Cari @ Amanz

Tab S2 Photos20150901_160209Pernah suatu ketika penjualan tablet adalah sangat tinggi dan menjadi peranti harus dimiliki. Ini adalah kerana berbanding telefon pintar yang pada ketika itu mempunyai skrin sebesar 4″, tablet memberikan paparan lebih besar dan memudahkan anda meluncuri laman web. Sejak kebelakangan ini jualan tablet semakin merudum. Tidak seperti telefon pintar yang ditukar secara dwi-tahunan, tablet boleh bertahan dengan lebih lama sebelum perlu diganti. Kami sendiri mempunyai beberapa iPad yang sudah berusia hampir setengah dekad. Jualan semakin terjejas dengan kemunculan phablet yang memberikan imbangan terbaik skrin yang cukup baik untuk melayari web dan masih mudah disimpan di dalam poket.

Samsung Galaxy Tab S2 ialah kesinambungan kepada Tab S yang muncul tahun lalu. Dari segi rekaan ianya sangat menghampiri sebuah iPad Mini. Adakah ia mampu bersaing dengan iPad MinI? Berbaloikah untuk dimiliki? Baca ulasan kami untuk mengetahui jawapannya.

Spesifikasi

Samsung Galaxy Tab S2 8.0
Skrin 8.0″ AMOLED QXGA (320 ppi)
Pemproses Exynos 5433 Octacore (1.9 + 1.3 GHz)
RAM 3 Gigabyte
Muatan Dalaman 16/32 Gigabyte (MikroSD sehingga 128 GB)
Kamera Utama 8 Megapixel f/1.9 (1440P) Tanpa Flash
Kamera Depan 2.1 Megapixel (1080P)
Bateri 4000 mAh (Tidak boleh tanggal)
Pengecasan Pantas Tiada
SIM/Telefoni Nano SIM/4G
NFC Tiiada
Infra Merah Tiada
Harga Jualan RM 1699

Tab S2 dilancarkan Julai yang lalu tetapi spesifikasinya masih lagi dari tahun 2014. Jika komponen dalaman dianalisa, ia sebenarnya sebuah Galaxy Note 4 yang diberikan suntikan hormon membesar.

Ia menggunakan pemproses Exynos 5433 (1.9 x 4+ 1.3 x4 GHz) dan RAM 3 Gigabyte yang sama seperti Note 4. Pilihan muatan dalaman pula ialah 32 Gigabyte sahaja dengan sokongan kad MIkroSD sehingga 128 Gigabyte. Ini bukanlah bermakna ia sebuah peranti yang tidak berkemampuan. Carta penanda aras peranti terbaik di Amanz masih lagi meletakkan Note 4 sebagai peranti 5 terbaik setakat ini. Penggunaan semula spesifikasi Note 4 di sini bukan masalah besar.

Skrin sebesar 8″ SAMOLED Tab S2 ini menggunakan resolusi QXGA (1536 x 2048 pixel) ataupun lebih dikenali sebagai resolusi Retina di kalangan pengguna peranti Apple. Dari segi skrin rasanya kami tidak perlu mengulas tentang kualiti skrin berteknologi SAMOLED kerana sudah dikenali kemampuannya. Ia menghasilkan warna yang hidup, menyerlah, tajam dan pada waktu yang sama tahap warna hitam yang baik.

Kemampuan optik pula ialah kamera utama sebesar 8 Megapixel (tanpa flash )dengan lensa f/1.9 yang berupaya mengambil video pada resolusi 1440P. Kamera hadapan pula sebesar 2.1 Megapixel. Menarik bagi kami ialah penggunaan lensa f/1.9 yang diperkenalkan pada Samsung Galaxy S6 dan turut digunakan pada Galaxy A8. Walaupun Tab S2 adalah sebuah tablet, Samsung tidak melengkapkannya dengan kemampuan kamera yang lemah. Bateri pula sebesar 4000 mAh tetapi tiada pula sokongan pengecasan pantas Adaptive Charging. Kenapa tidak disokong tidak kami ketahui sedangkan pada Note 4 yang mempunyai spesifikasi yang sama menyokongnya.

Rekaan

Sejak Galaxy Tab A yang muncul awal tahun ini, rekaan tablet Samsung semakin menyerupai sebuah iPad. Maksud kami dari segi nisbah panjang kepada tinggi ia kini 4:3 dan bukanya 16:0 seperti Tab S contohnya. Dari dahulu lagi kami merasakan tablet 16:9 adalah kurang mesra pengguna berbanding 4:3 kerana kesukaran menggunakannya pada posisi potret. Kami secara peribadi menggunakan tablet sama seperti kami menggunakan telefon pintar kami dan 90% situasi ianya digunakan secara potret.

Dengan rekaan skrin 4:3 ini Tab S2 adalah jauh lebih mesra pengguna berbanding model tahun lalu. Peranti mudah digunakan pada posisi mendatar ataupun potret.

Samsung masih mengekalkan penggunaan butang home fizikal pada dagu peranti. Butang ini dihimpit butang back pada sebelah kanan dan multi tasking pada sebelah kiri. Tidak seperti pada Tab A, kedua-dua butang ini berlampu bagi memudahkan penggunaan pada waktu malam. Pada butang home yang sama terdapat pengimbas cap jari. Cara ia berfungsi sama seperti pada Galaxy S6 dan juga Note 5, hanya perlu meletak jari tanpa perlu mentatal sebelum ia boleh membaca cap jari pengguna. Butang kuasa dan suara yang diperbuat daripada logam terletak pada sebelah kanan. Butang suara adalah dari jenis rocker yang memudahkannya dibezakan dari butang kuasa yang lebih kecil.

Tab S2TAB-S2-1 Tab S2TAB-S2--2 Tab S2TAB-S2--3

Pada sisi yang sama terdapat dua slot untuk kad SIM Mikro dan kad MikroSD. Kedua-dua slot ini adalah dari jenis talam yang memerlukan ia dicocok terlebih dahulu sebelum boleh dibuka. Ini berbeza dengan slot dengan pintu plastik pada Tab S sebelum ini. Seperkara lagi yang berbeza ialah kali ini tiada lagi pemancar infra merah disertakan. Pembesar suara stereo yang pada Tab S terletak pada bahagian atas dan bawah kini kedua-duanya terletak di bahagian bawah peranti seperti sebuah iPad Mini. Slot pengecasan Mikro USB dan jack fon kepala terletak di antara dua pembesar suara ini.

Bingkai tubuh peranti diperbuat daripada logam sepenuhnya tetapi panel penutup belakang diperbuat daripada plastik keras. Permukaan panel belakang ini rata dan tidak berbintil seperti Tab S. Ia mempunyai kemasan yang agak kesat dan ini memastikan ia tidak licin untuk dipegang.

Secara keseluruhan terdapat pelbagai pembaharuan dari segi estetik dan rekaan yang memperbaiki beberapa kelemahan Tab S. Pada waktu yang sama perubahan posisi pembesar suara, kehilangan pemancar infra dab merah dan flash kamera utama pada Tab S2 mungkin boleh dianggap sebagai kekurangan berbanding model tahun lalu.

Sepanjang penggunaan selama hampir sebulan kami rasakan ini mungkin tablet terbaik yang pernah dihasilkan oleh Samsung. Tiada lagi masalah skrin terlalu “tinggi” ketika menggunakannya pada posisi menegak. Memegangnya juga cukup selesa. Sekiranya anda kerap membaca ulasan tablet kami, kerap kali kami mengatakan tiada tablet lain yang berbaloi dimiliki kecuali iPad. Dengan Tab S2 kami rasakan akhirnya sebuah tablet Android berjaya dihasilkan dan ianya mampu bersaing dengan tablet rekaan Cupertino.

 


Antaramuka TouchWiz

Tab-S2-Screen-1Android 5.0.1 digunakan dengan antaramuka TouchWiz. Kami hanya mengira enam aplikasi terpasang seperti iFlix, GalaxyLife, Galaxy Apps, Smart Manager,Side Sync dan Microsoft Office. Majoriti aplikasi terpasang ini boleh dibuang sekiranya tidak diperlukan. Dari segi fungsi pula beberapa fungsi biasa TouhcWiz masih lagi dikekalkan seperti Smart Alert dan merakam skrin menggunakan pergerakan telapak tangan. Skrin Briefing pada skrin paling kiri kembali. Kepada yang kurang arif, Briefing ialah HTC Blinkfeed edisi Samsung yang memaparkan ringkasan berita dan status media sosial dari teman-teman anda. Ianya boleh dimatikan sekiranya tidak diperlukan.

Fungsi lain seperti Smart Stay dan S Voice tidak pula disertakan. Ini boleh dipandang secara negatif dan positif bergantung kepada pengguna. Kami tidak pernah menggunakan dua fungsi ini dan tidak berapa terasa kehilangannya.

Sokongan kustomasi tema juga tidak disertakan. Jadi buat masa ini sokongan fungsi Themes Samsung terhad kepada telefon pintar dan phablet keluaran mereka. Ini sedikit mengecewakan kerana kami gemar menggunakan tema Material Design pada Note 5 yang sedang kami uji sekarang. Ia memberikan rekaan antaramuka yang lebih kemas dan konsisten dengan Android Vanilla.

Tab-S2-Screen-2 Tab-S2-Screen-3

 Fungsi Tambahan

Tidak banyak fungsi tambahan disertakan kali ini dan sejak pengenalan TouchWiz baru menerusi Samsung Galaxy S6 kami menyedari Samsung lebih banyak membuang fungsi yang tidak diperlukan. Fungsi standard Multi Window dikekalkan dan mampu melancarkan dua aplikasi serentak secara sebelah menyebelah. Cara melancarkannya cukup mudah dengan menekan butang multi tasking selama satu saat. Skrin Multi Window akan terbuka dan menyuruh anda memilih dua aplikasi yang ingin dilancarkan serentak. Kedua-dua aplikasi yang dilancarkan berfungsi dengan lancar sepanjang tempoh ujian.

Sekiranya anda mahukan lebih dari dua aplikasi dilancarkan serentak, fungsi Multi Pop Up Window turut disertakan. Aplikasi akan terapung dalam bentuk tetingkap mini di atas skrin apabila mod ini diaktifkan. Untuk melancarkannya pengguna harus melakukan tatalan dari buku atas sebelah kanan menghala ke bahagian tengah skrin. Sekiranya tetingkap dikecilkan ia akan berubah menjadi ikon berbentuk bulat. Tekan sekali lagi untuk membesarkannya tetingkap mengikut keperluan.

Akhir sekali ialah fungsi imbasan cap jari. Sebanyak lima cap jari boleh disimpan di dalam sistem imbasan cap jari Tab S2. Pengimbas berfungsi dengan pantas dan jitu. Proses merakan juga mudah sama seperti yang kami temui pada Galaxy S6 sebelum ini.

Tab-S2-Screen-4

Telefoni

Tab S2TAB-S2--4Peranti  ini hanya mempunyai satu SIM Nano dengan sokongan 4G. Slot SIM adalah dari jenis talam yang perlu dicocok untuk mengeluarkannya.

Kualiti panggilan telefon menggunakan Tab S2 adalah baik. Ia menyokong mod panggilan HD Voice. Tahap kekuatan suara juga bagus. Pembesar suara pada bahagian belakang juga amat kuat apabila mod panggilan pembesar suara digunakan.Sokongan panggilan video terus dari aplikasi telefon turut disokong.

Sungguhpun begitu harus diakui menggunakan tablet ini sebagai telefon adalah kurang selesa kerana saiznya yang terlalu besar.


Kamera

Kamera utama sebesar 8 Megapixel f/1.9 manakala kamera hadapan pula adalah sebesar 2.1 Megapixel. Pada tetapan resolusi maksimum, gambar kamera hadapan diambil pada nisbah 4:3. Untuk mengambil gambar pada resolusi 16:9 tetapan kamera utama diturunkan kepada 6 Megapixel. Kamera hadapan pula terbalik. Pada resolusi maksimum ia mengambil gambar pada nisbah 16:9. Untuk mengambil gambar pada resolusi 4:3 resolusi kamera diturunkan kepada 1.6 Megapixel.

Seperti biasa pada aplikasi kamera Samsung pelbagai tetapan disertakan. Terdapat mod Auto,Pro, Virtual Shot, Panorama, HDR, Shot & More dan Dual Shot. Lebih banyak pra-tetapan boleh dimuat turun dari Samsung Apps sekiranya diperlukan. Penggunaan kamera adalah mudah dan butang suara boleh digunakan sebagai butang pengatup.

Kemampuan video kamera utama ialah QHD 30 FPS. Tiada pra-tetapan disertakan di dalam mod video. Hanya wujud fungsi penstabilan video yang tidak boleh diaktifkan ketika merakam video pada resolusi QHD. Kamera hadapan pula mengambil gambar pada resolusi 1080P.

Tab-S2-Camera-UI

Di bawah ialah contoh gambar yang diambil menggunakan kamera Tab S2 pada tetapan paling tinggi. Jika dbandingkan dengan kamera peranti pintar lain kualiti gambar adalah sederhana. Pada keadaan terang gambar yang diambil mempunyai penghasilan warna yang tepat dan imej yang tajam. Di dalam kawasan tertutup terdapat masalah dedahan berlebihan pada kawasan bercahaya terang. Dalam keadaan gelap kemampuan juga sederhana dengan imej yang tajam.

Jika dibandingkan dengan kualiti gambar beberapa tablet yang pernah diulas sebelum ini, Tab S2 mempunyai kemampuan mengambil gambar yang baik. Kekurangan yang boleh dinyatakan ialah ketiadaan fungsi flash.

Tab S2 Photos20150821_161218 Tab S2 Photos20150821_150015 Tab S2 Photos20150821_150019 Tab S2 Photos20150813_225609

Tab S2 Photos20150901_160535_Richtone(HDR)Tab S2 Photos20150901_164253


 

Penanda Aras

Pemproses lapan teras Exynos 5433 digabungkan dengan RAM sebesar 3 Gigabyte. Ini adalah tablet Android yang mempunyai spesifikasi terbaik pernah kami ulas di Makmal Amanz. Dari markah yang dicatatkan jelas sekali ia turut mencatatkan markah terbaik bagi peranti tablet. Markah 28416, 43706 dan 17308 dicatakan pada aplikasi Quadrant, Antutu dan Futuremark. Peningkatan jelas kelihatan berbanding Tab S tahun lalu.

Dari segi penggunaan seharian memang ia berfungsi dengan lancar dan pantas. Tiada sebarang masalah sela masa ataupun aplikasi gagal berfungsi. Penukaran aplikasi juga berlaku sekelip mata. Kami menyedari animasi transisi pertukaran aplikasi kini hampir tiada. Ini adalah bagus kerana animasi ini adalah antara sebab tablet-tablet Samsung yang kami ulas sebelum ini terasa perlahan. Masalah kepanasan juga tidak wujud ketika menggunakan aplikasi permainan. Kepanasan hanya disedari ketika peranti di cas. Secara keseluruhan Tab S2 ialah tablet yang bukan sahaja kelihatan baik di atas kertas tetapi turut berfungsi dengan memuaskan di dunia sebenar.

Benchies-Tab-S2 Tab-S2-Benchies-2

 

 


 

Bateri

Bateri 4000 mAh digunakan dan ini adalah bersesuaian dengan saiz peranti. Pada penggunaan berat ia mampu bertahan hampir melebihi lapan jam. Pada penggunaan sederhana pula ia mampu bertahan melebihi 26 jam. Gabungan pemproses berkuasa tinggi dan skrin besar beresolusi QXGA membuatkan ketahanan bateri sedikit terjejas.


Pesaing

Pesaing paling hampir kepada Samsung Galaxy Tab S2 8.9 ialah Apple iPad Mini 3 dan Xperia Z3 Compact Tablet . Mari lihat perbezaan dari segi spesifikasi dan harga di antara 3 tablet mini ini.

Tablet
Samsung Galaxy Tab S2 Apple iPad Mini 3 Xperia Z3 Compact Tablet
8″ SAMOLED QXGA (320 PPI) 7.9″ QXGA IPS LCD (324 PPI) 8″ WUXGA TFT LCD (324 PPI)
Exynos 5433 Octa (1.9 + 1.3 GHz) 1.3 GHz Dua Teras Apple A7 2.5 GHz Empat Teras Snapdragon 801
Mali T760 Apple M7 Adren 330
3 Gigabyte 1 Gigabyte 3 Gigabyte
32 Gigabyte (128 GB MikroSD) 16/64/128 Gigabyte 16 Gigabyte (128 GB MikroSD)
Kamera Utama 8 Megapixel f/1.9

Kamera hadapan 2 Megapixel

Kamera Utama 5 Megapixel f/2.4

Kamera Hadapan 1.2 Megapixel

Kamera Utama 8.1 Megapixel

Kamera Hadapan 2.2 Megapixel

4000 mAh 6471 mAh
4500 mAh
RM 1699 RM 1801 RM 1699

Kesimpulan

 

