Cari @ Amanz

Vivo X5 Pro bukanlah satu-satunya peranti Android yang mempunyai rekaan seakan iPhone yang diulas di Amanz. ZTE Blade S6 ialah sebuah lagi peranti yang meminjam estetik peranti Apple yang kini di makmal peranti Amanz. Tidak seperti X5 Pro, Blade S6 tidak mempunyai panel belakang yang diperbuat daripada kaca. Keseluruhan tubuh peranti diperbuat daripada plastik dengan kemasan seakan logam. Di antara Blade S6 dan Vivo X5 Pro, yang manakah lebih berbaloi untuk dimiliki? Ulasan ini cuba menjawab persoalan anda.

Spesifikasi

ZTE Blade S6
Skrin 5.0″ IPS LCD (720P) 294 PPI
Pemproses Snapdragon 615 (1.5 x 4 + 1.0 x 4 GHz)
RAM 2 Gigabyte
Muatan Dalaman 16 Gigabyte (MikroSD sehingga 64 GB)
Kamera Utama 13 Megapixel f/2.0(1080P)
Kamera Depan 5 Megapixel f/2.2(1080P)
Bateri 2400 mAh (Tidak boleh ditanggalkan)
SIM/Telefoni Nano + Mikro SIM / 4G
NFC Tiada
Infra Merah Tiada
Harga Jualan RM 939

Hari raya yang lalu saya menggunakan ZTE Blade S6 sebagai peranti kecemasan sekiranya peranti utama yang saya gunakan kehabisan bateri. Ramai sanak saudara tertipu dengan rekaan peranti ini dan mengingatkan ia sebuah Apple iPhone 6. Sekilas pandang memang rekaan peranti dengan skrin 5.0″ IPS LCD ini memang kelihatan seperti sebuah iPhone 6. Perbezaan paling ketara ialah ketiadaan butang home fizikal pada bahagian hadapan dan kamera yang tidak terbonjol.

Ia adalah sebuah peranti kelas pertengahan dan menggunakan pemproses Snapdragon 615 yang kian popular sekarang. Ia mempunyai lapan teras dengan empat teras pada kelajuan 1.5 GHz dan empat lagi pada 1.0 GHz. RAM hanya sebesar 2 Gigabyte dengan muatan dalaman 16 Gigabyte (MikroSD sehingga 64 Gigabyte). Bercakap tentang sokongan kad MikroSD, terdapat slot khas untuk kad memoeri tambahan. Ia tidak berkongsi satu talam dengan slot SIM kedua. Oleh itu satu SIM Mikro dan satu SIM nano boleh digunakan serentak dengan sebuah kad MikroSD.Kamera utama adalah sebesar 13 Megapixel manakala kamera hadapan 5 Megapixel. Saiz bateri yang digunakan pula ialah 2400 mAh.

Rekaan

Pada bahagian hadapan terdapat tiga butang kapasitif pada dagu peranti. ZTE Blade 6 masih menggunakan konfigurasi butang jenis lama iaiatu home, back dan menu. Sudah semakin jarang saya melihat peranti dengan butang menu sejak kebelakangan ini. Ia sepatutnya sudah pupus kerana butang menu tidak sepenting butang multi tasking. Untuk mengakses skrin multi tasking butang menu perlu ditekan untuk beberapa saat. Ini adalah tidak mesra pengguna dan melambatkan proses penggunaan peranti. Butang home mempunyai lampu berwarna biru yang berkelip apabila terdapat notifikasi baru. Ketiga-tiga butang mempunyai sistem lampu bagi memudahkan penggunaan pada waktu malam. Lokasi butang back dan menu boleh diubah melalui skrin tetapan sekiranya perlu.

ZTE Blade S6 Pics M2450009 ZTE Blade S6 Pics M2450013ZTE Blade S6 Pics M2450007

Pada bahagian belakang terdapat pembesar suara mono. Ianya agak kecil. Pada bahagian atas terdapat jack fon kepala. Pada bahagia bawah hanya terdapat port pengecasan MikroUSB. Akhir sekali butang kuasa dan suara terletak pada bahagian kanan. Rekaan butang suara adalah dari jenis rocker yang panjang bagi mudah membezakannya dari butang kuasa yang lebih kecil.

Skrin 5″ yang digunakan kini boleh dianggap kecil tetapi masih selesa dipegang dan mudah digunakan. Kesemua kawasan skrin mudah disentuh menggunakan hanya sebelah tangan. Sisi yang bulat tidak mencengkam tangan apabila digenggam. Keseluruhan tubuh peranti diperbuat daripada plastik tetapi terasa seperti bahan logam dan ianya kelihatan cantik. Catan pada bahagian belakang adalah sedikit kasar jadi anda tidak perlu risau peranti ini mudah tergelincir dari genggaman. Saya menggunakan Sony Xperia Z3 sebagai peranti kegunaan harian. Dari segi keselesaan memang ZTE Blade S6 setanding dengan peranti utama buatan Sony. Malahan boleh saya katakan dari segi keselesaan, Blade S6 lebih selesa berbanding Xperia Z3+ yang juga baru saya cuba baru-baru ini. Harga peranti tidak semestinya berkadar terus dengan keselesaan menggunakannya.

 


Antaramuka Mifavor

Zte-Blade-S6-Plus-UI-1aSistem operasi Android 5.0.2 digunakan dengan antaramuka Mifavor OS. Ia bukanlah antaramuka yang tercantik dan mempunyai nilai estetika yang tinggi yang pernah saya gunakan. Anda boleh lihat dari contoh paparan skrin yang saya sertakan di dalam artikel ini. Penggunaan warna pada Mifavor adalah agak berkecamuk dan sedikit menyakitkan mata. Ikon yang digunakan juga kerap kali sukar untuk dibezakan dari satu-sama lain kerana penggunaan warna yang sama. Dari pandangan seorang graduan grafik, pemilihan warna dan rekaan Mifavor adalah kurang baik.

Tetapi bagaimana pula dengan fungsi? Mifavor tidak menggunakan talam aplikasi. Kesemua aplikasi terpampang secara terus pada skrin utama. Satu perkara positif yang boleh saya katakan tentang Mifavor ialah ketiadaan aplikasi gendut. Hanya terdapat 6 aplikasi terpasang diberikan oleh ZTE. Sepanjang penggunaan peranti selama sebulan peranti berfungsi dengan lancar. Tiada masalah aplikasi tidak berfungsi dengan baik ataupun tertutup dengan sendiri. Secara keseluruhan ia adalah peranti yang baik tanpa sebarang masalah sela masa yang kronik. Masih ada sedikit masalah sela masa tetapi ia tidak berlaku dengan kerap. Ini berbeza dengan Vivo X5 Pro yang saya ulas sebelum ini. Ia menggunakan pemproses Snapdragon 615 yang sama tetapi X5 Pro mempunyai masalah sela masa yang agak ketara.

Zte-Blade-S6-Plus-UI-2Zte-Blade-S6-Plus-UI-3Zte-Blade-S6-Plus-UI-4

 

Kustomasi Dan Fungsi Tambahan

Aneh sekali tidak seperti kebanyakan peranti buatan China, tiada fungsi kustomasi tema diberikan oleh pihak ZTE. Kustomasi juga terhad kepada pilihan memuat turun latar belakang peranti dan animasi transisi apabila tatalan dilakukan. Ini adalah pilihan kustomasi yang sangat terhad. Dari segi fungsi tambahan pula terdapat sokongan membaca pergerakan untuk melancarkan aplikasi. Sebagai contoh aplikasi lampu suluh boleh diaktifkan terus dari skrin terkunci dengan menggoncang peranti sebanyak dua kali. Pada skrin kekunci yang sama kamera juga boleh dilancarkan dengan menekan butang suara dan menegakkan peranti dengan pantas. Tidak kesemua fungsi mengesan pergerakan ini berfungsi dengan sempurna. Saya memerlukan beberapa percubaan sebelum peranti mengesan pergerakan yang dilakukan.

ZTE-Blade-S6-UI-kustomasi

Sky Eye – Sistem Imbasan Retina

ZTE-Blade-S6-Sky-EyeFungsi unik Blade S6 ialah sistem pengimbas retina yang diberi nama Sky Eye. Untuk menyahkunci peranti mata anda akan diimbas. Ia memerlukan pengguna mengelip mata selepas ianya diimbas bagi mengelakkan penipuan menggunakan gambar. Proses merekod iris mata adalah mudah. Hanya tumpukan perhatian kepada satu titik yang terpapar pada skrin dan ikuti pergerakannya. Hanya sepasang masa boleh disimpan pada satu-satu masa. Ini berbeza dengan pengimbas cap jari yang boleh menyimpan sehingga lima cap jari serentak.

Proses merekodkan iris mata adalah mudah tetapi proses nyahkunci menggunakan Sky Eye pula tidak. Dari skrin terkunci anda perlu mentatal simbol mata yang dipaparkan ke bawah. Ini akan membawa anda kepada skrin imbasan mata Sky Eye. Kerap kali ia gagal mengimbas mata dengan baik. Sekiranya anda menggunakan cermin mata, ia perlu ditanggalkan sebelum Sky Eye boleh digunakan.Proses pengesahan imbasan masa juga agak perlahan. Adalah lebih pantas menekan pin kekunci dari menggunakan Sky Eye.

Buat masa ini sistem Sky Eye masih belum sempurna,pantas dan mesra. Dari segi kepantasan, sistem pengimbas cap jari seperti yang ada pada iPhone 6, Galaxy S6 dan HTC One M9+ jauh lebih baik. Nyankunci dengan imbasan cap jari boleh dilakukan kurang dari satu saat. Imbasan mata Sky Eye mengambil masa hampir tiga saat dan ini adalah terlalu lama jika dibandingkan dengan sistem lain. Jadi mungkin sebab inilah sistem imbasan cap jari lebih digunakan dengan meluas berbanding imbasan mata.

Telefoni

ZTE-Blade-S6-Pics-M2450022Peranti menyokong dwi SIM dengan satu slot untuk SIM Nano dan satu slot untuk SIM Mikro. Talam SIM Nano berkongsi dengan kad MikroSD. Sistem Dual SIM Dual Standy digunakan dimana kedua-dua SIM boleh diaktifkan serentak.

Kualiti panggilan telefon Blade S6 adalah sangat baik. Ia menyokong mod panggilan HD Voice yang disokong beberapa syarikat telekomunikasi tempatan. Tahap kekuatan suara juga bagus. Pembesar suara pada bahagian belakang juga amat kuat apabila mod panggilan pembesar suara digunakan.


Kamera

Kamera utama sebesar 13 Megapixel manakala kamera hadapan pula adalah sebesar 5 Megapixel. Pada kedua-dua tetapan resolusi maksimum, gambar diambil pada nisbah 4:3. Untuk mengambil gambar pada resolusi 16:9 tetapan kamera utama diturunkan kepada 9 Megapixel dan pada kamera hadapan kepada 4 Megapixel. Terdapat mod Simple dan Pro yang boleh ditukar dengan menekan butang berbentuk bulat pada sisi kiri paparan skrin. Turut disertakan ialah beberapa pratetapan seperti Panaorama, HDR dan Beautify untuk memudahkan proses mengambil gambar.

Kemampuan video kedua-dua kamera adalah 1080P 30 FPS. Fungsi tambahan di dalam mod kamera yang disertakan terhad kepada fungsi Time Lapse dan High Frequency Rate (HFR). HFR merakam video pada kadar 48 frame sesaat seperti The Hobbit versi IMAX. Pada tetapan HFR resolusi rakaman diturunkan kepada 720P sahaja.

ZTE-blade-S6-Plus-Came-UI

Berikut adalah beberapa contoh gambar yang diambil sepanjang tempoh ulasan. Kualiti gambar agak baik cuma penghasilan semula warna yang sedikit kusam. Tiada masalah dedahan berlebihan dikesan dan dalam keadaan yang agak gelap masalah noise tidak berapa ketara. Secara keseluruhan kualiti gambar adalah bagus untuk sebuah peranti kelas pertengahan.

Zte Blade S6 Plus IMG_20150614_175744Zte Blade S6 Plus IMG_20150713_113023 Zte Blade S6 Plus IMG_20150708_175916 Zte Blade S6 Plus IMG_20150710_211154 Zte Blade S6 Plus IMG_20150713_110102


 

Penanda Aras

Dengan pemproses Snapdragon 615 (1.5 x 4 + 1.1 x 4 GHz) , S6 Blade jatuh ke dalam kategori peranti kelas pertengahan. Pemproses ini semakin banyak digunakan oleh pengeluar yang mahukan pemproses lapan teras 64 Bit sejak kebelakangan ini. Apabila ujian penanda aras dilakukan markah yang dicatatkan adalah sederhana. Pada Quadrant S6 Blade mencatatkan 2901 markah, pada Antutu ia mencatatkan 31040 markah dan pada 3D Mark ia mencatatkan 8359 markah. Markah ujian Quadrant adalah sangat aneh kerana terlalu rendah. Sebelum ini beberapa peranti Snapdragon 615 yang diuji mencatatkan markah sekitar 12000 pada penanda aras Quadrant. Ini adalah anomali yang juga berlaku pada peranti lain dan bukan masalah pada peranti yang diterima Amanz. Beberapa ulasan lain yang ditemui turut menunjukkan catatan markah yang rendah apabila Quadrant digunakan. Mengapa ia berlaku? Saya tidak tahu kerana ia pertama saya lihat.

Sungguhpun markah yang dicatatkan adalah rendah berbanding Oppo R1X dan Vivo X5 Pro, pada penggunaan dunia sebenar S6 Blade adalah jauh lebih lancar. Masalah sela masa tidak berlaku dengan kerap. Tatalan pantas dan lancar. Aplikasi juga tidak pernah tertutup secara tiba-tiba. Di atas kertas kelihatan seperti S6 Blade adalah peranti yang lemah berbanding pesaing tetapi sebaliknya berlaku. Ia juga tidak menjadi terlalu panas untuk kerana tubuh plastik bukan pengalir haba yang baik.

ZTE-Blade-S6-Plus-Benchies-1ZTE-blade-S6-Plus-Benchies-1


 

Bateri

Bateri 2400 mAh digunakan dan ia mampu bertahan sehingga 8 jam penggunaan berat. Skrin terpasang melebihi empat jam. Pada penggunaan sederhana pula ia bertahan selama 13 jam. Hayat bateri ini pada hemat saya adalah sederhana. Tiada sokongan pengecasan pantas dan bateri memerlukan hampir dua jam untuk dicas sepenuhnya.


Pesaing

Pesaing paling hampir kepada ZTE Blade S6 pada hemat saya ialah Oppo R1X dan Xiaomi Mi4i kerana banyak persamaan dari segi spesifikasi. Sungguhpun begitu Xiaomi Mi4i mempunyai kelebihan kerana skrin bersolusi lebih tinggi dan bateri yang lebih besar. Anda boleh melihat sendiri perbandingan dari segi harga yang sangat besar berlaku sungguhpun spesifikasi tidak banyak bezanya.

Telefon Pintar Snapdragon 615
ZTE Blade S6 Oppo R1X Xiaomi Mi4i
5.0″ IPS LCD 720p (294 PPI) 5.0″ IPS LCD 720p (294 PPI) 5″ IPS LCD FHD (441 PPI)
1.5 x 4 + 1.1 x 4 GHz Snapdragon 615 1.5 x 4 + 1.0 x 4 GHz Snapdragon 615 1.7 x 4 + 1.1 x 4 GHz Snapdragon 615
Adreno 405 Adreno 405 Adreno 405
2 Gigabyte 2 Gigabyte 2 Gigabyte
16 Gigabyte (64 GB MikroSD) 16 Gigabyte (128 GB MikroSD) 16 Gigabyte
Kamera Utama 13 Megapixel f/2.0 Kamera Utama 13 Megapixel f/2.0 Kamera Utama 13 Megapixel f/2/0
Kamera Utama 8 Megapixel f/2.2 Kamera Utama 8 Megapixel f/2.2 Kamera Utama 5 Megapixel f/2.0
2450 mAh (Tidak boleh ditanggalkan) 2420 mAh (Tidak boleh ditanggalkan
3120 mAh (Tidak boleh ditanggalkan)
RM 939 RM 1398 RM 749

Kesimpulan

ZTE Blade S6 adalah peranti yang kelihatan seperti sebuah iPhone 6 yang dijual pada harga lebih mampu milik dan menggunakan sistem operasi Android. Sungguhpun ianya sebuah peranti “murah” dan diperbuat daripada plastik, kemasan seakan logam yang digunakan berjaya menipu kami. Sungguhpun tubuh peranti keseluruhannya diperbuat daripada plastik ia terasa seperti logam ketika dipegang. Peranti amat selesa dipegang kerana mempunyai bucu sisi yang bulat. Saiz skrin 5″ juga membuatkan setiap bahagian skrin senang disentuh untuk penggunaan sebelah tangan. Dari segi keselesaan memegang, ia setanding dengan Xperia Z3 yan dijual pada harga melebihi dua kali ganda. Sekali lagi peranti ini diperbuat daripada bahan plastik tetapi kelihatan seperti logam dan terasa setanding dengan peranti utama Sony yang kami gunakan sekarang.

Blade S6 menggunakan Android 5.0 dengan antaramuka MiFavor. Antaramuka MiFavor mempunyai rekaan ikon yang tidak cukup menyerlah membuatkan sukar mencari ikon aplikasi yang ingin digunakan. Tiada talam aplikasi disertakan dan kesemua aplikasi yang dimuat turun akan diletakkan pada skrin utama. Kemampuan melakukan kustomasi juga tidak disertakan. Ini adalah berbeza berbanding pengeluar peranti dari China yang lain seperti Xiaomi dan Huawei. Fungsi menarik yang disertakan ialah kebolehan menukar konfigurasi butang kawalan kapasitif. Anda boleh memilih untuk meletakkan butang back pada bahagian kanan ataupun kiri butang home. Kekurangan ialah ia masih menggunakan butang menu dan bukan butang khas multi tasking. Ini menjadikan proses menukar aplikasi sedikit lambat.

Kemampuan kamera adalah sederhana sahaja. Penghasilan semula warna pada gambar adalah sedikit kusam dan kurang tajam. Prestasi mengambil gambar dalam keadaan pencahayaan rendah agak baik dengan masalah noise yang tidak berapa ketara. Kemampuan memproses juga sederhana jika dibandingkan dengan peranti lain yang menggunakan pemproses Snapdragon 615. Tetapi dalam penggunaan seharian ia berfungsi dengan lancar dan baik. Masalah sela masa tidak berapa ketara. Kesemua aplikasi dapat dijalankan dengan lancar dan pantas.

Makmal peranti Amanz sudah menguji beberapa peranti dengan Snapdragon 615 tahun ini dan majoritinya mengecewakan. ZTE Blade S6 adalah peranti pertama yang menggunakan pemproses ini yang tidak mengecewakan. Ia dapat digunakan dengan lancar dan pantas. Rekaan juga baik bagi sebuah peranti yang dijual pada harga RM 939 sebuah. Sekiranya anda mahukan peranti kelas pertengahan yang mempunyai rekaan yang baik ZTE Blade S6 adalah peranti yang boleh dimasukkan ke dalam senarai pendek anda.

PRO dan Kelebihan
  • Rekaan dan kemasan yang baik bagi sebuah peranti yang dijual pada harga tidak sampai RM 1000.
  • Kedua-dua slot SIM boleh digunakan serentak dengan slot MikroSD. Kebanyakan peranti kini menggunakan slot SIM kedua sebagai slot MikroSD.
  • Selesa dipegang. kerana bucu yang bulat.Tidak mempunyai masalah kepanasan.
  • Kemampuan kamera yang agak baik.
  • Berfungsi dengan lancar dan pantas bagi sebuah peranti kelas pertengahan.
KONTRA dan Kekurangan
  • Antaramuka kurang menarik.
  • Sistem pengimbas mata Sky Eye yang tidak berfungsi dengan sempurna.
  • Tiada NFC.

Skor-Amanz-ZTE-Blade-S6

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd