikut rekaan iPhone. Sekilas pandang ia memang kelihatan seperti sebuah iPhone 6. Perbezaan hanyalah pada rekaan panel belakang dan ketiadaan butang home fizikal pada dagu peranti. Adakah pelanduk dua serupa ini berbaloi untuk dimiliki?

Rekaan

Vivo X5 Pro
Pemproses Snapdragon 615 (1.5 x 4 + 1.1 x 4 GHz)
Skrin 5.2″ SAMOLED (1080P) 424 PPI
RAM 2 Gigabyte
Muatan Dalaman 16/32 Gigabyte (MikroSD sehingga 128 GB)
Kamera Utama 13 Megapixel (1080P)
Kamera Depan 8 Megapixel (1080P)
Bateri 2450 mAh
SIM/Telefoni Nano + Mikro SIM / 4G
Harga Jualan RM 1599

Seperti yang dikatakan tadi Vivo X5 Pro memang sebuah peranti yang diinspirasikan oleh sebuah iPhone 6. Kemasan tepi logamnya melengkung bagi memberikan keselesaan ketika digenggam. Panel belakang diperbuat daripada kaca, bukan logam seperti sebuah iPhone. Pada dagu peranti terdapat tiga butang kapasitif iaitu menu, home dan back. Ketiga-tiga butang tidak mempunyai sokongan lampu.

Kami tidak tahu mengapa ada pengeluar yang malas meletakkan lampu pada butang navigasi. Ini amat menyukarkan penggunaan pada waktu malam. Sekiranya tidak mahu menggunakan butang navigasi berlampu, ubah sahaja antaramuka kepada yang menggunakan butang navigasi pada skrin (on-screen navigation). Ini pastinya akan memudahkan penggunaan peranti pada waktu malam.

Butang kuasa dan suara yang diperbuat daripada logam terletak pada sisi kanan. Pada sisi yang sama terdapat slot untuk dwiSIM dan kad MikroSD. Pada bahagian bawah terdapat dua pembesar suara stereo dan port pengecasan MikroUSB. Jack phone kepala pula terletak pada bahagian atas.

Spesifikasi adalah sederhana dengan skrin 5.2″ IPS LCD HD Penuh . Pemproses lapan teras Snapdragon 615 (1.5 x 4+ 1.1 x 4 GHz) digabungkan dengan RAM sebesar 2 Gigabyte dan muatan dalaman 16/32 Gigabyte (MikroSD sehingga 128 Gigabyte). Kemampuan optik pula ialah 13 Megapixel pada bahagian belakang dan 8 Megapixel pada bahagian hadapan. Akhir sekali peranti nipis ini dilengkapi bateri sebesar 2300 mAh.

Peranti yang meniru rekaan iPhone biasanya mempunyai binaan berkualiti rendah tetapi di dalam kes X5 Pro ini adalah tidak benar. Dari segi kemasan harus kami katakan ianya cukup berkualiti. Kaca hadapan menggunakan teknologi 2.5 D yang melengkung bagi menambahkan keselesaan ketika dipegang. Walaupun panel belakang diperbuat daripada kaca, ia tidak mudah tergelincir dari genggaman. Butang kuasa dan suaranya juga tegap dan turut mempunyai sisi yang bulat bagi memastikan keselesaan apabila jari menekannya. Secara keseluruhan ia adalah peranti yang dibina dengan cukup baik sekali. Setiap pembelian X5 Pro turut disertakan sekali dengan cangkerang plastik lutsinar. Panel kaca belakang dan sisi aluminium peranti kini terselamat dari tercalar.

Vivo X5 ProM2380003Vivo X5 ProM2380008Vivo X5 ProM2380012


Antaramuka Funtouch OS

Vivo-X5-Pro-UI-1Sistem operasi Android 5.0 digunakan dengan antaramuka Funtouch OS. Keseluruhan antaramuka X5 Pro tidak kelihatan seperti sebuah peranti Android tetapi lebih kepada sebuah iOS 8. Jika anda pengguna Android yang tidak pernah menggunakan peranti iOS, pertukaran antaramuka ini akan menjadi sedikit janggal. Tiada talam aplikasi disertakan seperti hampir kesemua antaramuka dari tanah besar China.

Talam notifikasi pula hanya memaparkan notifikasi. Tiada butang tetapan peranti, mengubah keterangan skrin ataupun pintasan pantas kepada beberapa fungsi telefon (seperti WiFi, HotSpot dan Bluetooth) disertakan. Apabila tatalan dilakukan dari bahagian bawah skrin ke atas, ini akan melancarkan skrin multitasking dan juga pintasan pantas yang biasanya dilihat pada talam notifikasi. Kesemua elemen dan susunan antaramuka memang menyerupai sistem operasi iOS.

Dari pandangan positif ini membuatkan X5 Pro mempunyai antaramuka hibrid yang unik berbanding kesemua peranti Android lain di pasaran. Dari pandangan negatif pula perbezaan antaramuka ini menyukarkan pengguna Android biasa kerana perlu mempelajari semula bagaimana untuk menggunakan peranti. Pelbagai pilihan tetapan peranti diubah sehingga sukar untuk dicari.

Sebagai contoh ialah tetapan untuk penggunaan bateri. Biasanya ia diletakkan pada pilihan tetapan peranti. Pada X5 Pro ia tidak boleh ditemui pada skrin tetapan sebaliknya diletakkan pada aplikasi i Manager. Di dalam aplikasi yang sama turut disertakan pilihan untuk melakukan tetapan aplikasi default. Adalah lebih masuk akal dan mesra pengguna untuk meletakkan kedua-dua tetapan ini pada skrin tetapan peranti seperti yang ada pada Android Vanilla. Mengapa ianya perlu dibawa keluar sehingga menyukarkan pengguna? Aplikasi manual peranti turut tidak memberitahu ataupun membantu. Nasib baik ada pengguna peranti Vivo yang lain memberitahu kami dimanakah dua tetapan ini “tersorok”.

Seperkara lagi yang agak mengecewakan ialah selepas peranti dihidupkan untuk kali pertama, fungsi auto-restore yang kini standard pada peranti Android tidak disokong. Kami perlu memuat turun semua aplikasi yang ingin kami gunakan secara manual. Bagi kami yang sering perlu bertukar-tukar telefon ketiadaan proses auto-restore ini adalah amat dikesali.

Vivo-X5-Pro-UI-2Vivo-X5-Pro-UI-3Vivo-X5-Pro-UI-4

Kustomasi Dan Fungsi Tambahan

Tetapi ini tidak bermakna Funtouch OS tidak mempunyai perkara postif yang boleh diperkatakan. Ia menyokong fungsi pergerakan jari yang diberi nama Smart Motion. Dari skrin yang tertutup anda boleh melancarkan beberapa aplikasi dengan melakar bentuk tertentu. Dengan melakar huruf F contohnya, aplikasi Facebook boleh dilancarkan dengan pantas.

Fungsi Dwi-tap juga disokong. Tekan skrin sebanyak dua kali untuk melakukan nyahkunci pantas tanpa perlu menekan butang kuasa. Skrin peranti juga tidak akan tertutup secara automatik selagi anda melihatkan dengan wujudnya fungsi Smart Keep Bright. Ini sama seperti fungsi Smart Stay yang dilihat sebelum ini pada peranti Samsung. Pilihan automasi peranti adalah pelbagai dan setanding dengan peranti kelas utama pengeluar lain.

Kepada yang gemar melakukan kustomasi antaramuka pula, terdapat 34 pilhan antaramuka yang boleh dimuat turun. Vivo turut menyertakan antaramuka Scene yang kelihatan seperti sebuah bilik yang dipenuhi objek. Setiap objek di dalam bilik ini mewakili fungsi peranti. Gitar apabila ditekan akan melancarkan aplikasi muzik, kamera DSLR melancarkan aplikasi kamera dan televisyen melancarkan aplikasi pemain video peranti.

Antaramuka Scene ini mengingatkan kami kepada sistem antaramuka yang popular awal tahun 2000. Ia mungkin ketinggalan zaman tetapi kami menyedari antaramuka ini mesra kanak-kanak yang mengaitkan objek tertentu dengan fungsinya di dunia sebenar. X5 Pro tidak mempunyai mod kanak-kanak (seperti Kid’s Mode pada peranti HTC)  tetapi kami merasakan Scene boleh mengambil alih fungsi ini.

Vivo-X5-Pro-UI-5

Fungsi Imbasan Retina?

Kami ada melihat video pelancaran peranti ini di China bulan lalu. Fungsi paling unik yang dipertontonkan ialah imbasan retina menggunakan kamera hadapan. Aneh sekali pada peranti ulasan yang kami terima fungsi ini tidak disertakan. Puas kami cari tetapan untuk mengaktifkannya tetapi tidak ditemui. Jadi buat masa ini setahu kami fungsi imbasan retina untuk X5 Pro tidak disokong peranti yang dijual di Malaysia.

Telefoni

Vivo X5 ProM2380016Peranti menyokong dwi SIM dengan dua slot untuk kad SIM bersaiz Mikro. Pada waktu yang sama anda boleh juga menggunakan SIM Nano dengan meletakkannya pada slot kad MikroSD. Talam SIM untuk peranti ini adalah yang terbesar pernah kami lihat.

Kualiti panggilan telefon X5 Pro adalah sangat baik. Ia menyokong mod panggilan HD Voice yang disokong beberapa syarikat telekomunikasi tempatan. Tahap kekuatan suara juga bagus. Pembesar suara stereo pada bahagian bawah juga cukup kuat dan jelas apabila digunakan untuk melakukan panggilan suara.


Kamera

Seperti antaramuka peranti iOS antaramuka aplikasi kamera X5 Pro adalah minimalis. Tiada pilihan untuk mengubah saiz gambar diambil. Tiada juga pilihan untuk mengawal proses pengambilan gambar secara manual. Terdapat sembilan pratetapan disediakan untuk situasi berbeza seperti waktu malam dan mengambil gambar dokumen. Apa yang boleh diubah hanyalah nisbah gambar (4:3 atau 16:9), resolusi video (1080P, 720P atau 480P) dan mod khas video (normal, pantas dan laju).

Beberapa bulan yang lalu ada ura-ura kamera hadapan sebesar 8 Megapixel ini mampu mengambil selfie pada resolusi 32 Megapixel. Pada peranti ulasan yang kami terima kami tidak menemui fungsi ini. Yang ada hanya fungsi Beautify (mencantikkan wajah) dan kesan khas menggunakan filter.

Vivo-X5-Pro-UI-Camera

Berikut adalah beberapa contoh gambar yang sempat kami ambil sepanjang tempoh ulasan. Dalam keadaan terang gambar yang diambil tidak berapa taja, mempunyai masalah dedahan berlebihan, penghasilan semula warna yang agak kusam dan kekuningan.

Di dalam kawasan tertutup masalah yang sama berlaku. Sekiranya wujud sumber cahaya fenomena blooming dapat dilihat dengan jelas. Apabila di dalam situasi pencahayaan kurang baik, kualiti gambar semakin menurun dengan masalah noise yang ketara. Tidak kira apa jua situasi gambar diambil, kualiti imej yang dihasilkan adalah kurang memuaskan. Penghasilan warna yang kusam, terlalu lembut dan agak gelap adalah konsisten.

Vivo X5 Pro IMG_20150628_141742Vivo X5 Pro IMG_20150623_212644

Vivo X5 Pro IMG_20150623_205417  Vivo X5 Pro IMG_20150628_134818 Vivo X5 Pro IMG_20150628_134828  Vivo X5 Pro IMG_20150628_141810


 

Penanda Aras

Dengan pemproses Snapdragon 615 (1.5 x 4 + 1.1 x 4 GHz) , X5 Pro jatuh ke dalam kategori peranti kelas pertengahan. SOC ini semakin banyak digunakan oleh pengeluar yang mahukan pemproses lapan teras 64 Bit sejak kebelakangan ini. Apabila ujian penanda aras dilakukan markah yang dicatatkan adalah sederhana. Pada Quadrant X5 Pro mencatatkan 11601 markah, pada Antutu ia mencatatkan 33605 markah dan pada 3D Mark ia mencatatkan 7807 markah. Ini bukanlah markah penanda aras yang boleh dibanggakan sekarang. Markah yang dicatatkan rendah sedikit berbanding Oppo R1X yang kami ulas sebelum ini. Perbezaan Oppo R1X dan X5 Pro ialah R1X mempunyai pemproses Snapdragon 615 (1.7 x 4 + 1.0 x 4 GHz) yang sedikit lebih laju

Dalam penggunaan seharian peranti berfungsi tetapi dengan masalah sela masa. Apabila ingin melancarkan sesebuah aplikasi terdapat sela masa hampir satu saat sebelum aplikasi dilancarkan. Pada hemat kami penggunaan antaramuka Funtouhc OS yang mengubah elemen Android asal menjadi seperti iOS menjadikannya terlalu “berat” untuk berfungsi dengan lancar. Ianya sebuah peranti yang memadai untuk mereka yang mahukan sebuah telefon, pelayar web dan kamera. Tetapi mungkin memerlukan sedikit kesabaran kerana wujudnya sela masa apabila digunakan.Sebuah peranti kelas pertengahan dengan pemproses lapan teras yang mempunyai masalah sela masa pada hemat kami sukar untuk dimaafkan pada tahun 2015.

Vivo-X5-Pro-Benchies-2

Vivo-X5-Pro-Benchies-1


 

Bateri

Bateri sebesar 2450 mAh digunakan dan ini bukanlah saiz bateri yang besar. Keperluan peranti untuk mempunyai rekaan yang nipis menghadkan saiz bateri. Pada penggunaan berat peranti mampu bertahan selama 8.5 jam dengan skrin terpasang selama 4 jam 44 minit. Pada penggunaan sederhana pula ia mampu bertahan sehingga sekitar 12 jam. Tiada fungsi pengecasan pantas disertakan. Hayat peranti ini adalah sederhana sahaja.


Pesaing

Pesaing paling hampir kepada Vivo X5 Pro ialah Oppop R7 dan Xiaomi Mi4i. Ketiga-tiganya mempunyai saiz skrin dan kemampuan kamera yang setanding. Sungguhpun begitu harga jualan jelas terlihat perbezaan yang ketara. Harus dinyatakan di sini Xiaomi Mi4i diperbuat daripada plastik dan bukannya aluminium serta kaca Gorilla seperti X5 Pro.

Telefon Pintar Snapdragon 615
Vivo X5 Pro Oppo R7 Xiaomi Mi4i
5.2″ SAMOLED FHD (424 PPI) 5″ AMOLED FHD (445 PPI) 5″ IPS LCD FHD (441 PPI)
1.5 x 4 + 1.1 x 4 GHz Snapdragon 615 1.5 x 4 + 1.0 x 4 GHz Snapdragon 615 1.7 x 4 + 1.1 x 4 GHz Snapdragon 615
Adreno 405 Adreno 405 Adreno 405
2 Gigabyte 3 Gigabyte 2 Gigabyte
16 Gigabyte (128 GB MikroSD) 16 Gigabyte (128 GB MikroSD) 16 Gigabyte
Kamera Utama 13 Megapixel Kamera Utama 13 Megapixel Kamera Utama 13 Megapixel
Kamera Utama 8 Megapixel Kamera Utama 8 Megapixel Kamera Utama 5 Megapixel
2450 mAh (Tidak boleh dibuka) 2320 mAh (Tidak boleh dibuka)
3120 mAh (Tidak boleh dibuka)
RM 1599 RM 1455* RM 750

Kesimpulan

Biasanya apabila kita berbincang tentang peranti yang cuba meniru sebuah iPhone pelbagai perkara negatif yang boleh diperkatakan. Di dalam kes Vivo X5 Pro kami agak terkejut dengan kualiti binaannya yang sangat baik, kemas dan agak premium. Malah kami rasakan kualiti binaannya lebih baik dari beberapa peranti kelas utama yang dijual pada harga lebih mahal. Ia juga adalah antara peranti paling selesa untuk digenggam yang pernah kami terima di makmal peranti Amanz. Gabungan bucu yang bulat serta kaca 2.5D yang digunakan memberikan tahap keselesaan yang tinggi.

Funtouch OS adalah antaramuka Android yang unik kerana ia lebih kelihatan seperti iOS. Pengguna perlu mempelajari semula cara menggunakan peranti kerana aturan antaramuka yang berbeza dari Android biasa. X5 Pro adalah sebuah peranti Android Lollipop tetapi kesemua elemen Lollipop dibuang. Dari sudut positif ini memberikan pengalaman penggunaan yang unik berbanding peranti Android lain di pasaran. Fungsi tambahan seperti melancarkan aplikasi secara pantas dari skrin terkunci dan pilihan kustomasi antaramuka adalah dialu-alukan.

Vivo X5 ProM2380011

Kemampuan kamera adalah sederhana. Gambar agak malap dengan masalah white balance. Warna terlalu kekuningan di dalam kesemua gambar tidak mengira situasi. Kemampuan di dalam keadaan pencahayaan rendah juga hanya sederhana dengan masalah noise yang ketara. Majoriti peranti buatan pengeluar China dengan kamera sebesar 13 Megapixel yang kami ulasan setakat ini mempunyai masalah yang sama. Ketiadaan kawalan manual dan pilihan tetapan yang lebih mendalam adalah dua lagi kekurangan yang ketara.

Kemampuan bateri adalah sederhana juga dengan hayat bateri sekitar 8.5 jam pada penggunaan berat, skrin terpasang hampir lima jam. Pada penggunaan sederhana kami mampu menggunakan X5 Pro sehingga 12 jam. Apabila peranti direka untuk mengetengahkan rekaan nipis hayat penggunaan bateri pastinya akan terjejas.  Ketiadaan pengecasan pantas adalah mengecewakan.

Dengan harga RM1599 sebuah Vivo X5 Pro adalah sebuah peranti kelas pertengahan yang agak mahal. Jika hanya rekaan dan kualiti binaan diambil kira memang X5 Pro peranti yang berbaloi untuk dimiliki. Tetapi penggunaan antaramuka yang aneh kurang mesra pengguna, kemampuan bateri serta kamera yang sederhana menjadikannya kurang menarik untuk dimiliki. Seperti Oppo R1X, kecantikan luaran Vivo X5 Pro tidak dapat menutup kekurangan dari segi kemampuan dan harga jualan yang agak tinggi.

PRO dan Kelebihan
  • Kemasan dan kualiti binaan yang premium. Bahagian sisi dan skrin 2.5D melengkung membuatkannya sangat selesa dipegang.
  • Pelbagai fungsi tambahan bagi memudahkan penggunaan setiap hari. Antaranya ialah melancarkan aplikasi terus dari skrin dengan melakar bentuk tertentu.
  • Paparan SAMOLED yang sangat tajam dan cantik.
  • Cangkerang lutsinar disertakan sekali. Tidak perlu membeli cangkerang pihak ketiga.
KONTRA dan Kekurangan
  • Antaramuka seakan iOS akan menimbulkan kekeliruan kepada pengguna Android. Sebagai contoh skrin multitasking dilancarkan dengan melakukan tatalan bawah ke atas skrin. Tiada butang khas.
  • Hayat bateri yang sederhana.
  • Butang navigasi kapasitifi pada dagu peranti tidak berlampu.
  • Kemampuan kamera juga sederhana.

Skor-Vivio-X5-Pro

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd