Trend monitor komputer sekarang ialah yang menggunakan skrin melengkung dan pada waktu yang sama mempunyai skrin ultra lebar 21:9. Acer XR341CK ialah salah sebuah monitor lengkung ultra lebar yang baru sahaja memasuki pasaran tempatan. Ia diperlihatkan Jun lalu dan mensasarkan golongan penggemar permainan PC yang mempunyai sistem berspesifikasi tinggi. Terdapat dua kumpulan penggemar permainan video sekarang. Kumpulan pertama merasakan resolusi 4K 16:9 adalah resolusi terbaik untuk permainan PC.
Sebuah lagi kumpulan merasakan merasakan 4K tidak penting tetapi skrin ultra lebar 21:9 adalah lebih penting kerana ia membezakan pengguna PC dengan pengguna konsol. Dengan melakukan mod nilai FOV kamera, pemain boleh mempunyai pandangan 178 darjah di dalam permainan. Ini bukannya perkara baru dah sudah wujud sejak tahun 2007 lagi. Cuma pada waktu tersebut monitor dengan nisbah skrin ultra lebar masih belum wujud.
Dengan XR341CK, Acer cuba mendapatkan perhatian kedua-dua kumpulan ini. Skrin monitor ini menyokong resolusi 3440 x 1440 pixel yang menghampiri resolusi 4K (4096 x 2160 pixel) dan skrin bernisbah 21:9. Skrin monitor ini juga melengkung bagi memberi ilusi anda berada di dalam permainan sebenar. Dengan XR341CK. Acer memasukkan kesemua keperluan pengguna PC tegar di dalam satu pakej lengkap.
Spesifikasi & Rekaan
Acer XR341CK | |
---|---|
Skrin | 34″ LED 3440 x 1440 pixel (21:9) |
Panel | IPS |
Sokongan Warna | 1.07 Billion |
Refresh Rate | 75 Hertz |
Contrast Ratio | 100 000 000 : 1 |
Keterangan | 300 nits |
Response Time | 4 ms |
Sudut Pandangan | 178° |
Input/Output | 2 HDMI, 2 Display Port, 1 Mini Display, 1 Output audio 3.5 mm |
Pembesar Suara | Dua pembesar suara Stereo DTS 7 Watt |
USB | 4 USB 3.0 |
Kamera Web | Tiada |
Harga Jualan | RM 3699 |
Perkara pertama yang mengejutkan mengenai Acer XR341CK ialah saiz kotaknya. Kami pernah membeli sebuah TV LED bersaiz 40 dan kotak TV tersebut adalah lebih kecil jika dibandingkan dengan kotak Acer XR341CK. Kotak yang besar diperlukan kerana keseluruhan skrin dan tapak sudah sedia terpasang. Ia hanya perlu dikeluarkan dari kotak untuk digunakan.
Dari segi positif ini memudahkan pemilik untuk terus menggunakan monitor yang dibeli. Dari segi negatif pula kotak yang besar ini menyukarkan nya untuk dimasukkan ke dalam kereta. Keseluruhan tempat duduk belakang adalah diperlukan untuk membawanya pulang dari kedai.
Kaki monitor ini adalah dari jenis tripod dengan rekaan futuristik. Ia diperbuat keseluruhannya dari bahan logam. Oleh sebab itu monitor ini juga adalah amat berat dari biasa. Terdapat sebuah tempat pemegang besi terbina diletakkan pada bahagian lehernya bagi memudahkan proses mengangkat. Panel skrin dan penutup belakang skrin diperbuat daripada plastik yang berkilat. Penggunaan plastik berkilat ini adalah sedikit canggung kerana ianya bukanlah bahan buatan premium. Harus diingatkan monitor ini dijual pada harga hampir RM 4000. Sekiranya anda membayar sebanyak itu untuk sebuah monitor anda mahukan bahan buatannya premium secara keseluruhan.
Leher monitor boleh digerakkan ke atas dan ke bawah untuk mengubah ketinggiannya. Jarak pelarasan ketinggian adalah lebih kurang 5 inci. Kebebasan pelarasan tidak terhad kepada ketinggian. Keseluruhan skin boleh didongakkan ke atas sebanyak 32 darjah dan ke bawah sebanyak 5 darjah. Dongakan ke atas yang besar ini perlu bagi memudahkan anda mengakses 4 port USB 3.0, 1 jack fon kepala, 2 Display Port, 2 HDMI dan 1 Mini Display Port yang terletak pada bahagian belakang skrin.
Jumlah pilihan penyambungan input XR341CK adalah cukup mewah. Semasa tempoh ulasan kami memasangkan PlayStation 3, PlayStation 4, Chromecast dan input dari kad grafik komputer secara serentak ke bahagian input monitor ini. Kepada mereka yang mempunyai pelbagai alatan audio visual jumlah input yang banyak ini adalah sangat-sangat diperlukan.
Tombol kawalan monitor terletak di bahagian bawah bucu sebelah kanan monitor. Pada monitor Samsung SE590C, sistem satu tombol digunakan untuk melakukan pelbagai tetapan skrin. Pada Acer XR341CK sistem kuno dengan enam butang berbeza digunakan. Agak mengecewakan sebuah monitor moden masih lagi menggunakan sistem kawalan pra-2000 yang sangat tidak mesra pengguna ini. Ada sebuah butang kuasa dan satu butang untuk mengaktifkan skrin menu. Dua buah butang digunakan untuk melakukan navigasi ke atas dan ke bawah. Dua buah butang lagi diperlukan untuk melakukan navigasi ke kanan dan ke kiri. Adalah diharap pada masa hadapan sistem lima butang seperti ini tidak lagi digunakan. Setiap pengeluar harus melihat apa yang dilakukan oleh Samsung sejak empat tahun yang lalu kerana jelas sekali sistem yang mereka gunakan jauh lebih mudah digunakan.
Penggunaan
Pemasangan kabel ke input adalah cukup mudah namun memilih input mana yang ingin dipaparkan menjadi sukar kerana sistem menu yang kami sebutkan di atas. Terdapat tiga mod paparan yang boleh digunakan. Mod pertama ialah hanya memaparkan gambar dari satu input pada satu-satu masa. Mod kedua ialah Picture in Picture di mana input kedua dipaparkan di dalam tetingkap mini. Mod terakhir ialah Picture by Picture di mana skrin dibahagi dua untuk memaparkan dua input pada saiz yang sama. Sungguhpun empat input boleh disambungkan serentak, hanya paparan dua input secara serentak disokong.
Sudut pandangan skrin dengan mudah diubah kerana ia boleh digerakkan ke atas dan ke bawah. Sudut dongakan sebanyak 39 darjah yang diberikan juga paling besar kami lihat pada monitor komputer bersaiz besar. Sebagai perbandingan monitor Samsung 32” SE590C yang kami ulas sebelum ini hanya memberikan jumlah dongakan sebanyak 17 darjah.
Bagaimana pula dengan kualiti gambar? Paparan skrin adalah sangat tajam dengan warna yang hidup. Resolusi natif monitor ini membuat PC berusia 2 tahun kami terpaksa bekerja keras. Jadi sekiranya anda mahukan prestasi terbaik anda turut memerlukan sebuah PC dengan kad grafik yang berkuasa. Tiada yang negatif boleh kami katakan mengenai kualiti visual monitor ini. Kepada pengguna kad AMD, XR341CK menyokong sistem FreeSync syarikat ini. Dengan kadar refresh 75 Hz, monitor ini memenuhi keperluan majoriti pengguna biasa. Ketiadaan sokong 144 Hz mungkin mengecewakan pemilik yang mempunyai komputer berspesifikasi amat tinggi.
Pada bahagian bawah terdapat lampu LED yang bertukar-tukar warna. Nampaknya trend lampu lip-lap LED kini merebak pula pada monitor. Kami merasakan fungsi ini hanyalah gimik yang menjengkelkan ketika digunakan di waktu malam ataupun ketika menonton filem. Kelipan lampu mengganggu konsentrasi anda setiap masa. Lampu-lampu ini boleh dimatikan menerusi skrin tetapan monitor.
Kami difahamkan XR341CK mempunyai dua pembesar suara sebesar 7 Watt yang menyokong audio DTS. Ianya terletak di bahagian belakang monitor dan ini sedikit sebanyak mengurangkan kualiti audio. Ini adalah kelemahan universal pembesar suara terbina pada monitor komputer sejak zaman berzaman.
21:9 Ataupun 16:9?
Jadi adakah dunia sudah bersedia untuk skrin 21:9? Jawapan kami ialah tidak. Laman web masih lagi direka untuk skrin 16:9. Ini akan berterusan selagi peranti pintar di tangan anda mengekalkan nisbah 16:9. Lihat contoh paparan dua laman sesawang dan aplikasi Photoshop di bawah. Terdapat terlalu banyak ruang yang tidak digunakan apabila melayari laman Amanz. Di Wikipedia pula rekaan reaktif menyebabkan kandungan menjadi panjang mendatar. Kebaikan skrin 21:9 hari dilihat apabila menggunakan aplikasi grafik seperti Photoshop ataupun Premier Pro. Di dalam Photoshop kesemua tools yang ada tidak menghalang pemandangan karya yang sedang disunting.
Jika anda banyak menghabiskan masa melakukan kerja grafik monitor lebah 21:9 ini akan memudahkan tugas rekaan anda. Bagi mereka yang banyak menghabiskan masa melayari web ataupun menonton video, ruangan kosong pada sisi skrin terasa seperti pembaziran. Jadi kami rasakan skrin ultra-lebar mungkin tidak akan digunakan secara meluas dalam jangka masa terdekat. Kami sendiri merasakan penggunaan dua skrin berkembar adalah lebih bagus untuk produktiviti dari sebuah skrin ultra-lebar.
Kesimpulan
Monitor melengkung dengan skrin ultra lebar 21:9 dikatakan adalah format skrin masa hadapan sama seperti skrin 16:9 kini menggantikan skrin 4:3 yang popular satu masa dahulu. Tetapi di dalam penggunaan seharian kami merasakan skrin 21:9 ini masih belum bersedia untuk kegunaan secara meluas. Kebanyakan video di atas talian masih menggunakan nisbah 16:9 dan apabila ditonton secara skrin penuh akan menghasilkan dua kotak hitam pada sisi skrin. Ini bolehlah dianggap sebagai pembaziran ruang.
Sebagai pengguna tegar dua monitor 16:9 di rumah, kami merasakan monitor 21:9 masih belum mampu menggantikan penggunaan monitor berkembar. Di dalam kes Acer XR341CK, apabila mod Picture by Picture digunakan, skrin 34″ monitor ini terbelah menjadi dua skrin 4:3. Tiada sebab pada tahun 2015 anda mahukan skrin 4:3 walaupun secara sebelah menyebelah.
Sungguhpun begitu XR341CK masih lagi sebuah monitor komputer yang mempunyai kualiti visual yang baik. Paparan warnanya hidup dengan kualiti imej yang tajam. Dengan sokong FreeSync masalah screen tearing dapat dihapuskan ketika sesi permainan video. Kepelbagaian input dan port USB yang disediakan menjadikannya monitor dengan fungsi tambahan terbaik pernah kami ulas. Kedudukan skrin juga sangat senang diubah dengan ketinggian dan dongakan boleh dilaras.
Jika ada perkara negatif yang boleh kami katakan ialah pembesar suara yang kurang kuat, sistem tetapan skrin yang menggunakan enam butang navigasi dan bahan binaan plastik murahan pada panel belakang. Kesemua ini masih tidak dapat menidakkan XR341CK sebagai monitor yang terbaik pernah kami ulas setakat ini di makmal Amanz.
Pada harga RM 3699 ianya memang mahal tetapi jika anda berkemampuan dan kualiti visual adalah penting. Acer XR341CK ialah monitor yang harus anda miliki.
PRO dan Kelebihan
- Rekaan menarik dan futuristik. Keseluruhan monitor sedia terpasang selepas dikeluarkan daripada kotak. Binaannya tegap
- Mempunyai lima pilihan input. Display Port, Mini Display Port dan HDMI kesemuanya disokong.
- Kualiti gambar yang baik dengan sokongan lebih 1 billion warna, refresh rate 75 Hz dan sokongan AMD FreeSync.
- Kedudukan skrin boleh diubah dengan mudah. Tidak terhad hanya kepada sudut dongakan sahaja seperti kebanyakan monitor di pasaran sekarang.
- Empat port USB 3.0 disertakan sekali.
KONTRA dan Kekurangan
- Butang kawalan tetapan yang tidak mesra pengguna. Sukar untuk melakukan tetapan kerana penggunaan lima butang.
- Pembesar suara yang tidak cukup kuat dengan kualiti audio tidak memuaskan.
- Bahan binaan plastik pada panel belakang kurang sesuai dipadankan dengan kaki monitor yang diperbuat daripada bahan logam.