Samsung Malaysia telah sedia menjadualkan acara pelancaran rasmi dua telefon pintar mereka untuk pasaran tempatan pada 3 September ini. Selain daripada itu, kini, pihak Samsung Malaysia turut telah mengumumkan harga jualan untuk kedua-dua Galaxy Note5 dan juga Galaxy S6 Edge+.
Samsung Galaxy Note 5 merupakan telefon pintar berbentuk phablet yang turut hadir dengan input menggunakan stylus S-Pen. Ia menggunakan cip lapan-teras Exynos 64-bit 14nm, memori 4GB RAM, dan ruangan storan 32GB berasaskan UFS 2.0. Dari segi saiz skrin, ia menggunakan skrin bersaiz 5.7-inci dengan paparan Quad HD Super AMOLED.
Samsung turut menggunakan kamera belakang 13-megapixel pada peranti ini, selain menyertakan kamera selfie hadapan 5-megapixel. Sokongan pengecasan pintar turut disertakan pada telefon pintar ini.
Galaxy S6 Edge+ pula merupakan variasi bersaiz besar untuk Galaxy S6 Edge, dimana ia membawakan spesifikasi yang sama seperti Note5, tetapi tanpa S-Pen dan menggunakan rekaan skrin melengkung pada kiri dan kanan.
Kedua-dua telefon pintar ini akan dijual di Malaysia dalam variasi dwi-SIM bermula minggu hadapan – 4 September 2015. Samsung Galaxy Note 5 membawakan tanda harga RM2699, sementara Samsung Galaxy S6 Edge+ pula berharga RM3099.