Sepanjang karier penulisan di Amanz kami sudah mengulas ataupun mencuba puluhan tablet yang ada di pasaran. Ada beberapa yang dihasilkan bagi merebut takhta “pembunuh iPad” dan tahun demi tahun kesemuanya gagal. Beberapa tablet keluarga Galaxy yang kami ulasan sebelum ini semuanya gagal menyaingi iPad kerana tidak berfungsi dengan lancar kerana penggunaan TouchWiz yang dipenuhi aplikasi gendut. Perubahan hanya mula kelihatan selepas Galaxy S6 muncul di pasaran dengan TouchWiz yang dioptimasikan dengan sempurna. Pada Galaxy Tab A yang kami ulas awal tahun ini kami ada mengatakan ia beroperasi dengan lancar walaupun digandingkan dengan pemproses kelas pertengahan.

Dengan Galaxy Tab S2 8.0 akhirnya kami boleh katakan Samsung berjaya menghasilkan peranti yang lebih baik berbanding sebuah iPad Mini 3. Kenapa kami berkata begini? Pertama sekali skrin yang jauh lebih baik dengan penghasilan warna lebih tepat dan menyerlah.Kedua ialah dari segi kepantasan dan kemudahan melakukan pertukaran aplikasi. Saiz RAM yang besar (3 GB vs 1 GB) memastikan aplikasi tidak perlu dilancarkan semula sebelum boleh disambung fungsinya. Seperti yang kami katakan pada perenggan di atas TouchWiz baru dengan pemproses pertengahan berfungsi dengan baik. Apabila dipadankan dengan pemproses berkuasa tinggi dan RAM yang besar kelancaran peranti semakin baik. Tiada sela masa disedari. Tiada masalah aplikasi gagal berfungsi.

Tab S220150830_160231

Rekaan peranti harus diakui “diilhamkan” oleh sebuah iPad mini. Dari segi bentuk peranti, saiz skrin dan lokasi pembesar suara tidak melampau untuk mengatakan Tab S2 banyak persamaan dengan tablet keluaran Apple. Perbezaan kali ini tidak seperti percubaan-percubaan sebelum ini akhirnya mereka berjaya. Jika ada kekurangan ialah dari segi aplikasi. Aplikasi untuk tablet pada Android masih di belakang apa yang ditawarkan oleh iOS. Tetapi pada waktu yang sama kemampuan melakukan Multi Window dan fungsi telefoni masih belum mampu dilakukan oleh sebuah iPad dengan iOS 8.

Apa yang boleh kami katakan ialah sepanjang tempoh ulasan, iPad yang kami miliki buat pertama kali direhatkan. Ia langsung tidak disentuh kerana Galaxy Tab S2 lebih pantas, lancar dan selesa digunakan. Kelebihan juga jelas kelihatan pada kemampuan kameranya.

Pada harga jualan RM1699 dan berkapasiti 32 Gigabyte, Galaxy Tab S2 memberikan nilai kepada wang yang dibelanjakan lebih baik daripada sebuah iPad Mini 3 16 Gigabyte 4G yang dijual pada harga RM 1801. Jadi buat pertama kalinya dalam sejarah kami boleh mengatakan akhirnya wujud alternatif lebih berkuasa kepada iPad yang dijual pada harga lebih mampu milik.

PRO dan Kelebihan
  • Rekaan dan kemasan yang baik. Kesemua komponen dimasukkan ke dalam tubuh peranti yang hanya setebal 5.6 mm.
  • Kemampuan kamera yang baik bagi sebuah tablet. Lensa f/1.9 dan merakam video pada resolusi QHD.
  • Pantas dan lancar digunakan walaupun menggunakan pemproses Note 4 tahun lalu.
  • Skrin 4:3 memudahkan penggunaan tanpa mengiras orientasi.
  • Pelbagai fungsi tambahan tablet seperti multi window  dan Pop Up Window yang tidak dilakukan dengan baik pada peranti lain di pasaran.
KONTRA dan Kekurangan
  • Tiada sokongan NFC
  • Tiada sokongan pemancar infra merah.
  • Tiada sokongan pengecasan pantas Adaptive Charging.

Skor-Amanz-Samsung-Galaxy-Tab-S2

 

 

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd